Sabtu, 5 Disember 2015

Dengarlah Sayang! Part 2




             Genap sudah seratus hari pernikahan aku dengan encik Danial. Selepas kami pulang dari umrah, majlis perkahwinan kami pun diadakan dengan meriah. Almaklumlahlah encik Danialkan anak tunggal Datin Robiah. Dalam majlis persandingan kami banyak kesukaran yang telah aku tempuh. Bila orang kampung berkahwin dengan orang bandar, banyak benda yang harus aku pelajari dan perlu aku sesuaikan diri. Letih! Teramat letih dengan semua ujian ini.

          Ramai saudara mara Datin Robiah yang mengutuk dan menghina aku secara berdepan. Namun mereka hanya berani mengutuk aku bila encik Danial dan Datin Robiah tiada bersamaku saja. Terpaksalah aku menjeruk rasa. Sikit pun aku tak ceritakan kepada encik Danial, apatah lagi mengadu kepada datin Robiah. Semua ini pilihan aku. Kalau dah berani kahwin dengan encik Danial, aku juga harus berani berdepan dengan semua masalah yang bakal mendatang. Ibarat kata pepatah melayu ‘kalau berani berumah di tepi pantai, jangan takut dilambung ombak’. Ah! Betul tak pepatah yang aku sebut ni? Lantaklah,.betul atau pun tidak, yang pasti aku harus menerima setiap apa yang akan aku harungi selepas ini.

          Hidup aku sekarang ni ibarat ‘rusa masuk kampung’ canggung dengan adat dan budaya orang lain. Walau pun kami sama-sama berbangsa melayu dan aku juga warganegara Malaysia sejak lahir tapi bila aku terpaksa menyesuaikan diri dengan kehidupan orang kaya, sesungguhnya baru aku tahu begitu banyak perbezaan antara aku dan mereka.

      Cara percakapan dan pakaian juga banyak yang aku perlu belajar. Kadang-kadang aku terlalu letih dengan semua ini. Aku tak ingin hidup begini. Aku tak pernah bermimpi untuk menjadi menantu Datin dan menjadi isteri pada encik Danial. Kehidupan kami terlalu banyak bezanya. Aku tak suka dan hatiku sering memberontak. Kalau ikutkan hati aku yang mudah menyerah ini, aku macam nak mengulangi lagi sejarah lama. Lari dari rumah dan pulang ke kampung untuk selamanya. Tergamakkah aku melakukan perkara itu sekali lagi?

          Baru aku sedar, manusia seperti aku tak pernah reti nak bersyukur. Hidup miskin pun buat aku terseksa. Hidup dalam kemewahan pun telah menjadikan hidup aku merana. Apa mahuku lagi? Aku tak mengerti dengan permintaan hatiku sendiri. Sepatutnya aku harus bersedia untuk berubah dan menerima takdir ini. Kenapa aku tak pernah memikirkan semua ini sebelum aku menerima lamaran encik Danial dulu? Kenapa aku tak fikirkan daripada dulu lagi bahawa dunia moden hari ini tak sesuai dengan diriku? Aku hanya seorang mak cik yang tinggal di kampung dan membawa diri di tengah bandaraya ini. Aku hanya berangan untuk menjadi kuli tapi aku tidak pernah berangan untuk menjadi pemilik. Salahkah aku dalam membuat pilihan? Bila takdir yang menentukan nasib aku lebih baik dari permintaan hati.

        Ya Allah! HambaMU ini terlalu lemah untuk membuat penilaian. Hati ini sering kalah dalam membuat perhitungan. Jiwa ini sering memberontak saat menghadapi kesukaran. Apa yang harus aku lakukan bila segala-galanya tidak menjadi seperti yang aku fikirkan? Sukar rupanya untuk masuk ke dunia orang lain? Tidak pernah ku duga bahawa dunia di sini lebih sukar untuk ku tempuh berbanding duniaku yang telah sebati dengan diriku. Hidup di kampung yang penuh dengan kebebasan. Takkan pernah sama dengan kehidupan di bandar yang ku rasakan begitu terkonkong di bawah telunjuk orang lain.

       Hidup di sini rata-ratanya mengutamakan fesyen dan jenama. Perbualan mereka hanya berkisarkan dunia. Kurang yang aku dengar membicarakan dunia akhirat melainkan keindahan dunia sementara ini saja yang sering mereka bualkan. Mereka sering menilai manusia dengan keindahan rupa dan banyaknya harta. Mereka berbincang bagaimana nak mengekalkan usia muda tanpa peduli bagaimana caranya. Halal atau pun tidak bukanlah perkara utama. Bagi mereka siapa yang paling berharta dan pandai membelanjakan harta mereka itulah manusia yang akan dimuliakan. Yang akan dihormati dan disanjung tinggi.

         Ya Allah! Sesungguhnya Hidayah itu milikMu. Kau begitu adil dalam membuat keputusan. Kau beri mereka rezeki yang berlipat ganda tapi dalam masa yang sama HidayahMu bukan milik mereka sepenuhnya. Hati mereka sudah kelam dengan dosa. Mereka tidak pernah ambil tahu dosa atau pun pahala. Mereka terlalu berbangga dengan apa yang mereka ada. Mereka bongkak dengan kemewahan dunia yang mereka miliki. Mereka terlalu sibuk memuji diri sendiri sampai terlupa memujiMu Ya Allah! Mereka terlupa dengan kewujudanMU. Mereka terlupa segala apa yang mereka miliki itu adalah pinjaman dariMu. Mereka terlupa Ya Allah dan kerana terlupa juga mereka tergamak menghina dan mengutuk aku yang tak punya apa-apa ini. Dengan teganya aku diherdik dan dicaci sedangkan aku tak tahu pun apa kesalahanku pada mereka.

        ‘’Imah!’’ demi mendengar saja suara itu aku menoleh pantas. Encik Danial sedang menuju ke arahku yang sedang termenung di balkoni bilik kami yang telah menjadi taman mini kecil. Di atas pangkin kayu di sinilah tempat aku melepaskan lelah dan menghilangkan tekanan.

        ‘’Abang nak minta maaf! Maafkan abang!’’ sebaik encik Danial berada di hadapanku suaranya kedengaran lagi. Aku hanya tunduk sambil bermain dengan jari jemariku. Perlahan aku melepaskan nafasku.

         ‘’Abang salah faham selama ni. Maafkan abang ya? Abang janji abang takkan buat lagi,.abang, abang,..’’ encik Danial duduk di sebelahku dan suaranya tersekat-sekat. Aku malas untuk membuka mulut.

          Sejak seminggu yang lepas encik Danial tidak menegur dan menyentuh aku. Dia bersikap dingin dengan aku. Puas aku mencari puncanya dan hari ini dia datang padaku dan meminta maaf. Sebenarnya hati aku ni ingin memaafkan sikapnya tapi dalam masa yang sama aku ingin merajuk dan berharap dia akan terus menjelaskan semua salah fahamnya tanpa disoal oleh aku. Aku hanya ingin menanti dan mendengar saja apa penjelasannya.

       ‘’ Jiran sebelah rumah kita yang baru pindah tu hantar mesej pada abang, dia kata kat abang,.minta maaf sebab saya dah gunakan wife awak sejak saya pindah ke sini. Abang ingatkan Imah dah curang dengan abang. Sebab tu abang bengang dengan Imah dan tak tegur Imah. Tapi,.hari ni dia hantar lagi mesej pada abang dia cakap kat abang lagi. Maaf,.hari tu typing error,.bukan wife tapi wifi,.’’ Encik Danial terus berkata-kata. Kali ini dia mengapai tanganku dan cuba merapatkan dirinya padaku. Aku terus membisu seribu bahasa dan membekukan diriku tanpa memberikan sebarang respon.

         ‘’Imah,.tolong jangan marah abang. Abang janji selepas ni abang akan siasat dulu sebelum bertindak. Abang tahu perangai abang kebudak-budakan. Maafkan abang Imah. Abang rindukan Imah tau. Seminggu tak tegur isteri abang ni, abang dah rasa macam bertahun dah tak bertegur sapa,..’’ encik Danial masih cuba memujukku. Aku berpaling ke arah lain dan menarik tanganku dari terus berada dalam pegangannya. Salah faham ya? Aku berlaku curang ya? Nak tuduh aku pun tak agak-agak. Handsome sangat ka jiran baru tu sampai aku nak berlaku curang? Padanlah dengan orang sebelah tu pun, kalau tau dah buat salah datanglah minta maaf secara bersemuka. Yang dia hantar mesej tu pasal apa?

          ‘’Imah!,.’’ encik Danial panggil aku bila aku mula bangun dan berdiri di tepi balkoni. Aku melihat ke bawah dan meneroka halaman depan rumah yang penuh dengan bunga-bungaan yang menyegarkan mata yang memandang.

            ‘’Dahlah,..jangan dera abang lagi. Daripada Imah membisu macam ni, abang lagi rela kalau Imah berleter dengan abang. Marahlah abang, abang sanggup mendengarnya. Itu lebih baik dari Imah menjadi orang bisu macam ni. Kan abang dah mengaku abang bersalah?’’ encik Danial turut berdiri dan menghampiriku. Dirangkulnya aku dari belakang. Aku cuba mengelak dan menepis tangannya perlahan. Dia mendengus kasar.

       ‘’Imah!’’ encik Danial bersuara lagi. Aku mengalah akhirnya dan berpusing lalu menatap wajahnya. Aku renung ke dalam matanya. Dia turut berbuat perkara yang sama.

        ‘’Boss!,.lain kali kalau ada benda yang boss tak puas hati, boleh dak tanya dan bawa berbincang dulu? Jangan nak ikut hati sendiri ja. Bukan boss sorang ja yang ada perasaan. Ni mak cik tua depan boss ni pun ada perasaan juga. Yang mak cik ni tak ada cuma harta dan rupa saja,.tapi nak cemburu pun tengok orang jugak. Takkan dengan mak cik tua ni pun boss nak cemburu? Agaknya jiran baru tu tengok muka mak cik tua ni pun dia cabut lari lintang pukang?’’ aku bersuara serius. Aku tengok bibir encik Danial bergerak-gerak dan senyuman terus mekar di bibirnya itu. Aku pula semakin rasa bengang dengan dia. Aku serius gilerr bercakap dengan dia, boleh pulak dia senyum macam tu? Grrr,..

             ‘’Baiklah mak cik. Malam ni ikut abang ya? Kawan abang jemput kita ke majlis perasmian rumah baru dia. Ikut ya? Abang malas nak pergi sorang,.’’ Aku membeliakkan mata. Aku masih bengang dengan dia. Boleh pulak dia buat ayat-ayat mengelak tu. Macamlah dia tak tahu, aku paling malas nak pergi majlis-majlis orang kaya macam tu. Dah beberapa kali aku mengelak bila dia ajak aku pergi. Setiap kali aku ikut dia, mesti aku akan ditinggalkan dan dia akan pergi berborak dengan kawan-kawannya. Aku dah macam orang jakun.

           ‘’Encik boss,.dengar sini naa,.seminggu ni boss bo layan ja mak cik ni ibarat mak cik ni patung bernyawa ja dalam rumah ni. Jadi buat masa la ni jangan harap mak cik nak dengar cakap encik boss! Kalau encik boss malas nak pergi sorang-sorang, apakata encik boss ajak la mana-mana model dalam Malaysia yang cantik rupawan tu pergi!’’ aku bersuara tegas dan menolak encik Danial agar memberi aku laluan. Aku ingin berlalu dari situ tapi belum sempat aku melangkah, lengan aku direntap.

          ‘’Ni apa hal pulak ni? Abang kahwin dengan Imah untuk mengelak dari berbuat dosa. Kenapa Imah nak mengalakkan abang buat dosa pulak? Dah ada isteri yang halal buat apa nak ajak model-model tu pulak? Biarlah siapa pun Imah yang penting Imah tu isteri abang!’’ aku lihat wajah encik Danial sudah mula merah. Telinganya juga sudah merah dan wajahnya sedikit tegang. Alamak! Nampaknya aku dah kejutkan singa yang sedang tidur?

         ‘’Ohhh,.isteri ka?? Ingatkan orang gaji ja tadi. Almaklumlah,.encik Danialkan lebih percayakan jiran baru dari mak cik ni. Ingatkan mak cik ni hanya barang perhiasan antik ja dalam rumah ni tadi?’’ walau aku menyedari temperature encik Danial sudah naik tapi aku masih membuat ayat-ayat sentap begitu. Sekali lagi aku renung wajahnya. Ternyata wajahnya berubah lagi. Renungan tajam masih dihadiahkan untukku.

         ‘’Okey! Abang minta maaf. Abang tahu abang salah. Abang tahu abang dah sakitkan hati Imah, tapi Imah juga kena tahu abang ni pun manusia biasa juga. Kalau Imah jadi abang apa Imah akan buat? Kalau tiba-tiba ada perempuan lain yang datang mengaku pada Imah dia pernah tidur dengan abang, apa Imah nak buat? Jawab jujur dengan abang.’’ Encik Danial menyoal aku dan memegang kedua belah bahuku. Aku kerutkan kening dan mula berfikir. Sebenarnya apa yang dia tanya tu aku pernah cuba bayangkannnya dan jawapan yang mampu aku beri cukup ringkas.

           ‘’Nak buat pa lagi,.kalau encik dah buat maksiat dan untuk mengelak dari terus buat maksiat, kahwin sajalah dengan perempuan tu. Sapalah mak cik ni nak menghalang encik dari berkahwin dua? Mak cik ni bukan sapa-sapa pun. Apa hak mak cik nak menghalang?’’ air mataku sudah mula bergenang. Encik Danial mendengus kasar mendengar jawapanku.

          ‘’Huh! Imah nak abang percayakan Imah sedangkan Imah sendiri pun tak pernah percayakan abang pun?’’ bahu aku dilepaskan dan encik Danial mula melangkah pergi. Aku yang ditinggalkan terus memerah mindaku dan mengajak mindaku bekerja. Aku cuba mencerna ayat-ayat yang diungkapkannya. Apa maksudnya?

            ‘’Kenapa Imah tak mau percaya yang abang ni betul-betul sayangkan Imah? Kenapa masih nak was-was dengan perasaan abang pada Imah?’’ aku terkejut lagi mendengar suara itu. Aku panggung kepala dan menatap wajah di depanku. Dia sedang merenung tepat ke wajahku. Bahuku terangkat tanpa aku sedari. Respon separa sedar semestinya.

          ‘’Bukti apa yang Imah nak? Abang akan cuba buktikannya yang abang ni betul-betul ikhlas pada Imah.’’ Encik Danial melangkah semula ke arahku. Aku terus kaku berdiri.

           ‘’Tolong jangan rasa rendah diri. Percayalah,.setiap manusia tu ada keistimewaan tersendiri. Jangan cuba bandingkan usia kita kerana usia bukanlah halangan yang terbesar untuk kita saling melengkapi.’’ Aku tak dapat mengawal air mataku lagi. Antara percaya dan tidak mendengar ungkapan encik Danial aku juga rasa terharu mendengarnya seolah sedang berlakon dalam drama cinta bersiri.

          ‘’Dahlah!,.tak payah nak buat ayat-ayat macam tu. Bulu roma mak cik dah mula meremang ni. Tak sesuai kot. Macam skrip drama spektra ja. Sapa penulis skrip tu? Cer bagitau mak cik!’’ aku cuba berseloroh sambil mengesat air mataku. Aku paksakan bibirku untuk tersenyum.

          ‘’Rohimah!!’’ sekali lagi wajah encik Danial bertukar merah. Aku masih macam tadi. Bibir aku terus tersenyum walau dapat aku rasakan senyumanku itu langsung tak ikhlas.

.................................................

             Malam paling ngeri melanda hidup aku lagi. Bila selesai bergaduh siang tadi encik Danial ajak aku keluar bershoping. Dia paksa aku ikut dia juga malam ini untuk ke majlis perasmian rumah baru kawannya itu. Kononnya dia tak ada alasan untuk mengelak kerana mereka kawan lama.

            Baju kurung moden yang aku sarungkan ke tubuhku aku sesuaikan dengan selendang labuh menutupi seluruh dadaku. Wajahku pula dikenakan dengan solekan nipis, sesuai dengan usiaku. Aku mengelak untuk dikenakan solekan yang tebal. Sebetulnya aku tak pandai sangat mengenakan solekan dan menghiasi diriku sendiri kerana aku lebih selesa berpenampilan ringkas.

       Encik Danial yang membawa aku ke salon peribadi yang ditempah khas. Pakar-pakar yang bekerja di salon itu yang merias wajahku. Pada asalnya mereka nak mengenakan bulu mata palsu dan merias wajahku mengikut kesesuaian majlis yang akan kami hadiri. Namun semua cadangan mereka aku tolak mentah-mentah kerana aku tak mahu terlalu menonjolkan diri.

         Aku lebih rela orang tak pandang aku daripada aku menjadi perhatian orang. Aku sudah magli dihina dan dicaci sejak aku kahwin dengan encik Danial. Telinga aku ni sudah biasa dengan kata-kata kesat. Mahu atau tidak pakar-pakar solekan di salon yang kami pergi terpaksa juga menunaikan semua permintaanku dengan muka yang masam.

                 ‘’Abang nak jumpa kawan abang. Imah nak ikut tak? Atau nak duduk di sini saja? Kot-kot Imah segan nak bertegur sapa dengan mereka, abang tak mahu paksa,.’’ Mendengar ungkapan encik Danial, aku mengeluh perlahan. Aku sudah agak bakal ditinggalkan lagi di tengah-tengah majlis ini.

              ‘’Pi la,.mak cik bukannya pandai nak bergaul dengan depa pun. Nanti nak balik cari mak cik kat hujung khemah tu. Mak cik nak duduk di situ saja.’’ Aku berkata perlahan sambil menuding jari ke sudut halaman yang agak terpencil. Rumah banglo yang kami hadiri ni cukup luas halamannya. Cuaca pula sangat tenang malam ini dengan bintang-bintang yang berkerlipan, dicampur dengan lampu-lampu yang berbagai warna menghiasi jalan-jalan dan halaman rumah banglo ini.

           ‘’Hmm,.jangan off  handphone,.nanti nak balik abang cari Imah tak jumpa, abang call Imah. Jangan pergi mana-mana tau, atau kalau Imah tak suka duduk sorang-sorang Imah ikut abanglah. Abang pun tak risau,.’’ Encik Danial macam berat hati saja nak tinggalkan aku. Tadi aku berkeras tak nak ikut tapi dia gatal juga nak paksa aku. Bila dah ada di sini manyak songeh pulak!

           ‘’Pi la jumpa kawan-kawan encik tu. Mak cik okey ja,.’’ Aku menolak encik Danial perlahan dan mula melangkah ke hujung halaman. Aku tak menoleh ke belakang lagi hingga aku sampai ke tempat yang aku tuju dan mula melabuhkan punggungku di  atas kerusi batu yang ada di situ. Aku sengaja memilih sudut terpencil ini kerana terdapat taman mini dan kolam ikan kecil sebagai penambah seri.

           Aku dan kehidupanku yang berbeza dengan orang lain. Kadang-kadang aku tak faham dengan perangai encik Danial ni. Dia sengaja memaksa aku datang bersamanya tapi bila kami sudah ada dalam majlis pula, dia memberi kebebasan pada aku. Agaknya, dia pun malu nak kenalkan aku sebagai isterinya?? Hati jahatku berkata-kata.

          ‘’Rohimah?’’ aku baru mula mengeluarkan telefon bimbitku untuk menghilangkan kebosanan, sudah ada suara yang menyapa. Aku memanggungkan kepalaku dan mataku terus terpaku menatap wajah seorang lelaki yang sudah berdiri di depanku dengan kedua belah tangannya menyeluk poket seluar. Dah macam hero dalam filem pula gayanya sekarang ni.

          ‘’Eh! Encik Amir?’’ aku berkata ragu-ragu. Wajah lelaki di depanku ni mirip encik Amiruddin bekas majikanku dulu. Bos pertama aku sejak aku datang ke Kuala Lumpur yang pernah menghalau aku.

           ‘’Awak buat apa di sini?’’ encik Amir menyoal aku sambil melangkah menghampiriku. Tanpa izinku dia duduk berdepan denganku. Jantungku sudah mengepam darah dengan laju kerana takut disalah ertikan oleh orang lain yang mungkin akan melihat kami sedang berdua-duaan seperti ini.

            ‘’Saya ikut bos saya mai sini encik Amir, tapi tak tau pulak nak buat apa. Nak masuk pun segan sangat. Jadi saya duduk di sinilah. Encik Amir pula buat apa di sini? Rumah saudara mara ka rumah kawan?’’ dalam menjawab soalan encik Amiruddin aku menyoal dia pula.

           ‘’Awak kerja apa pulak sekarang ni? Banyak betul perubahan pada diri awak. Nampak cantik pulak sekarang ni,.’’ Aku tersenyum hambar mendengar pujiannya. Tapi aku tak pasti apa pula jawapan yang harus aku berikan. Nak jawab apa ya? Aku kerja apa sekarang ni? Suri rumah sepenuh masa?? Huh!!

           ‘’Pembantu rumah jugak encik Amir tapi boss saya tu ambik saya jadi duta untuk produk kecantikan depa. Lepas tu depa suruh saya diet dan amalkan pemakanan sihat. Sebab tu jadi macam ni,.’’ Aku berterus terang saja. Alah,..pembantu rumah pun pembantu rumahlah!

          ‘’Duta produk kecantikan? Kira awak ni modellah sekarang ni?’’ aku bulatkan mataku mendengar soalan encik Amiruddin yang seterusnya. Model? Gila ke apa? Mak cik tua macam aku jadi model? Hahaha,..macam lawak pulak aku mendengarnya.

          ‘’Tak ada maknanya jadi model. Hanya jadi bahan kajian saja.’’ Aku berkata perlahan dan mata aku terus melingas mencari encik Danial yang telah hilang dari pandangan aku sejak tadi. Kalau encik Danial tengok aku dengan encik Amiruddin sekarang ni, mungkin tahap kecemburuannya itu akan melantun lagi. Nahas aku kalau dia merajuk lagi dengan aku tanpa usul periksa. Terpaksa pula aku menjeruk rasa, makan hati berulamkan jantung pisang. Huhuhu,..

           ‘’Testimoni agaknya?’’ aku pandang encik Amiruddin lagi. Minda blur sekejap mendengar soalannya.

          ‘’Hah!’’ respon aku bila minda aku membeku. Encik Amiruddin pula sudah melebarkan senyuman melihat wajahku yang sedang kebingungan.

             ‘’Mama ada di dalam rumah. Awak tak nak jumpa dengan mama? Dia selalu tanyakan awak selepas awak berhenti kerja. Maafkan saya sebab halau awak macam tu saja. Mungkin saya terlalu ikutkan sangat kata hati hinggakan awak yang jadi mangsa. Macam mana perhubungan awak dengan suami awak tu? Awak dah balik dan berdamai dengan dia tak?’’ wah! Banyak pula soalan encik Amiruddin ni. Aku tak tahu yang mana satu harus aku jawab dulu. Kenapalah dia menyibuk sangat nak tahu? Sebelum dia halau aku dulu, tak pula dia nak soal siasat macam ni.

            ‘’Puan Zakiah ada ka? Eh! Rumah saudara mara encik Amir ka ni?’’ aku abaikan setiap pertanyaan encik Amir. Aku lebih berminat dengan ibunya Puan Zakiah yang ramah dan baik hati tu.

            ‘’Rumah adik saya. Awak tak nak masuk jumpa mama? Daripada awak melangut sorang-sorang di sini bertemankan nyamuk lebih baik awak masuk ke dalam rumah. Buat apa datang ke majlis orang kalau awak tak nak bergaul dengan orang ramai? Sekurang-kurangnya masuklah bertemu dan berkenalan dengan tuan rumah.’’ Wajahku tiba-tiba terasa berbahang mendengar kata-kata encik Amir. Kata-katanya ada kebenarannya. Aku pun tak tahu kenapa aku harus menjadi orang yang jakun macam ni?

           ‘’Bos saya yang paksa saya datang ke sini. Saya segan sebenarnya nak bergaul dengan orang-orang kaya ni. Tak pandai sangat, lagi pun depa suka speaking nanti saya juga yang melopong. Nak menyampuk tak paham sepatah haram pun,..’’ aku berlaku jujur saja dengan encik Amiruddin. Tak semena-mena encik Amiruddin ketawa lepas. Aku sudah tersipu-sipu dengan sikap lurus bendul aku.

         ‘’Ada-ada saja awak ni Rohimah. Jomlah masuk. Tak payah nak segan-segan. Semuanya manusia macam kita juga. Bukan makhluk asing dari planet lain pun!’’ sekali lagi encik Amiruddin mengajak aku masuk dan dia sudah berdiri di depanku. Dia memandang padaku dan memberi isyarat agar aku bangun dan mengikutnya. Berat betul aku rasakan hati aku ni nak mengikutnya masuk ke dalam rumah. Ramai pulak tetamu di bawah khemah yang menyediakan pelbagai makanan. Kalau nak masuk ke dalam rumah terpaksa melalui orang ramai. Aku mula gerun memikirkannya.

.........................................................

                Aku sudah berada di dalam rumah atas permintaan encik Amiruddin dan berjumpa dengan Puan Zakiah. Encik Amiruddin memperkenalkan aku pada saudara maranya yang kami temui termasuk adiknya yang juga merupakan kawan lama pada encik Danial. Adik ipar encik Amiruddin berpakaian anggun malam ni. Dengar cerita dari Puan Zakiah mereka suami isteri yang merupakan tuan rumah bercinta sejak sekolah dan sudah 15 tahun mendirikan rumah tangga. Umur adik encik Amiruddin sebaya dengan encik Danial. Aku sedang mengarah mindaku untuk bekerja lagi. Adakah adik encik Amiruddin dan isterinya adalah rakan encik Danial sejak sekolah?

            Sejak aku masuk ke dalam rumah, aku langsung tak tahu di mana encik Danial berada. Aku hanya menghabiskan masaku berbual dengan Puan Zakiah dan bermain dengan anak bongsu encik Amiruddin yang pernah aku jaga dulu. Sehinggalah sejam berlalu adik encik Amiruddin masuk ke dalam rumah bersama dengan encik Danial suami terchenta aku tu. Dia macam terkejut bila melihat aku turut berada di dalam rumah dan sedang asyik melayan anak-anak encik Amiruddin. Aku tak boleh nak bayangkan bagaimana wajah encik Danial ketika itu. Bahasa kasarnya mungkin terkejut beruk kot?

            ‘’Mama! Ingat lagi tak dengan kawan Ayiem ni?’’ adik encik Amiruddin membahasakan dirinya Ayiem sedangkan nama sebenarnya Azimuddin. Aku mendongak dan memandang mereka berdua. Paling lucu bila melihat wajah encik Danial yang terpinga-pinga. Aku pula sengaja tayang wajah selamba sambil terus melayan anak kecil encik Amiruddin.

         ‘’Siapa? Danny ya? Dah kahwin ke belum? Dah berapa orang anak sekarang ni?’’ soalan Puan Zakiah pada encik Danial buat aku telan liur berkali-kali. Aku perhatikan wajah encik Danial dan tak semena-mena dia melangkah ke arahku. Dia duduk dengan selamba di sebelahku dan mencuit pipi si kecil yang sedang aku pegang.

          ‘’Dah kahwin aunty. Anak tu In Sha Allah, kalau aunty nak tahu kena tanya sendiri dengan orang yang bakal melahirkan anak Danny tu nanti.’’ Sekali lagi aku telan liur. Encik Danial di sebelah aku sudah menghulurkan tangan padaku dan mengambil si kecil yang sedang aku pegang. Selamba saja gelagatnya tanpa mempedulikan mata-mata yang sedang memandang hairan ke arah kami terutamanya encik Amiruddin.

            ‘’Dah kahwin ke? Isterinya tak bawa sekali?’’ wajah aku berbahang lagi bila mendengar soalan Puan Zakiah. Aku cuba tersenyum untuk mengawal rasa mengelabah. Tak tahu macam mana nak tunjukkan reaksi aku ketika ini, sedangkan sebelum encik Danial datang tadi hati aku ni tak berdebar pun. Mungkin aura encik Danial yang sedang bertenggek rapat di sebelah aku ni kot buat aku rasa segan?

         ‘’Ada! Puas Danny cari tadi,.rupanya dah ada orang kidnap dia masuk ke dalam rumah.’’ Dengan tenangnya encik Danial bersuara. Bibir aku sudah tidak sabar untuk bersuara.

        ‘’Boss cari ka? Nak balik dah ka? Kata nak telefon kalau cari tak jumpa?’’ tanpa sedar aku bertanya encik Danial dan memandang tepat ke wajahnya.

           ‘’Dah letih tangan abang ni dail. Kenapa tak jawab?’’ mendengar pertanyaannya aku segera mencari telefonku di dalam beg tangan. Kemudian bibir aku spontan tersenyum. Baru aku teringat, aku dah silentkan ketika aku masuk ke dalam rumah tadi.

          ‘’Oppss,..sorry!’’ sembilan panggilan tak berjawab buat aku mengeluarkan perkataan sorry tanpa sedar dan bibir terus tersenyum lebar.

          ‘’Kenal ke?’’ encik Amiruddin baru nak bersuara. Sejak tadi dia memandang gelagat kami berdua tanpa berkelip pun. Sekarang baru berminat nak tahu agaknya?

        ‘’Ni? My soulmate....’’ encik Danial menjawab soalan encik Amiruddin tanpa teragak-agak. Aku yang blur seketika. Bosan betul dengan mereka ni. Nampaknya aku nak kena juga belajar bahasa omputih ni. Tak faham banyak, sikit pun bolehlah..

          ‘’Your wife? Dia bekas pembantu rumah abang Am.’’ Adik encik Amiruddin yang bersuara. Isterinya sudah melopong. Encik Amiruddin dan Puan Zakiah pula sudah memandang pelik ke arahku dan ketika inilah aku terasa bagaikan berada di planet marikh.

             ‘’Oh! ya ke? Berapa buah rumah Imah bekerja sebelum bekerja di rumah kita?’’ wajah aku berbahang lagi bila encik Danial mengajukan soalan itu. Aku malu sangat-sangat ketika ini. Tak dapat aku ungkapkan dengan kata-kata tentang perasaan aku.

         ‘’Errr,..’’ serius lidah aku sudah kelu apatah lagi bila melihat semua mata sudah mencerun ke arahku. Salahkah seorang pembantu rumah seperti aku menjadi isteri pada encik Danial? Aku hanya mampu bertanya di dalam hati.

          ‘’Laaa,.kalau macam tu frust menonggenglah abang Am. Baru tadi abang Am bagitau kami nak suruh kami pergi melamar kak Rohimah ni,..’’ gulp! Aku telan liur lagi. Mulut tak ada insuran betul adik encik Amiruddin ni. Di depan suami aku yang kuat cemburu ni berani pula dia cakap macam tu.

            ‘’Macam mana boleh kahwin? Bukan Danny sebaya dengan Ayiem ke? Lagi pun apa yang abang Am tahu Rohimah ni dah pernah kahwin dan dah ada enam orang anak..’’ muka aku berbahang lagi. Dah sah orang yang sedang mendengar perbualan kami sedang bersok-sek, sok sek sesama mereka. Aku perhatikan wajah encik Danial. Tenang sungguh dia sedangkan jantung aku macam nak lompat keluar saja dan aku rasa dah tak tahu di mana nak sorokkan muka aku ni. Aku malu sangat-sangat!

            ‘’Kalau hati dah sayang, status bukan alasan untuk menolak kata hati,.kan mak cik?’’ encik Danial buat ayat-ayat pasrah. Aku hanya mampu tersenyum hambar. Tiba-tiba saja dia panggil aku mak cik di depan saudara mara encik Amiruddin ni. Aku dah tak mampu nak bersuara lagi. Bibir aku terus kena gam akibat terkejut dengan situasi yang sedang aku hadapi saat ini.

           ‘’Mak cik?’’ isteri adik encik Azimuddin pula bersuara. Dia yang hanya menjadi pendengar sejak tadi merenung tajam ke arahku kini. Haaaa,..aku nak balik!!

            ‘’Ehhh,.bukan mak cik! Tapi sayang! Kan sayang? Jom kita balik, tadi mama call abang. Dia nak balik malam ni.’’ Encik Danial cuba menyelamatkan keadaan. Dia menghulurkan si kecil pada encik Amiruddin dan mengapai tanganku supaya aku bangun. Aku tak berlengah lagi, aku bangun dan terus menyalami Puan Zakiah dan kaum-kaum Hawa yang lain. Akhirnya aku terlepas juga dari situasi yang merimaskan ini bila kakiku mula melangkah ke arah pintu utama rumah banglo ini.

.............................................

           ‘’Dah lama Imah kenal abang Am? Sampai abang Am nak masuk melamar?’’ soalan pertama yang keluar dari bibir encik Danial sebaik punggungku mencecah tempat duduk di dalam kereta. Suaranya ternyata sangat serius dan kedengaran begitu tegas.

           ‘’Alah,.kenal seminggu ja, lepas tu kena halau,’’ aku menjawab dengan suara yang perlahan. Sengaja berpura-pura tenang padahal di dalam hati sudah rasa gentar sebab banyak sangat sedang aku fikirkan sekarang ni.

          ‘’Kena halau? Imah goda dia ke? Atau pun Imah dera anak-anak dia?’’ aku menoleh pantas ke arah encik Danial yang sedang memandu. Dia tak pandang aku pun, matanya sedang memandang ke depan. Aku menahan nafas dan rasa geram di dalam hati. Nak cakap terus terang ke nak main-main dulu? Hati di dalam sudah berbisik.

          ‘Dua-dua pun bukan..’’ aku malas nak bersuara tapi bila mendengar suara tegas encik Danial terpaksa juga aku menjawab dengan suara yang lemah. Kemudian aku alihkan pandanganku ke luar dan memerhatikan lampu-lampu neon yang perbagai warna. Melihat suasana malam di bandar besar yang meriah dan berwarna-warni lebih mendamaikan jiwaku.

           ‘’Mesti ada sebabkan kena halau?’’ suaranya masih lagi dalam nada tegas. Aku tak tahu apa yang sedang encik Danial fikirkan sekarang ni. Kalau boleh aku nak meneroka mindanya.

           ‘’Hmm,..’’ lemah aku bersuara. Malas nak mengingati kejadian aku dihalau aku lentokkan kepalaku di kusyen dan memejamkan mataku.

        ‘’Rohimah!!’’ suara encik Danial meletus lagi. Aku rasa dia dah tak sabar nak tahu kenapa aku dihalau. Benganglah tu sebab aku tak segera menjawab soalannya.

          ‘’Alah,.encik Amir baca surat habaq dan jumpa pos tentang mak cik yang lari dari rumah sebab tu kena halau. Encik Amir cakap dia tak suka isteri nusyuk tinggal dalam rumah dia.’’ aku berkata dalam satu nafas dan suaraku sengaja aku kuatkan sikit untuk memberitahu encik suami di sebelah aku ni bahawa aku sedang tertekan dengan soalan demi soalan yang sedang diajukannya untukku.

           ‘’Abang Am tahu?’’ kali ni nada suara encik Danial berubah lembut sikit sebelum tadi. Sudah tiada nada tegang di dalamnya.

            ‘’Bukan dia saja dah tahu, rasanya seluruh Malaysia dah tahu. Kalau ada gambar dan siap dengan kenyataan isteri nusyuk lagi, hanya orang buta huruf saja kot yang tak tau,.tu pun kalau tak ada orang yang cerita,..’’ aku pula bersuara tegas dan tak semena-mena sudah menjemput air mataku untuk hadir bersama kata-kataku. Kemudian aku mengesat air mata sambil menoleh keluar kereta dan terus menikmati keindahan lampu-lampu neon di sepanjang perjalanan.

        Suasana dalam kereta terus sunyi dan sepi selepas penjelasan aku. Encik Danial tak menyoal lagi selepas itu dan aku pula terus lentokkan kepala di kusyen kereta dan mataku dipejam rapat. Hanya air mata yang menjadi penganti bicara. Entah kenapa wajah bekas suamiku dan wajah anak-anakku menjelma di ruang ingatan. Ya Allah, Aku rindukan mereka semua.

..............................................

         Hari ini Datin Robiah dan encik Danial tiada di rumah. Tinggal aku seorang diri bertemankan sepi. Sebelum aku bergelar isteri pada encik Danial kesepian ini adalah satu nikmat untukku tapi setelah encik Danial menjadi suamiku ketiadaannya buatkan hatiku tidak senang duduk. Seminit dia tak ada seakan sebulan sudah berlalu kerana encik Danial tu kuat membebel dan kuat merajuk. Sifat keanak-anakkannya itu walau sering menyakitkan hati tapi sifat itulah yang selalu membuatkan aku terlebih merinduinya. Betullah kata orang, bila ada kita tak suka tapi bila tiada kita akan merindu separuh mati.

           Datin Robiah sudah sebulan pergi ke Amerika manakala encik Danial pula pergi seminar di Kuala Terengganu selama seminggu. Sebenarnya aku nak ikut dia pada mulanya tapi bila dia cakap akan tinggalkan aku juga di bilik hotel aku terus batalkan niatku.

           Aku terbayangkan cerita-cerita seram yang aku pernah tonton. Menurut encik Danial dia mungkin terpaksa tinggalkan aku hingga larut malam atau pun hingga pagi. Ketika itu aku bayangkan diri aku yang keseorangan dalam bilik hotel yang ditempah. Aku bayangkan suasana seram dan gangguan-gangguan yang mungkin akan mendatangiku. Adakalanya imaginasi aku memang keterlaluan sikit. Apa nak buatkan, bukan aku boleh menghalang pun minda dan hati aku ni dari terus mengembara ke alam fantasi. Kalau aku jadi penulis skrip untuk drama atau filem mesti gempakkan cerita aku tu? Hahaha,.tetiba ja minda tiga suku aku ni bersedia untuk mengarut.

           Sedang aku asyik melamun, telefon bimbit aku yang terletak di atas meja sofa berbunyi nyaring, menjerit dan memanggil aku untuk segera menjawabnya. Aku belek dulu skrin telefon dan melihat nama pemanggil, kemudian aku perhatikan jam di dinding. Sudah pukul 12.00 tengah malam rupanya. Apa yang aku buat di ruang tamu ni? Sedangkan malam sudah kian larut.

           ‘’Assalamualaikum!’’ aku menjawab panggilan telefon dan ayat pertama aku tentunya memberi salam pada si pemanggil.

          ‘’Waalaikumusalam. Tak tidur lagi? Rindu abang ke?’’ suara teruja orang di sana sudah kedengaran. Bibir aku spontan mekar dengan senyuman. Maunya tak rindu? Tak ada orang aku nak ajak bergaduh.

          ‘’Hmm,.agak-agaklah nak rindu pun. Macam best ja tak ada orang nak ajak berkelahi dalam rumah ni,.’’ Lain yang lahir dalam hati, lain pula yang aku ungkapkan di bibir. Orang di sebelah talian sana berjeda lama. Aku hanya mendengar dengusan nafasnya saja.

           ‘’Baguslah kalau macam tu sebab abang tak boleh balik lagi hujung minggu ni. Abang terpaksa tunda sebab urusan di sini tak selesai lagi. Mungkin terpaksa tunggu hingga seminggu atau dua minggu lagi,.’’ Suaranya kedengaran bersahaja. Aku sudah mengeluh keras. Air mata sudah tak sabar nak menjengah.

         ‘’Alaa,.sebenarnya encik pergi seminar untuk kerja ka atau seminar untuk kahwin dua? Pasai pa lama sangat,.’’ Spontan aku bersuara diikuti dengan linangan air mata yang sudah gugur di pipi. Aku tak tahu kenapa hati aku harus sebak bila mendengar ungkapan kata-kata dari encik Danial tadi. Aku tak suka ditinggalkan lama-lama seorang diri begini.

         ‘’Tadi cakap suka tinggal sorang. Abang ingat kalau Imah suka sangat tinggal sorang-sorang abang nak terus tinggal dan bercuti di sini. Sebulan atau dua bulan selepas tu baru abang balik,.’’ Kedengaran begitu kejam di pendengaranku suara encik Danial sekarang ni. Seminggu pun aku dah separuh gila rindukan dia. Inikan pula sebulan atau dua bulan. Tak agak-agak betul nak cakapkan?

         ‘’Mak cik tipu ja tadi. Seminit boss tak ada mak cik dah macam orang sasau ni. Inikan pula sebulan. Ya lah,.kalau macam tu bos izinkan mak cik balik Kedah naa sementara encik tak ada ni? Taklah boring sangat dalam rumah ni.’’ Akhirnya terkeluar juga suara hati aku tu. Mulanya aku dengar dia ketawa tapi bila ayat akhir aku ungkapkan aku dengar dengusan nafasnya dilepaskan kasar pula.

        ‘’Apa maksud tu? Nak balik Kedah? Rindukan abang ke atau rindukan bekas suami Imah??’’ kasar betul nada suaranya. Aku mengeluh lagi. Letih betul nak layan kerenah suami yang kuat cemburu ni.

           ‘’Tak teringin mak cik buat dosa kering tu. Pasai pa mak cik nak rindu kat laki orang lain pulak? Ada laki sendiri yang lagi hensem lebih baik rindu kat laki sendiri. Dapat juga pahala. Mak cik tak sabar nak peluk boss kejap-kejap tau?’’ sengaja aku ingin menghangatkan suasana malam dengan berkata begitu. Encik Danial tak ada di sebelah bolehlah aku buat ayat-ayat mengoda macam tu. Kalau dia ada jangan haraplah!

         ‘’Betul ni? Buka pintu sekarang! Abang dah ada di depan pintu ni. Kalau orang tu tak peluk abang kejap-kejap nanti, nampak sangat orang tu saja nak auta abang!’’ Haaa?,. aku sudah telan liur berkali-kali. Tak ada pulak aku dengar bunyi kereta masuk tadi. Kalau dah sampai depan rumah buat apa dia call aku lagi? Sengaja nak menguji aku ke apa ni?

          ‘’Tak dengar bunyi kereta pun?’’ aku masih bertanya dan bangun untuk menyelak langsir kemudian aku dengar pintu rumah diketuk bertalu-talu dari luar. Aku mengintai lagi. Maunya bukan encik Danial di luar mati aku.

          ‘’Imah!!’’ talian telefon sudah dimatikan dan encik Danial memanggil namaku dari luar. Aku hairan bin ajaib sebab dia pun ada kunci rumah jugak. Kenapa tak buka sendiri saja. Macam dia tahu saja sebelum balik, malam ni aku tak boleh tidur.

           Aku buka pintu perlahan-lahan. Di sebelah sana pagar pintu rumah yang memisahkan aku dan insan yang aku rindui. Encik Danial sudah tersenyum dengan wajahnya yang nampak sedikit layu. Aku serba salah sekarang ni. Betul ke encik Danial yang sedang berdiri di depan aku sekarang ni? Aku jenguk ke halaman rumah. Tak ada pula kereta dia.

           ‘’Mana kereta boss?’’ pagar rumah aku tak buka pun lagi. Soalan tu pula yang aku tanya.

            ‘’Abang accident tadi. Kereta masuk workshop. Sandy hantar abang balik,..’’ laju saja aku membuka pagar yang memisahkan aku dan dia. Kesian pula bila dengar dia cakap dia kemalangan. Agaknya dia cedera ke tak? Hati aku sudah merusuh di dalam.

            ‘’Boss okey ke tak ni?’’ bila dia sudah meloloskan tubuhnya ke dalam rumah dan berdiri di hadapanku soalan cemas itu pula yang keluar dari bibirku. Dia terus mengeleng laju sambil mendepakan kedua belah tangannya.

          ‘’Kata tadi nak peluk abang kejap-kejap? Abang tunggu ni!..’’ aku menutup pintu semula sambil tunduk tersipu-sipu. Hampeh betul! Aku risaukan dia,.ayat spontan aku tu juga yang dia ingat.

            ‘’Rohimah!’’ suara encik Danial kedengaran lagi. Wajah aku dah berbahang dan aku tahu bukan aku yang mulakan dulu bila aku merasa tubuhku sudah dirangkulnya erat.

         ‘’Cakap tak serupa bikin. Di belakang abang bukan main lagikan. Di depan abang macam kura-kura ja,.asyik sembunyikan badan dalam sarung.’’ Encik Danial mula membebel sambil melepaskan rangkulannya. Kemudian dia mengheret tangan aku dan mengajak aku duduk di sofa. Aku duduk di sebelahnya dan mula membelek seluruh tubuhnya dengan kedua pancaindera penglihatanku. Mana tahu kalau terdapat cedera di tubuhnya.

            ‘’Boss okey ka tak ni? Tak ada luka kat mana-mana? Sakit kat mana-mana? Teruk dak kemalangan? Takkan kereta saja yang masuk workshop? Bos tak pergi hospital dulu? Pergi chek doktor dulu ka?’’ soalan aku ajukan bertalu-talu untuknya. Dia merebahkan tubuhnya di sofa dan memejamkan matanya. Macam malas saja dia nak menjawab soalan aku tu?

              ‘’Abang letih sangat ni. Boleh tolong abang tak?’’ aku mengangguk mendengar permintaannya. Walau pun matanya sedang dipejamkan dan aku tahu dia tak melihat responku itu.

               ‘’Esok sajalah Imah interview abang ya. Abang nak lelapkan mata sekejap,.’’ Aku terpinga-pinga dengan sikapnya. Letih sangat ke? Apa yang berlaku sebenarnya? Dia tak pernah berkelakuan seperti ini. Selalunya kalau letih macam mana pun, dia mesti akan mandi dulu sebelum tidur dan yang pasti dia tak pernah mengabaikan soalan aku bila aku bertanya. Letih sangatkah dia??

.............................................

             Encik Danial terus terlelap di atas sofa di ruang tamu hingga ke pagi. Aku pula tak sanggup nak meninggalkan dia seorang diri jadi aku menemani dia tidur di ruang tamu. Aku tidur di atas permaidani di sebelah sofa yang sedang encik Danial tidur.

          Selepas solat subuh encik Danial masih nyenyak tidur. Aku cuba mengejutkannya agar bangun solat tapi sebaik tanganku menyentuh tubuhnya hatiku menjadi runsing. Lantas aku tekapkan tapak tanganku di dahinya. Badan encik Danial panas sangat.

            ‘’Boss demam ka ni? Mak cik telefon doktor suruh mai naa?’’ aku cuba berbual dengannya. Tubuhnya bergerak sedikit dan bibirnya mengerang perlahan. Aku tak sedap hati bila melihat keadaan encik Danial. Sejak kami kahwin encik Danial jarang jatuh sakit. Kalau selsema dan batuk tu biasalah. Encik Danial masih boleh bangun dan bekerja seperti biasa.

              Aku menghubungi doktor peribadi Datin Robiah. Nasib baik panggilan aku berjawab. Dua puluh minit kemudian doktor Izzudin pun sampai. Selepas encik Danial diperiksa, doktor Izzudin menyuruh aku mengikutnya untuk mengambil ubat di klinik. Aku keberatan untuk meninggalkan encik Danial seorang diri. Aku menghubungi encik Sandy untuk meminta pertolongannya.

          ‘’Encik Sandy..mak cik nak minta tolong sikit, boleh tak?’’ aku bertanya ragu-ragu kepada encik Sandy selepas berjaya menghubunginya. Siapalah akukan nak menyusahkan dia? Kadang-kadang perasaan rendah diri yang sudah sebati dalam diri aku ini memang tak dapat aku kikis.

           ‘’Nak minta tolong apa tu?’’ suara encik Sandy kedengaran tenang di hujung talian.

          ‘’Encik Danial deman. Tadi mak cik dah pangge doktor dan doktor dah mai periksa tapi masalahnya doktor suruh pi ambik ubat di klinik dia. Mak cik tak sampai hatilah nak tinggalkan encik Danial sorang-sorang di rumah. Nak minta tolong encik Sandy ambilkan ubat di klinik doktor Izzudin, boleh tak?’’ aku berkata dengan suara yang teragak-agak. Takut juga encik Sandy salah faham. Manalah tahu kalau dia akan ingat aku sengaja nak menyusahkan dirinya.

           ‘’Danny demam? Sampai demam? Trauma sungguh..’’ encik Sandy menyoal aku kembali. Nada suaranya macam terkejut sikit. Dan kemudian aku dengar dia ketawa perlahan.

         ‘’Tak apa,.nanti saya tolong ambilkan ubat tu. Tapi lambat sikitlah saya pergi sebab nak selesaikan kes di sini dulu. Sepatutnya Danny yang kena datang sebab dia yang langgar mangsa.’’ Mendengar kata-kata encik Sandy aku mengaru tengkukku perlahan. Langgar mangsa? Aku cuba mengimbas kembali perbualan aku dengan encik Danial ketika dia pulang semalam. Ya Allah! Encik Danial langgar orang ka? Macam mana dengan orang tu? Hidupkah dia? Atau...

            ‘’Sat, sat, sat...apa maksud encik Sandy? Encik Danial langgar orang ka? Macam mana dengan orang tu? Teruk tak?’’ aku bertanya kalut selepas mindaku dapat meneka kejadian yang mungkin berlaku semalam.

              ‘’Mangsa belum sedarkan diri lagi. Mak cik tak payah bimbang, sebelum Danny balik semalam dia dah buat report polis dan kami dah datang melawat mangsa. Mangsa mungkin trauma sebab doktor cakap cederanya tak parah sangat.’’ Kata-kata encik Sandy buat aku mengeluh perlahan. Kenapa encik Danial tak nak ceritakan kepada aku semalam? Apakah benar dia sedang trauma hingga tak mampu bercerita? Atau sebaliknya?

              Perbualan aku dan encik Sandy diputuskan selepas kami saling berbalas salam. Tiba-tiba hati kecilku merasa sayu. Dalam keadaan yang sukar begini encik Danial masih cuba berahsia denganku. Kenapa dan mengapa? Adakah aku belum layak untuk berkongsi semua masalah dengannya? Bukankah rumah tangga itu adalah perkongsian? Dan paling aku ingin tahu siapakah mangsa yang dilanggar oleh encik Danial itu? Pelbagai persoalan menerjah mindaku. Segalanya aku ingin tahu walau dalam masa yang sama aku juga malas ingin mengambil tahu. Bukan bermaksud aku tak prihatin. Aku malas mengambil tahu bila persoalanku tak pernah terjawab dan bila segalanya masih menjadi persoalan, minda aku akan merusuh di dalam. Berfikir dan berfikir tanpa henti. Jadi jalan penyelesaiannya yang selalu aku lakukan ialah ‘biarkan Si luncai terjun dengan labu-labunya’. Senangkan?

.........................................

                       Pukul sepuluh pagi encik Sandy datang bersama kawan-kawannya. Dia membawa ubat encik Danial dan mereka naik menjenguk encik Danial di dalam bilik. Mereka sudah biasa dengan rumah ini kerana sebelum kami berkahwin lagi, rumah ini sudah menjadi lokasi mereka berbincang. Aku pun sudah kenal rapat dengan mereka cuma aku taklah pandai sangat nak bergaul sesuka hati aku. Masih ada jarak pemisah antara aku dan mereka apatah lagi aku sekarang sudah menjadi isteri kepada encik Danial.

             Aku pula sebagai tuan rumah..ehem,kiranya tuan rumahlah ya? Sebab aku dah jadi isteri kepada tuan rumah. Okey..kerja aku bila ada tetamu datang tentulah menyediakan makanan. Kebetulan lagi beberapa jam akan masuk waktu makan tengahari. Selepas aku menghidangkan minuman dan sedikit kuih aku bergegas semula ke dapur dan mula memasak makanan tengahari kami. Aku pun sudah memberitahu mereka agar makan tengahari di sini.

           Bila aku mula memasak aku biarkan kawan-kawan encik Danial menjaga dia di dalam bilik. Entah apa topik perbincangan mereka, tidak pula aku berkeinginan untuk tahu. Malas pula aku nak turut serta. Aku memasak ala kadar saja. Apa yang ada di dalam peti sejuk aku keluarkan. Kebetulan sudah seminggu aku tinggal seorang diri di rumah. Memang peti sejuk sudah susut dengan makanan dan hari ini, aku pun tak menduga bakal ada tetamu yang bakal menjengah.

             Menu aku tengahari ini cuma kerabu buah tembikai. Kebetulan encik Mirza bawakan buah tembikai tadi, tiba-tiba saja ilham untuk membuat kerabu buah tembikai yang dah lama aku tak makan tu menjelma dalam mindaku. Selebihnya menu ayam masak kicap dan sup sayur campur.  Ada juga ulam-ulaman yang aku tanam sendiri di belakang rumah dan sambal belacan. Rasanya cukuplah lauk untuk santapan kami tengahari ini. Masakan sempoi dengan apa yang ada saja.

              Sebaik aku selesai memasak, aku hidangkannya di atas meja dan berlalu untuk ke bilik kami. Tujuanku untuk menyuruh tetamu-tetamu kami termasuk suamiku encik Danial turun makan. Tiba saja di depan pintu bilik aku terdengar suara encik Mirza. Pintu bilik yang tak ditutup dengan rapat memudahkan aku untuk memasang telinga.

               ‘’Kalau masih ada lagi rasa sayang kau pada Diana tu, kau ambillah dia. Aku rasa mak cik mesti tak keberatan untuk bermadu,’’ mendengar kata-kata encik Mirza, jantung aku sudah mengepam darah dengan laju. Siapa Diana? Soalan itu yang menjengah mindaku.

                 ‘’Aku kesiankan anak-anak dia saja. Cuba kau fikir, Diana tu dah la jadi ibu tunggal. Sekarang ni dia terlibat dengan kemalangan pula.’’ Suara encik Mirza kedengaran lagi. Aku masih diam membisu dan terus memasang telinga. Niat untuk memanggil mereka makan aku tangguhkan dulu.

              ‘’Kau cakap senanglah Mir...’’ lemah sekali suara encik Danial. Aku sudah sebak mendengarnya. Tentu dia sedang dalam dilema sekarang ni. Apa masalah dia sebenarnya?

               Aku tak mahu memikirkan segala apa yang bersarang dalam mindaku. Aku sengaja mengetuk pintu dengan kuat agar mereka menyedari aku ada di situ. Aku cuba melebarkan senyuman dan menyembunyikan isi hatiku. Aku memandang kesemua wajah-wajah lelaki yang ada di hadapanku lalu aku bersuara.

           ‘’Jom makan. Nasi dah siap hidang dah. Encik Danial nak makan sekali?’’ aku bersuara ceria. Bibir aku hiaskan dengan senyuman ramah. Tak salahkan menyembunyikan suara hati daripada menonjolkannya. Sesekali kita kena bijak bersandiwara. Jangan terlalu mengikutkan perasaan.

           ‘’Alhamdulillah..rezeki, rezeki. Pucuk yang dicipta, ulam yang mendatang. Mak cik masak mesti tip-top,’’ encik Sandy yang bersuara dulu. Suasana murung sebentar tadi sekelip mata berubah ceria. Semua yang ada di dalam bilik sudah bangun kecuali encik Danial. Dia menarik selimut dan mula tidur, sedangkan tadi ketika aku mengintai mereka, dia sedang duduk menyandar di kepala katil.

           ‘’Bos tak nak makan ka?’’ aku masuk ke dalam bilik bila kawan-kawan encik Danial keluar seorang demi seorang. Encik Danial mengelelng pantas. Aku menghampirinya dan cuba menekapkan telapak tanganku ke dahinya. Dia menangkap tanganku pantas. Aku memandang hairan ke wajahnya.

            ‘’Demam abang dah kebah dah. Abang cuma tak ada selera saja nak makan. Imah pergilah layan mereka dulu. Nanti selepas mereka balik, buatkan abang bubur nasi ya? Abang nak tidur sekejap. Lepas makan ubat tadi, abang tak berkesempatan nak tidur lagi pun. Mata abang mengantuk sangat ni.’’ Encik Danial berkata sambil memejamkan mata. Tangan aku dilepaskan dan dikesempatan itu aku mencuba menekapkan telapak tanganku di dahinya sekali lagi. Memang sudah berkurangan panasnya. Aku membetulkan selimut yang menutupi tubuh encik Danial dan keluar dari bilik. Aku tutup pintu bilik dan melangkahkan kakiku ke arah dapur.

               ‘’Mak cik.. makan sekali?’’ encik Mirza mempelawa aku makan sambil menarik kerusi. Encik Sandy, encik Alvin dan encik Shahrin sudah merenung makanan di depan mereka, namun seorang pun belum menjamah lagi hidangan yang aku sediakan.

           ‘’Minta maaflah, itu saja yang ada hari ni. Mak cik dah banyak hari tak keluar membeli barang dapur. Tinggal sorang-sorang di rumah ni, jarang keluar membeli.’’ Aku berkata jujur. Segan pula bila aku tak mampu nak hidangkan makanan yang enak untuk mereka.

           ‘’Luar biasa menu mak cik ni. Tembikai ni memang salah satu menu berlauk ke?’’ encik Alvin bertanya sambil memandang ke arahku. Aku menjatuhkan kepala. Agaknya encik Alvin ni mesti tak pernah makan kerabu tembikai? Itu yang aku fikir di dalam hati.

            ‘’Kerabu tembikai. Encik Alvin tak pernah makan ka?’’ aku bertanya encik Alvin sambil berlalu ke meja dan menuangkan jus oren ke dalam gelas untuk mereka berempat. Encik Sandy mula menceduk kerabu tembikai dan merasanya. Aku hanya memerhatikan gelagatnya dengan hati yang sedikit cuak.

           ‘’Not bad...’’ encik Sandy bersuara. Aku tergeleng kepala. Langsung tak faham dengan maksudnya. Ketika ini aku bertekad lagi di dalam hati. Aku nak belajar juga bahasa Inggeris. Tak boleh cakap selancar mereka pun, janji aku boleh faham apa yang mereka cakap pun okey juga.

              ‘’Different, I never see this and never ate before,’’ encik Alvin berkata dan memandang kawan-kawannya. Aku mengetap bibir menahan geram. Tak boleh ka bercakap saja dalam bahasa yang aku boleh faham? Berlagak. Mentang-mentanglah aku tak boleh nak faham bahasa omputih tu, sengaja mereka nak kenakan aku agaknya? Aku mula berprasangka yang bukan-bukan.

            ‘’Watermelon? You never see?’’ Tanya encik Sandy kepada encik Alvin.

                             ‘’Kerabu tembikai. I never ate before.’’ Jawab encik Alvin.

                            ‘’Mix belacan, right?’’ encik Alvin bertanya lagi.

                          ‘’Maybe..’' encik Sandy menjawab sambil menyuap. Yang lain hanya melayan makanan di dalam pinggan.

            ‘’Mak cik, thumb up.’’ Encik Mirza memanggil aku dan mengangkat ibu jarinya kepadaku. Aku tersenyum hambar. Perasaan sakit hati aku tadi masih belum berkurangan lagi. Kemudian aku terus meninggalkan mereka di meja makan bila mereka terus menyambung perbualan dalam bahasa omputih di depan aku. Malas aku nak menunggu lebih lama lagi. Bukan aku boleh mencelah pun. Huhuhu...

...............................................

                ‘’Never cry for the person who hurts you, just smile and say ‘thanks for giving me a chance to find someone better than you.’’ Aku baru mula mengemas katil kami dan berniat untuk masuk tidur bila mendengar encik Danial membuat ayat seperti itu. Aku mengalihkan perhatianku ke arahnya. Encik Danial sedang kusyuk membaca sebuah buku.

               ‘’Apa maksud tu?’’ aku bertanya dengan penuh minat. Encik Danial memandang sekilas ke arahku.

               ‘’Kenapa nak tahu?’’ encik Danial tanya aku sambil menayang wajah bekunya. Sudah lama aku tak melihat riak wajahnya seperti itu. Dulu selalu sangat aku melihatnya. Nampaknya sejak encik Danial sembuh daripada demam sifat dinginnya yang dulu kembali lagi.

             ‘’Mak cik ingat nak belajar bahasa omputih ni. Geram jugak bila orang lain suka sangat cakap bahasa omputih ni di depan mak cik. Tak boleh bercakap macam depa, boleh faham maksud depa pun jadilah,’’ aku berkata sejujurnya. Bibir encik Danial bergerak sedikit, kemudian aku sempat melihat sedikit senyuman di bibirnya.

              ‘’Don’t try change your life if you happy with your life now, nobody care who are you.’’ Encik Danial bersuara perlahan sambil menundukkan wajahnya. Aku masih menunggu dia memberi respon dengan pengakuanku tadi.

           ‘’Bos..’’ aku memanggil encik Danial yang terus diam selepas kata-kata terakhirnya. Dia mendongak dan memandang kepadaku lagi. Kemudian dia bangun dan menghampiriku.

        ‘’Lebih baik Imah tak faham apa yang orang lain cakap sebab, adakalanya memahami percakapan orang lain itu akan lebih menyakitkan.’’ Ujar encik Danial selepas dia duduk di sebelahku di atas katil. Dia membelai rambutku seketika dan mula merebahkan tubuhnya.

         ‘’Lagi satu abang berharap sangat agar Imah mula belajar memanggil abang dengan panggilan abang daripada memanggil bos. Abang rasa itu lebih penting daripada Imah mempelajari bahasa Inggeris. Abang juga teringin nak dengar Imah membahasakan diri Imah sebagai Imah atau apa saja yang Imah rasa selesa. Imah bukan mak cik abang, kenapa asyik menyebut perkataan mak cik tu lagi?’’ encik Danial menyambung kata dan menarik tanganku agar tidur di sebelahnya. Aku tak membantah dan menunaikan permintaannya.

         Ya Allah, apa yang perlu aku lakukan. Kekok rasanya untuk aku bersikap selamba dengan dia. Perkahwinan kami masih terlalu awal lagi. Belum lagi genap setahun. Baru beberapa bulan berlalu dan kami pun jarang bersama. Encik Danial terlalu sibuk ke sana dan sini sejak kami berkahwin.

            ‘’Mak cik cuba, tapi bukan la ni. Bagi mak cik masa..’’ aku berkata perlahan. Wajahku tak semena-mena terasa berbahang.

             ‘’Jangan lama sangat. I want my wife beside me not maid,’’ ujar encik Danial lagi dan mula merangkul tubuhku. Aku mula kaku dengan kelakuannya. Tapi, tiba-tiba mindaku tertangkap sesuatu. Dia speaking lagi dengan aku? Aku cubit lengannya tanpa sedar. Dia mengaduh perlahan.

              ‘’Tak bagi orang belajar omputih, awat yang selalu sangat dok speaking omputih tu dengan orang? Leceh betoilah.’’ Sepantas dengan bergeraknya tangan, bibir juga mengungkapkan kata. Encik Danial ketawa perlahan mendengar kata-kataku.

              ‘’Sorry..’’

             ‘’Sorry naik lorilah.’’

            ‘’Lori? Mana ada lori malam-malam ni,’’

              ‘’Naik lori dalam mimpi.’’

            ‘’Tak naklah. Daripada naik lori lebih baik naik kapal terbang. Boleh pergi jauh sikit,’’

             ‘’Nak ikut.’’

             ‘’Jom...’’

            ‘’Hah?’’ aku melongo.

           ‘’Tidurlah. Esok banyak kerja yang nak kena selesaikan.’’ Encik Danial berkata sambil mata dipejamkan. Aku pula yang masih terkebil-kebil memerhatikan gelagat enchek suamiku. Kerja apa lagi? Bukankah esok hari minggu dan dia sedang bercuti sekarang ni? Mindaku mula bekerja lagi. Bila dengkuran halus encik Danial sudah kedengaran, aku masih setia menilik wajahnya.

.......................................................

                       ‘’ I am alone at home. Very-very bored. No friend..’’ aku mula mempelajari bahasa Inggeris melalui kamus yang aku beli sendiri secara sembunyi tanpa pengetahuan encik Danial. Hati aku memberontak sakan untuk belajar bahasa omputih. Rasanya hati aku ni sudah bernanah di dalam setiap kali mendengar mereka speaking di depan aku.

                 ‘’Apa perkataan dalam bahasa Inggeris untuk menemani? Awat tak jumpa ni?’’ aku berkata kepada diri sendiri. Letih menyemak kamus mencari satu perkataan demi perkataan yang lain.

             ‘’Daripada aku belajar bahasa omputih dalam kamus ni, lebih baik aku buka internet dan belajar dalam internet,’’ aku masih berdialog dengan diri sendiri. Teringat dengan seorang kawan sekolah aku yang aku jumpa beberapa tahun yang lalu. Dulu di sekolah dia tak pandai macam aku juga tapi dia boleh speaking sikit-sikit. Bila aku tanya, jawapan dia mudah sangat. Dia selalu tengok gambar omputih tanpa sari kata dan belajar memahami jalan cerita sedikit demi sedikit. Kalau tengok filem atau drama korea, Filifina atau sebagainya, dia akan pilih cerita yang ada terjemahan bahasa Inggeris.

             Aku memandang komputer besar gedabak yang ada dalam bilik kami. Dalam bilik bacaan encik Danial pun ada satu komputer macam ni. Selama ni aku hanya melihat saja encik Danial menghidupkannya. Aku langsung tak berminat tapi bila tinggal sendirian macam ni, rasa macam teringin pula nak mengodeknya.

           ‘’Macam mana nak buka ni? Rosak nanti, teruk aku kena berleter dengan enchek bos tu,’’ aku berkata perlahan dan cuba mencari di mana butang yang harus aku petik atau yang perlu aku tekan. Kepala aku mula berpusing memikirkannya. Padan muka aku. Sebelum ni tak gatal nak belajar. Dalam zaman internet ni aku pula masih buta IT. Komputer langsung tak pernah aku pegang. Setiap hari di dalam rumah besar ini aku hanya melakukan tugas-tugas harianku sebagai suri rumah. Hari-hariku hanya mengemas, membasuh dan memasak. Adakalanya ada juga rasa bosan itu melanda jiwaku.

                 ‘’Rasanya yang ni kot?’’ aku mula menekan butang di tengah ibu komputer. Entah apa namanya yang harus aku sebut. Bedal sajalah. Ibu komputer pun, ibu komputerlah sebab tanpa benda tu skrin komputer takkan bercahaya.
                 Aku mula belajar menghidupkan komputer dengan hati yang berdebar kuat. Manalah tahu, nanti rosak komputer ni mengamuk pula encik Danial. Walau pun dia masih ada lagi komputer lain dan sebuah laptop yang selalu dibawanya ke mana saja.

              Bibir aku mula tersenyum bila skrin komputer mula bercahaya. Gambar perkahwinan kami yang telah menjadi gambar muka depan semakin melebarkan senyumanku. Rasa bangga sekejap dengan diri sendiri dan hatiku juga terasa kembang bila encik Danial begitu menghargai perkahwinan kami. Aku sedar siapa diriku ini. Bila melihat gambar perkahwinan kami, aku mula memujuk diri sendiri bahawa aku juga begitu bermakna dalam hidup encik Danial.

           Aku mula mengelabah sekali lagi bila skrin komputer mula menerima bermacam mesej yang entah apa-apa. Skrin komputer dah hidup tapi apa yang harus aku buat dengan pelbagai benda alah ni? Aku mula bertanya di dalam hati dan masih melihat skrin komputer dengan hati yang ragu-ragu. Lama kelamaan semua benda alah yang timbul hilang begitu saja. Aku mula pelik.

            ‘’Smadav. Antivirus? Apa ni?’’ aku berkata sambil mengaru tengkukku. Serius, kepala aku mula rasa berdenyut walau berdepan dengan komputer yang ‘mati’ ni. Kalaulah aku belajar awal-awal dengan encik Danial tentu aku tak jakun macam ni. Hatiku mula berkata-kata. Tapi, mahukah encik Danial mengajar aku semua ini? Nak belajar bahasa omputih pun dia tak bagi.

                 Banyak sangat benda yang timbul di skrin komputer. Aku baca satu persatu dan mula klik satu persatu. Aku belajar mengunakan komputer seorang diri. Memang payah belajar tanpa guru ni. Aku dah macam kata pepatah melayu ‘macam kera mendapat belacan’. Aku tak pandai pun nak mencari apa yang aku nak. Lebih-lebih lagi semua yang ada dalam komputer ni berbahasa Inggeris.

              Bila aku dah klik semua benda yang ada di skrin komputer, aku tak tahu pula macam mana nak padam semuanya. Haru biru jadinya aku sekarang ni. Hati mula melonjak dengan rasa ketakutan yang amat sangat. Habislah aku kalau encik Danial balik dalam keadaan komputernya yang telah serabut dikerjakan oleh aku yang tak tahu apa-apa ni. Aku mula merungut sendiri di dalam hati.

           Akhirnya kerana terlalu takut dan tak tahu lagi apa yang harus aku lakukan, aku tutup semua suiz yang bersambung dengan komputer. Bila skrin komputer kembali gelap aku terus bangun dan meninggalkan komputer. Aku turun ke bawah dan mula sibukkan diri. Agaknya, perlu tak aku lap seluruh komputer untuk menghilangkan cap jari aku? Hati gentar aku berkata-kata. Dah macam gambar siri penyiasatan pula. Sebab takut dikesan oleh encik Danial bahawa aku dah sentuh komputer kesayangannya tu hati pun mula berkata-kata sesuatu yang aku rasa sedikit melucukan.
           Payah jugakan nak jadi orang bandar yang tahu semua perkara?

And when you need a shoulder to cry on
When you need a friend to rely on
When the whole world is gone
You won't be alone, cause I'll be there
I'll be your shoulder to cry on
I'll be there
I'll be a friend to rely on
When the whole world is gone
You won't be alone, cause I'll be there

Life is full of lots of up and downs
And the distance feels further
When you're headed for the ground
 And there is nothing more painful than to let your feel...

               Benda pertama yang aku jumpa di atas meja sofa di ruang tamu aku belek dengan mata pejam celik, pejam celik berkali-kali. Lah, bahasa omputih lagi. Aku tak tahu sama ada kertas yang aku jumpa ni surat ataupun sebaliknya. Aku langsung tak faham apa yang ditulis. Aku simpan kertas yang aku jumpa tu di dalam majalah yang ada di bawah meja sofa. Aku mula mengemas ruang tamu walau aku sudah mengemasnya pagi tadi. Sekadar menyapu habuk dengan bulu ayam.

                 Bila dah tak ada kerja nak buat dan aku sudah mula terasa bosan. Kalau boleh aku nak minta izin daripada encik Danial agar mengizinkan aku bekerja tapi masalahnya dengan umur aku yang sudah mencecah 40-an ini kerja apa yang boleh aku mohon? Yang pastinya siapa yang sanggup nak gajikan orang tua macam aku ni?

               Arghhhhhhhhhhh...aku rasa macam nak menjerit saja kuat-kuat agar semua perasaan yang merimaskan jiwaku ini hilang satu persatu. Apa aku nak buat? Bila soalan aku tu tak mampu aku jawab aku kembali menapak naik ke tingkat atas. Aku masuk ke bilik air dan mengambil wuduk. Kemudian aku mengambil Al-Quran terjemahan dan mula membacanya. Baru lima minit, aku dah mula menguap. Aku menuju ke sofa yang ada di penjuru kanan bilik kami. Aku mula membaca terjemahan Al-Quran dalam surah Al-Kahfi sambil menyandar. Dan, aku tak tahu apa yang terjadi selepas itu bila mata aku sudah tertutup rapat.

.....................................................

                   ‘’Imah, abang kenalkan your ‘Honey’.’’ mendengar saja suara encik Danial aku menoleh kalut. Perkara itu berlaku semalam. Selepas aku usai bersolat Isya, encik Danial pulang bersama seorang wanita yang sedang bertongkat dengan wajah yang penuh dengan luka calar dan tangan  serta kakinya yang berbalut. Dia membawa bersama tiga orang anaknya yang masih kecil.

                ‘’Hani?’’ aku menyoal kembali kerana menyangka nama perempuan itu adalah Hani.

                  ‘’Err,.yes. My name Nordiana Hani...’’ wanita itu menghulurkan tangannya. Aku menyambutnya tanpa berbelah bahagi. Kami bersalaman. Encik Danial kemudian memapah wanita itu untuk duduk di atas sofa. Aku pula memimpin tangan anak-anaknya untuk masuk dan mendudukkan mereka di atas sofa yang sama. Aku turut duduk berhadapan dengan mereka. Encik Danial mengambil tempat bertentangan denganku. Jujur aku katakan sejak aku melihat mereka di dalam rumah ini hatiku berdebar-debar. Aku dapat merasakan dadaku teramat sakit tanpa sebab. Aku merasakan seolah awan mendung sedang berarak dalam hidupku dan bakal mencurahkan hujan lebat bila-bila masa saja.

              ‘’Mulai malam ini Diana dan anak-anaknya akan tinggal dalam rumah ni. Abang harap Imah boleh tolong jaga anak-anak Diana sementara Diana masih sakit ni. Bolehkan?’’ sambil bersuara menerangkan keadaan sebenar encik Danial juga menyoal aku. Apa jawapan yang harus aku beri? Bolehkah kalau aku menjawab aku tak mahu? Mahu ataupun tidak kepala aku jatuhkan perlahan-lahan. Untuk mengelakkan aku berfikir yang bukan-bukan, aku tumpukan perhatianku terhadap anak-anak Hani.

                 ‘’Nama apa ni?’’ aku mengelus lembut kepala anak lelakinya yang kurasakan mungkin anak sulung Hani kerana dia lebih besar daripada dua orang lagi. Dia tersenyum dengan pertanyaanku kemudian dia menoleh ke arah ibunya.

              ‘’Airil..’’ dia menjawab sambil tersenyum lagi. Seronoknya menjadi seperti mereka yang langsung tak memikirkan tentang masalah. Hati kecilku berbisik di dalam kerana aku tahu, aku sedang berdepan dengan masalah yang mungkin tak ku duga hadirnya. Entah masalah yang berupa bahagia ataupun derita? Aku tak pasti, yang aku tahu, aku tak suka dengan suasana di rumah ini. Walaupun aku bosan keseorangan di rumah setiap hari tapi aku juga tak suka kalau ada penambahan dalam rumah ini. Penambahan yang kemungkinannya akan menyakitkan hatiku sendiri.

            ‘’She your wife? Look so old to me. How you married her? Why and I want to know what happend,’’ Hani mula bersuara bila aku melayan anak-anaknya. Aku tahu dia bukan tujukan kata-katanya untukku. Encik Danial memandang aku sebelum mengungkapkan kata.

             ‘’I love her..Yes, she old than me but face or age not important. To me she is everything.’’ Encik Danial berkata sambil memandang tepat ke wajah Hani. Hati aku sudah tidak tenang kerana aku langsung tak memahami butir bicara mereka. Adakah mereka sedang mengutuk aku atau sebaliknya? Aku ingin sangat tahu apa yang sedang mereka bualkan tapi sayangnya aku langsung tak faham walaupun aku cuba memasang telinga aku dan mendengar dengan jelas setiap kata-kata yang terluah dari bibir mereka.

             ‘’How about me? I also your wife now.’’ Hani pula membalas kata. Mereka saling bertentangan mata. Aku pura-pura tidak mendengar dan masih melayan anak-anak Hani sedangkan hati aku sudah semakin merusuh.

             ‘’You just my past. My heart not for you anymore. Yes, you my wife too but please don’t mention it again especialy in front of  her..’’ encik Danial memandang pula ke arahku. Wajah dinginnya ditayang lagi. Aku cuba tersenyum walau senyumanku ternyata hambar. Aku geram sebenarnya bila dia tak pernah mengendahkan kata-kataku. Sudah berulangkali aku katakan padanya. Jangan speaking bahasa omputih tu depan aku walau dengan siapa pun dia sedang bercakap tapi tengoklah. Yang aku tak suka itulah dia selalu buat depan aku.

                 ‘’Not fair!’’ sedikit kasar suara yang Hani lontarkan. Tetiba saja mereka seolah sedang bergaduh di hadapan aku sekarang ni.

                ‘’Imah, bawa anak-anak masuk ke bilik tamu dan tolong tidurkan mereka sekali. Abang nak berbincang sikit dengan Diana,’’ encik Danial bersuara dan memandang wajahku tanpa senyuman. Suaranya kedengaran seperti satu arahan yang tak perlu aku bantah. Dia berubah sama seperti aku berjumpa dia buat kali pertama dulu. Suaranya langsung tiada kemesraan seperti selalu.

              Aku malas nak membantah dengan menyoalnya kembali. Melihat wajah Hani dan wajah encik Danial sekarang aku tahu mereka perlu berbincang dengan serius. Aku pimpin anak keduanya dan mendukung anaknya yang kecil masuk ke dalam bilik. Anak lelaki sulungnya tak perlu disuruh. Dia mengikut aku perlahan-lahan. Baik betul anak-anaknya, tanpa banyak soal mereka mengikut saja aku. Mungkin mereka sudah terbiasa ditinggalkan agaknya?

            ‘’You my husband. Where your responsibility? I need you. My child’s need you too..’’ sebelum aku berlalu aku masih sempat menangkap kata-kata Hani. Dalam hati aku sudah berazam untuk menghafal setiap kata-kata mereka dan mencarinya di dalam kamus. Mungkin sukar sebab aku tak tahu pun macam mana nak mengeja semua perkataan yang telah mereka sebut tapi aku akan cuba. Kalau bukan semua satu atau dua perkataan pun bolehlah.

             Masuk ke dalam bilik tetamu aku cuba menidurkan anak-anak Hani seperti yang diarahkan. Bukannya sukar kerana anak-anak Hani begitu patuh dengan setiap suruhanku. Airil lebih-lebih lagi. Dia terus naik ke katil dan tidur tanpa perlu disuruh, Yang bongsu saja perlu aku dodoikan kerana dia masih meminum susu botol. Si kakak yang nombor dua pun tak banyak kerenah. Terkebil-kebil matanya menyaksikan aku mendodoi si bongsu dan akhirnya dia pun turut terlelap.

           Ketika itu satu saja yang aku fikirkan. Kalau anak-anak Hani tidur di dalam bilik tetamu, di manakah pula Hani akan tidur? Dalam rumah ini hanya tinggal dua bilik kosong. Bilik tetamu dan bilik orang gaji. Ada bilik bacaan dan bilik solat tapi tak mempunyai katil. Di bilik orang gaji saja yang terdapat katil pun. Bilik itu aku yang gunakan dulu. Selepas aku berkahwin dengan encik Danial aku berpindah ke biliknya.

                 Apa hubungan Hani dengan encik Danial? Kenapa encik Danial bawa dia dan anak-anaknya ke rumah ini? Adakah dia isteri ke dua encik Danial? Kalau dia isteri encik Danial, adakah aku yang harus tidur di bilik orang gaji dan Hani akan tidur di bilik kami? Hati aku menjadi sakit tiba-tiba bila memikirkan semua persoalan itu. Dada aku sebak dan sesak. Ya Allah, bantulah hambaMU ini. Aku sedang berada di jalan buntu sekarang. Kalau benar aku sudah dimadukan...dan tiba-tiba aku teringat kata-kata encik Danial. Your honey, dan juga nama Nordiana Hani. Bukankah itu nama yang aku dengar dulu? Diana..dan honey? Aku tahu satu perkataan H.O.N.E.Y yang bermaksud madu? Ya Allah. Tubuh aku mengigil dan air mata terus meluncur laju tanpa sedarku.

                ‘’Your honey. Madu awak? Benarkah?’’ aku bersuara perlahan sambil tanganku mengelap air mata yang sudah membasahi pipiku. Adakah ini hanya sebuah mimpi ngeri? Aku perhatikan wajah anak-anak Hani yang sudah nyenyak tidur. Wajah anak-anak kecil yang langsung tidak mempunyai dosa. Tenangnya tidur mereka tanpa mimpi-mimpi ngeri yang sedang aku alami sekarang. Mimpi dalam jagaku yang tak mampu aku tukar lagi.

.................................................

            ‘’Imah...’’ aku terpisat-pisat membuka mata. Aku perhatikan wajah lelaki yang sedang berdiri di depanku. Aku perhatikan seluruh tempat aku sedang tidur. Baru aku perasan dan sedar, rupanya aku terlelap di atas sofa di dalam bilik tetamu selepas menidurkan anak-anak Hani. Banyak sangat persoalan yang bersarang dalam mindaku hingga membuatkan aku tak berani untuk keluar dari bilik dan berhadapan dengan kenyataan. Aku takut untuk mendengar pengakuan encik Danial.

             ‘’Kenapa tidur di sini? Imah dah tak sudi tidur dengan abang lagi?’’ encik Danial bertanya dengan suara perlahan. Hati aku yang menjadi sayu mendengarnya.

             ‘’Mak cik takut encik Danial yang tak sudi tidur dengan mak cik lagi,’’ aku membalas kata-katanya dengan perlahan juga dan cuba bangun dari sofa. Kemudian aku duduk kembali bila terfikirkan Hani mungkin sedang tidur dalam bilik kami. Di mana pula aku harus tidur?

             ‘’Kenapa ni? Apa yang tak kena? Apa abang dah buat?’’ terasa berdengung saja telinga aku mendengar soalan daripada encik Danial.

            ‘’Your honey. Apa maksudnya? Bukankah honey tu maksudnya madu dan Nordiana Hani tu bekas kekasih encik Danial?’’ aku bertanya tanpa ragu-ragu. Riak wajah encik Danial berubah serta merta. Wajahnya berubah merah dan sedikit tegang.

             ‘’Daripada mana Imah tahu?’’ soalan encik Danial buat aku tersenyum sinis tanpa sedar. Sudah aku duga, kalau itu soalan balasnya untuk aku, betullah tu.

           ‘’Walaupun mak cik ni orang kampung dan tak tahu apa-apa tapi mak cik juga ada mata untuk melihat dan juga mempunyai telinga untuk mendengar. Yang penting hati mak cik juga bukannya buta untuk menilai tingkah laku orang di sekeliling mak cik..’’ aku mengungkapkan kata-kata itu tanpa ragu. Encik Danial memegang tanganku dan menarik tubuhku rapat dengan tubuhnya. Aku dirangkulnya dan dia mengusap belakangku perlahan-lahan.

           ‘’Maaf. Abang terpaksa kahwin dengan Hani sebab abang...’’ encik Danial tak meneruskan kata-katanya. Dia menarik aku supaya bangun dan memegang tanganku.

             ‘’Nanti abang jelaskan. Kita balik ke bilik kita dulu,’’

               ‘’Mana Hani? Dia tidur di mana malam ni? Anak-anak dia macam mana? Takkan nak tinggalkan mereka di sini?’’ aku tak segera mengikut cadangan encik Danial. Risau pula aku nak membiarkan budak bertiga tu tidur tanpa pantauan orang-orang dewasa. Kalau di kampung anak sebaya mereka masih tidur dengan ibu dan ayah. Mungkin di sini berbeza dan anak-anak diajar berdikari sejak kecil?

              ‘’Mereka ada mak lagi. Tahulah macam mana mak mereka nak uruskan. Abang cuma suruh Imah jaga mereka saja bukan suruh jaga mereka sampai abaikan abang pula.’’ Sambil berkata encik Danial tarik tangan aku untuk keluar dari bilik. Pada mulanya aku ingin memakukan langkah tapi dalam masa yang sama juga aku takut kalau aku tak mengikut permintaan encik Danial nanti dia akan pergi kepada Hani. Siapa yang rugi? Aku juga yang bakal mengigit jari. Orang lelaki ni pantang dicabar kesabarannya. Sedangkan suami pertama aku yang slow dan cool tu pun lari ke dalam dakapan Chaq. Inikan pula encik Danial yang ada panas barannya.

             ‘’Mana bilik I? I nak tidur kat mana malam ni?’’ kami bertembung dengan Hani di ruang tamu. Eh, boleh pula dia cakap melayu? Ingatkan lidah dia dah tak boleh cakap melayu sebab sejak dia datang tadi dia hanya speaking omputih saja. Bangga sangat dengan bahasa omputih dia tu.

              ‘’Terpulanglah. Nak tidur dengan anak-anak you masuk saja bilik tetamu tu. Kalau rasa tak muat atas katil tu boleh ambilkan toto dalam almari. Bantal lebih pun ada dalam almari tu. Kalau tak nak, pergi saja tidur di bilik orang gaji hujung tu. Katil dan tilam semua ada.’’ Encik Danial yang menjawab. Dalam masa yang sama tangan aku masih digengam kemas. Aku perasan mata Hani yang mengarah ke arah tangan kami yang sedang bertaut.

           ‘’I tak nak. Semua tu I tak nak. I nak tidur dengan you dalam bilik utama. I tak selesa tidur atas toto nipis tu dan I pun tak biasa tidur di bilik orang gaji you,’’ mendengar saja ungkapan Hani aku cuba melepaskan jari jemariku daripada gengaman encik Danial. Serius, hati aku terluka mendengar ayat selambanya.

           ‘’You dah lupa ke kontrak kita? Kan kita dah buat perjanjian sebelum nikah. You jadi isteri I atas kertas saja. Don’t forget your promise. You sendiri yang mengaku nak abaikan semua tanggungjawab you sebagai isteri. You cuma nak I jaga kebajikan you dan anak-anak you saja.’’ Kasar suara encik Danial. Aku sendiri terasa berbahang dengan api kemarahannya. Aku juga turut keliru dengan kata-kata mereka. Takkan mereka nikah kontrak? Apa sebenarnya yang telah berlaku?

            ‘’Hey you..dalam Islam mana ada nikah kontrak. You tak belajar ke? Ingatkan dah jadi alim sekarang, rupanya masih buta hukum dalam Islam. Kontrak tu semua alasan untuk I nikah dengan you saja,’’ Hani bersuara berani sambil menuding jarinya. Encik Danial tidak membalas kata-kata Hani. Dia menarik tangan aku dengan laju dan mengheret aku naik ke tingkat atas. Mama.. baliklah cepat! Tiba-tiba aku teringatkan Datin Robiah. Kalau dia ada di Malaysia sekarang biar dia saja yang menjadi pengadil. Sama ada Hani atau aku yang perlu terus berada di sisi encik Danial kerana aku tak rela untuk terus bermadu.

................................................

               Masuk ke dalam bilik kami aku cuba menenangkan encik Danial. Aku mencuba untuk berfikiran positif. Kalau encik Danial masih menganggap aku sebagai isterinya dan masih sudi tidur dengan aku seperti biasa, kenapa pula aku harus melarikan diri? Inilah masanya aku mengambil hatinya sehabis mungkin. Dia masih menjadi milik aku walau sekarang Hani juga sudah menjadi isterinya. Aku hanya perlu pastikan cinta dan hati encik Danial hanya untukku selamanya.

             ‘’Abang, Imah sayang abang dan kalau boleh Imah tak nak pisang berbuah dua kali. Cukuplah Imah kehilangan suami pertama. Walaupun sekarang Imah masih merasa kita tak sepadan tapi Imah berjanji akan menjadi seorang isteri yang baik dan taat hanya untuk abang seorang. Itupun kalau hati enchek suami ni masih untuk Imah ni..’’ perkara pertama yang aku buat setelah nekad untuk merebut encik Danial kembali. Memang payah nak mengungkapkan kata-kata itu tapi demi suami aku ni aku sanggup lakukan apa saja. Aku tak mahu kehilangannya.

          ‘’Wah, ada hikmahnya juga abang nikah lagi? Kalau abang tahu Imah akan berubah dalam sekelip mata macam ni, dari mula lagi abang dah nikah lain,’’ ujar encik Danial sambil ketawa perlahan. Aku sorokkan wajahku di dadanya. Malu tau bila meluahkan perasaan macam tu. Wajah aku ni terasa macam kena panggang dengan api saja.

          ‘’Serius Imah cakap. Hati Imah tak sedap bila kali pertama Imah tengok abang bawa balik perempuan lain ke dalam rumah ni. Apa nak jadi pun, Imah akan tetap mempertahankan suami Imah daripada dirampas oleh perempuan lain. Tolong jangan duakan Imah di dalam hati abang walaupun sebenarnya Imah sudah diduakan.’’ Aku tak tahu daripada mana aku ambil ayat-ayat yang baru aku ungkapkan tu. Ianya datang tanpa sedarku dalam mindaku ini. Mungkin aku sedang rasa terancam sekarang dan semua ayat-ayat tu menyinggah dalam minda separa sedarku.

          ‘’Hmm.. kalau macam tu kenalah lebihkan usaha. Beri layanan first class untuk abang. Apakata Imah mulakan sekarang?’’ encik Danial bersuara sambil tersenyum nakal. Aku juga rasa tidak sabar untuk memberi layanan first class aku untuknya. Bukan masalah besar pun. Ini suami kedua aku jadi aku sudah terbiasa menjadi seorang isteri dambaan suami. Malu seorang isteri biarlah bertempat. Kalau malu di bilik tidur. Rugilah jawabnya. Aku tersenyum nakal di dalam hati bila memikirkannya.

                   Malam itu aku cuba mengoda encik Danial sehabis mungkin. Dalam minda aku hanya aku setkan dua perkataan.’’ Dia suamiku’’. Aku tak mahu mengalah dengan mudah. Aku nak dia menjadi suamiku dan terus menjadi suamiku sampai bila-bila pun. Dia milik aku, bukan milik Hani ataupun perempuan lain.

.................................................................

                 Pagi ini mod encik Danial berubah lagi. Setiap kali dia pandang aku, bibirnya sentiasa mengukirkan senyuman. Bukan seperti beberapa minggu yang lepas sejak dia pulang dari Terengganu. Wajah dinginnya itu hilang dalam sekelip mata.

            ‘’Sayang, thank’s ya semalam. Sayang memang beri layanan terbaik.’’ Dia berbisik kepadaku. Aku sudah melebarkan senyuman. Tu baru sikit. Aku berbisik pula di dalam hati. Semuanya penangan mendapat ‘honey’ dalam hidupku barulah aku nekad untuk menjadi yang terbaik. Kalau tak, aku masih mengawal lagi semua perasaan aku tu. Perasaan malu aku sebagai seorang wanita. Aku tahu malu itu harus bertempat tapi kalau tunjuk sangat pun perasaan dan gerak laku kita mungkin akan buat orang salah faham juga?

              Bila aku sendiri menghadapi krisis bermadu ini, aku berniat untuk membuat sesuatu yang berlainan dengan orang lain. Selalunya seorang isteri yang menangkap suaminya telah kahwin baru, dia akan mengamuk dan meminta cerai. Mungkin kes aku dan kes mereka tak sama sebab encik Danial bukan berkahwin dengan kerelaannya. Aku belum tahu lagi cerita sebenar. Aku tak mahu menjadi gelojoh. Biar masa yang menentukannya. Esok atau lusa pasti aku akan tahu ceritanya secara terperinci. Buat masa sekarang selagi hati encik Danial menjadi milik aku, aku juga akan menyerahkan hati aku sepenuhnya untuk dia. Bukan membuang dia dan menjadikan aku musuh ketatnya.

           ‘’Abang pergi kerja dulu. Tunggu abang balik tau. Tapi, abang nak minta maaf sebab akan menyusahkan Imah dalam beberapa hari ini. Abang cuma nak Imah jaga anak-anak Diana buat sementara waktu ni. Nanti abang cuba cari pembantu rumah baru. Abang tahu sayang mungkin akan rasa terbeban sikit tapi abang tak ada pilihan lain selain terpaksa menyusahkan sayang.’’     Sambil berkata encik Danial memegang kedua belah bahuku. Aku pula berpura-pura membetulkan tali lehernya.

              ‘’Imah okey saja dengan budak-budak tu. Yang Imah tak okey kalau Hani yang mengambil alih tugas Imah dan layan abang. Cuma satu saja yang Imah nak minta. Kalau abang nak jalankan tanggungjawab abang terhadap Hani, tolong jangan buat di depan Imah. Bawa dia ke tempat lain dan jangan sampai Imah tahu. Sakit rasa dada ni bila Imah cuba bayangkan pun, abang fikirlah sendiri kalau abang yang berada di temapt Imah..’’ sambil bibir mengungkapkan kata, air mata aku juga memainkan peranannya. Aku mengeluh lemah bila encik Danial sudah melekapkan bibirnya di atas dahiku.

             ‘’Tolong doakan abang ya. Abang pun takut sebenarnya kerana abang juga manusia biasa yang lemah. Dia pernah jadi kekasih abang dulu. Lama juga kami bercinta cuma dulu jodoh tak memihak kepada kami. Mama tak restui perhubungan kami dan Diana nikah dengan lelaki lain. Mungkin sekarang ni Allah sedang menguji kita. Nantilah, bila ada masa nanti abang cerita semuanya. Abang pergi dulu. Jaga diri tau. Abang sayang isteri abang ni..’’ ujar encik Danial lagi dan sekali lagi bibirnya mendarat di atas dahiku. Aku juga tak melepaskan peluangku dan melakukan perkara yang di luar dugaannya.

            ‘’Ehem.. macam tak nak lepas abang pergi kerja saja ni?’’ dia ketawa kecil dan merenung wajahku. Wajah aku sudah terasa bahangnya tapi sengaja aku menayang wajah selamba.

           ‘’Pergi sajalah. Imah banyak kerja nak buat hari ini. Budak-budak kat bawah tu Imah tak jenguk pun lagi. Tadi sebelum subuh sempat Imah intai mereka tapi mereka masih tidur lagi. Haa.. Hani tidur di bilik mama semalam. Agaknya mama akan marah tak kalau dia tahu?’’ aku cuba mengubah topik yang telah dibuka oleh encik Danial. Tak payah nak dilayan ayat-ayat dia tu. Bahaya!

                ‘’Apa? Bilik mama? Kenapalah Diana ni nak cari pasal dengan mama? Nasib baik mama tak ada di rumah. Mama telefon abang dua hari lepas. Dia nak sambung bercuti. Mungkin sebulan lagi baru dia balik. Imah tolong uruskan rumah ya? Tolong uruskan Diana tu sekali. Jangan berlembut sangat dengan dia. Ingat, Imah tuan rumah dan dia cuma tetamu saja. Jangan buat macam Imah tu pembantu rumah pula.’’ Aku tersenyum hambar mendengar kata-kata encik Danial. Kalau aku tuan rumah, Hani juga seperti aku kerana dia juga isteri kepada encik Danial. Aduh, sakitnya hati aku bila berfikir tentang status Hani dan status aku dalam rumah ini.

            ‘’Pandailah Imah nak uruskan nanti. Jomlah keluar, Imah buat nasi lemak pagi tadi. Ada sambal sotong dengan ikan bilis goreng dan telur dadar.’’ Sambil berkata aku mengatur langkah ke pintu bilik. Encik Danial mengikutku dan merangkul pinggangku. Sengaja betul dia ni, sedangkan isteri barunya pun ada di dalam rumah ni, gatal pula nak tunjuk sikap romantiknya tu. Asalkan jangan tunjuk sikap romantiknya terhadap Hani di depan aku sudahlah. Aku berbisik di dalam hati. Perasaan takut dan fikiran negatif tu tetap menyinggah dalam mindaku.

.......................................................

             Pukul sembilan pagi anak-anak Hani baru bangun tidur seorang demi seorang. Selepas encik Danial pergi bekerja tadi si bongsu sudah bangun dan merengek. Bila aku memberinya susu dia tidur kembali. Bila Airil dan Airin bangun aku suruh mereka mandi dan sediakan sarapan untuk mereka. Aku sediakan telur hancur bercampur susu dan penkek untuk keduanya. Aku pelawa mereka makan nasi lemak tapi mereka tak mahu. Macam-macam alasan yang mereka berikan. Terpaksalah aku memasak makanan kesukaan mereka.

           Aimi yang baru bangun tidur pun aku suapkan makanan juga. Umur Aimi dalam lingkungan dua tahun rasanya. Dia baru nak belajar bercakap. Aku sediakan moi sup untuknya. Nampaknya mulai hari ini kerja aku sudah bertambah dua kali ganda. Hari pertama saja aku terpaksa memasak pelbagai menu. Untuk Hani nanti pandai-pandailah dia layan diri sendiri. Walaupun dia sedang sakit tapi aku yakin dia masih mampu berdikari. Kalau lapar, pandailah dia datang ke dapur dan ambil sendiri.

          ‘’Airil tolong aunty jaga adik sekejap ya. Aunty nak keluar ke halaman sekejap. Nak siram pokok bunga.’’ Aku berkata kepada Airil yang sedang menonton tv. Umur Airil baru lapan tahun. Aku tahu pun selepas berbual dengan Airil ketika dia bersarapan tadi.

            ‘’Okey.’’ Sepatah saja dia menjawab  dan matanya terus dihalakan ke arah skrin tv. Dia buka Astro dan memilih channel yang dipenuhi gambar-gambar kartun. Budak-budak zaman sekarang tak payah nak diajar. Senang saja dia mencari channel tanpa bantuanku. Agaknya di rumahnya pun ada Astro dan dia sudah terbiasa.

            ‘’Tengok tv baik-baik tau. Jangan gaduh dan jangan sepahkan rumah. Aunty banyak lagi kerja nak buat.’’ Sambil meninggalkan pesanan, aku juga memberi amaran. Umur yang semakin meningkat ni adakalanya cepat meletihkan aku. Buatnya mereka sepahkan rumah, teruk pula aku nak mengemasnya semula.

               Airil hanya mengangguk tanpa menjawab kata-kataku. Aku biarkan Airil, Airin dan Aimi di ruang tamu. Bila Airil asyik menonton tv, Airin sudah mula mengeluarkan majalah dari bawah meja sofa. Dia membuka helaian demi helaian majalah. Aimi pula sedang memandang ke arahku. Tak sampai hati nak meninggalkan dia bersama abang dan kakaknya aku memimpin tangannya dan membawanya keluar ke halaman rumah.

          ‘’Kita main air nak?’’ aku bertanya Aimi mesra. Tangan anak kecil itu aku pegang erat. Wajah arwah Aimi anakku terbayang di ruang mata. Nama Aimi mengingatkan aku dengan arwah Aimi. Ya Allah, dalam hati aku terluka, sebenarnya Engkau juga kurniakan aku dengan kebahagiaan. Biarpun mereka ini anak kepada Hani maduku tapi mereka tetap anak-anak kecil yang tak tahu apa-apa.

          ‘’Aimi...’’ aku panggil Aimi. Suka pula aku memanggil namanya apatah lagi setiap kali aku memanggil namanya dia akan memandang ke arahku dan tersenyum. Geram aku melihat wajah comelnya yang tembam tu.

           ‘’Sana, sana..’’ aku arahkan Aimi supaya menyiram pokok-pokok bunga di sebelah kirinya. Aku pula mengunakan baldi untuk menyiram air di sebelah kanan. Kepala paip aku serahkan kepada Aimi dan membuka air dengan perlahan.

              ‘’Yeaa..yeaa..’’ Aimi bersorak girang dan tangannya terus memegang paip air sambil memancutkan air paip ke serata tempat.

             ‘’Aunty.. Airin nak tolong juga,’’ Airin keluar menyertai kami dan merampas kepala paip daripada Aimi. Aku tergeleng kepala melihat gelagatnya. Aimi sudah mula membuat memek muka orang nak menangis.

          ‘’Aimi... datang sini. Kita siram pokok bunga dengan gayung ni. Biarkan kak Airin tu..’’ aku cuba memujuk Aimi dan memanggilnya datang kepadaku. Gayung yang aku gunakan aku serahkan kepada Aimi.

            ‘’Yeaa..yeaa..’’ Aimi bersorak lagi. Aku sudah melebarkan senyuman melihat keceriaan mereka. Airin juga datang kepadaku dan merampas gayung pula. Paip air ditinggalkannya di tempat dia menyiram tadi. Haih, budak-budak ni. Mahu atau tak sekali lagi aku memujuk Aimi supaya jangan berebut dengan kakaknya. Aku pimpin Aimi dan membawanya ke tempat Airin meninggalkan paip tadi.

             ‘’Tak nak tolonglah. Aunty macam mama juga. Sayang Aimi seorang saja. Aunty pun tak sayang Airin juga macam mama. Asyik-asyik nak menangkan Aimi.’’ Airin memberontak tiba-tiba. Gayung yang dipegangnya dilontarkan ke arahku. Sempat aku menyambutnya agar tidak terkena Aimi yang berada di sebelahku. Apa kes pula ni? Kes cemburu ka? Aku meneka di dalam hati. Teringat gelagat anak-anakku dulu. Selalunya arwah Aimi juga yang anak-anakku cemburukan kerana perhatianku lebih berat kepadanya.

          ‘’Airin..nak ke mana pula tu?’’ aku melaung Airin yang sudah melangkah pergi. Aimi juga sedang memandang kakaknya itu.

              ‘’Mama..’’ aku dengar Aimi bersuara. Aku menghalakan pandanganku ke arah pintu. Mana tahu kalau-kalau Aimi ternampak Hani di muka pintu tapi tiada pula Hani. Yang ada cuma Airin yang sedang melangkah laju ke arah pintu utama rumah.

            ‘’Mana mama?’’ Aku tanya Aimi. Dia menuding jari ke arahku sambil tersenyum.

             ‘’Mama..’’ Aimi bersuara lagi. Aku terasa ada air hangat yang sedang menuruni pipiku. Hanya setitik air mata meluahkan bicara hatiku yang sedang terharu mendengar Aimi memanggilku mama.

           ‘’Aimi panggil aunty mama?’’ aku bertanya meminta kepastian.

          ‘’Mama..’’ Aimi masih memanggil mama dan mengamit kepadaku. Aku menunduk dan mendukung Aimi. Aku cium kedua belah pipinya dan tanpa sedar ada air mata yang mengalir laju. Ya Allah, terharunya perasaan aku sekarang ni. Rindu betul aku dengan anak-anakku. Dalam masa yang sama aku mula terbayangkan semua wajah anak-anakku. Agaknya kalau cuti sekolah nanti aku balik ambil Aina dan Airie adakah mereka mahu mengikut aku ke sini? Adakah bekas suamiku akan mengizinkan aku membawa mereka ke sini. Adakah encik Danial pun  akan membenarkan aku membawa kedua orang anakku ke sini? Sekali lagi pelbagai persoalan menjengah dalam mindaku.

................................................

                 Encik Danial menelefon aku selepas aku selesai mengemas dan mula hendak memasak makanan tengahari kami. Kata encik Danial dia akan balik untuk makan tengahari bersama kawan-kawannya. Aku mula mengelabah kerana terpaksa masak lebih. Banyak pula barang dapur yang sudah habis. Mahu atau tidak aku bawa anak-anak Hani keluar ke Pasaraya untuk  membeli-belah. Hani pula belum bangun walaupun sudah tengahari. Lantak kaulah Hani nak tidur sampai pukul berapa pun, yang penting tugas aku yang diamanahkan oleh encik Danial aku sudah sempurnakan semuanya. Ya, encik Danial cuma menyuruh aku menjaga anak-anak Hani saja bukan menjaga Hani.

            Tak susah menjaga anak-anak Hani. Bila aku bawa mereka ke Pasaraya pun mereka tak banyak kerenah, cuma Airin saja yang adakalanya suka merajuk. Tapi, senang pula memujuk Airin. Hanya beri dia coklat dan sedikit pujian. Alahai, inilah dunia kanak-kanak. Airin pula baru berusia enam tahun. Dia muda setahun dari anakku Airie. Tahun ini Airie sudah berusia tujuh tahun. Rinduku kepada anak-anakku bertamu lagi. Apa nak buatkan, sebagai seorang ibu hanya anak-anak yang sering bertahta di hatiku tapi anak-anakku mungkin takkan tahu isi hatiku ini?

           ‘’Aunty, Airil nak mainan..’’ sebelum kami keluar dari Pasaraya Airil menarik bajuku. Dia menunjukkan kedai mainan yang ada di depan kami. Barang-barang dapur yang ada di dalam tanganku aku pandang.

              ‘’Kita datang lain kalilah ya? Aunty dah tak cukup tangan nak pegang ni. Lain kali kita ajak mama Airil atau uncle datang. Lagi pun adik Aimi dah mengantuk ni. Kalau dia tertidur nanti aunty tak larat nak dukung.’’ Aku cuba memujuk Airil. Dia memuncungkan bibir seketika. Kemudian dia mengheret Airin keluar dari Pasaraya. Lega hati aku kerana Airil bukan seorang yang degil. Sekali saja aku memujuknya, dia sudah mendengar kata.

                 ‘’Kita balik ya?’’ aku bertanya lagi. Airil mengangguk sambil memandang kedai mainan sekali lagi. Kesian pula aku tengok dia tapi siapa pula nak kesiankan aku ni? Tangan dah penuh dengan barang-barang dapur basah dan kering. Nak menjaga budak bertiga ni lagi. Apatah lagi di tengah bandar besar ni banyak sangat kejadian anak-anak kecil yang sebaya dengan mereka sudah diculik dan hilang begitu saja. Aku pun gentar juga nak membawa mereka keluar pada mulanya.

           ‘’Janji tau, nanti kita keluar lagi?’’ Airil menuntut janji. Aku terdiam tanpa kata. Buat seketika aku sendiri tak berani nak berjanji. Bijak betul Airil membuatkan aku menjadi serba salah seperti ini.

              ‘’Aunty tak berani nak berjanji lagi Airil. Kalau ada rezeki Airil nanti mungkin kita akan datang lagi. Lagi pun kalau aunty berjanji dan tak mampu nak menepati janji tu Airil juga yang akan sakit hati. Sekarang ni kita berserah saja kepada Allah. Airil kena rajin bersolat dan selalu berdoa kepada Allah agar Allah akan tunaikan semua permintaan Airil.’’ Aku berkata sambil memandang Airil. Tangan Aimi aku pegang kejap takut terlepas pula.

             ‘’Mama tak pernah bersolat, sebab tulah Allah tak pernah tunaikan permintaan mamakan aunty?’’ aku berjeda agak lama mendengar pertanyaan Airil. Bila ada ibu bapa yang tak bersolat dan ada orang lain yang menyuruh anaknya bersolat mungkin anak-anak akan menjadi keliru seperti Airil?

             ‘’Mana Airil tahu permintaan mama Airil tak pernah tertunai?’’ aku bertanya balas. Sengaja nak mengorek isi hati Airil.

              ‘’Mama selalu cakap, apa yang mama nak Allah tak pernah bagi..’’ ujar Airil lagi. Aku terkelu lidah lagi. Aku diam agak lama kali ini hinggalah aku menahan sebuah teksi untuk pulang ke rumah.

            ‘’Aunty..nanti kita ajak mama solat ya?’’ Airil bersuara lagi bila aku tak menjawab pertanyaannya tadi.

              ‘’In Sha Allah.’’ Aku tak berani nak cakap lebih-lebih, Hanya kata-kata itu yang mampu aku lafazkan. Aku tak mahu melayan pertanyaan Airil lagi kerana takut tersalah cakap nanti lain pula yang Airil akan sangka. Aku hanya melayan Aimi. Mata Aimi yang semakin layu membuatkan bibirku tersenyum tanpa sedar. Mengantuk sangat dia keluar berjalan. Mungkin dah sampai waktu tidurnya agaknya tu?

             Bila sampai di depan pagar rumah Aimi sudah terlentok di atas ribaanku. Airin juga nyaris terlelap di dalam teksi. Nasib baik lagi dia belum tertidur, kalau tidak teruk juga aku nak mendukung kedua-duanya sekali masuk ke dalam rumah. Bila aku mendukung Aimi, Airil pula membantu aku membawa barang-barang masuk ke dalam rumah. Airin juga ringan tangan membantuku mengangkat barang-barang ringan yang terdaya diangkatnya.

......................................................

                  Selepas menidurkan Aimi, Airin juga turut tidur di tepi Aimi. Airil pula mengeluarkan tablet dan bermain game. Aku meminta Airil untuk menjaga adik-adiknya sementara aku terus masuk ke dapur untuk memasak. Encik Danial cakap dia akan balik pada pukul 12.00 atau pukul 12.30. Aku tengok jam di dinding sudah pukul 11.30 pagi. Sudah tak banyak masa untuk memasak jadi aku masak saja makanan yang paling mudah untuk dimasak.

           Bila siap hidangan simple aku tengahari ni aku terus hidangkan di atas meja. Kemudian aku naik ke bilik kami dan berehat sebentar melepaskan lelah sebelum aku mandi. Aku bersiap ala kadar dan mengenakan tudung kerana kami bakal ada tetamu lelaki sebentar nanti. Terpaksalah aku menutup aurat walaupun sedang berada dalam rumah sendiri.

           Pukul 12.30 aku terdengar deruan kereta di halaman depan. Aku menuju ke pintu depan dan menyambut kepulangan encik Danial dan kawan-kawannya. Bukan selalu pun dia balik makan tengahari seperti ini. Orang yang sibuk macam encik Danial dan kawan-kawannya hanya menghabiskan masa mereka di kedai makan bila masuk waktu makan seperti ini.

            ‘’Dah siap?’’ nampak saja wajah aku di muka pintu encik Danial sudah bertanya. Aku mengangguk dan menyambut tangannya serentak. Aku tarik tangannya hingga rapat ke bibirku.

           ‘’Jealous I tengok you ni Danny. Bertuahnya dapat isteri mithali macam ni,’’ encik Sandy bersuara kerana dia orang pertama yang masuk ke dalam rumah dan menyaksikan adegan kami berdua. Alah, bukan adegan apa sangat pun. Bila aku bersalam dan cium tangan, encik Danial pula tarik kepala aku dan hadiahkan kucupan di dahiku.

           ‘’Bertuahlah sangat? Sampai dapat ‘madu lebah free’ lagi..’’ aku berkata selamba selepas melepaskan tangan encik Danial sambil berjalan menuju ke arah dapur. Encik Sandy terdiam seketika sebelum aku mendengar ketawanya selepas itu.

           ‘’Tak apa sayang. Madu lebah itu untuk ubat awet muda,’’ sempat pula encik Danial membalas kata-kataku. Aku malas nak berbalas kata dengannya.

            Ketika aku masuk ke dapur dan menghampiri meja aku terkejut kerana lauk pauk yang aku dah hidangkan tadi sudah dimakan orang. Bersepah atas meja. Serabut betul aku bila encik Danial dan kawan-kawannya juga tiba di meja makan pada masa yang sama.

            ‘’Kenapa tu?’’ encik Danial bertanya sambil memandang tepat ke wajahku. Aku mengangkat bahu tanda tak tahu tapi dalam hatiku hanya terfikir seorang saja yang akan buat kerja tak senonoh tu. Anak-anak Hani semuanya ada di dalam bilik dan sedang tidur. Tak mungkin Airil kerana Airil sudah makan nasi lemak pagi tadi ketika aku sedang memasak.

           ‘’Biar abang tolong..’’ encik Danial menawarkan bantuan bila aku sudah memegang kain tuala kecil untuk mengelap meja. Bila encik Danial menolong aku membuang sisa-sisa makanan di atas meja aku pula mengambil jug dan membancuh minuman sekali lagi. Aku isikan semula mangkuk yang telah kosong dan nasi tambah. Kawan-kawan encik Danial pun ringan tulang membantuku. Mereka juga tolong mencedukkan lauk yang sudah berkurangan di dalam mangkuk. Kerabu mempelam bersama lobak merah resepi Thai yang aku cuba membuatnya pertama  kali sudah hampir habis dijamah. Sedih aku melihat masakan yang aku idamkan itu cuma tinggal separuh dalam pinggan.

              ‘’Kenapa?’’ encik Danial bertanya lagi bila melihat aku terdiam kaku sedangkan meja sudah dibersihkan dan makanan sudah dihidangkan semula. Aku hanya mengeleng lemah sambil mataku terus terpaku ke arah mangkuk kerabu mempelam.

            ‘’Hmm..ambil untuk Imah yang ni. Tak apa, kami makan yang lain saja.’’ macam tahu saja suara hatiku encik Danial menarik mangkuk kerabu mempelam dan menyuakan ke arahku. Dia mula menarik kerusi dan mempelawa kawan-kawannya duduk.

           ‘’Maaflah.. masakan biasa saja. Selepas abang telefon tadi baru Imah bawa budak-budak pergi membeli barang masakan. Abang tak cakap awal-awal nak balik makan. Kalau tau awal tadi tentu Imah masak awal. Pukul 11.30 tadi baru sampai rumah jadi ini saja yang sempat Imah masak pun..’’ aku berkata jujur sambil menarik kerusi dan duduk di sebelah encik Danial. Kawan-kawan encik Danial sudah tersenyum simpul mendengar kata-kataku.

              ‘’Ehemm.. kalau mak cik dah jadi Imah dengan Danny, agaknya dengan kami nak kena panggil macam mana pula ya?’’ encik Sandy berdehem panjang dan menyoal nakal. Aku tak faham maksud encik Sandy pada awalnya tapi bila encik Danial mula menjeling dia dan mengengam penumbuknya ke arah encik Sandy baru aku dapat membaca maksud tersirat di sebalik kata-kata encik Sandy.

          ‘’Abang dengan Imah tu hanya untuk aku saja, korang jangan gatal nak melebih pulak,’’ encik Danial berkata sebelum menyuap nasi masuk ke mulutnya. Aku pula hanya tersenyum mendengar kata-katanya. Dalam hati aku sedang memikirkan tentang kata-kata encik Sandy. Rasanya aku tak perlu ubah apa-apa panggilan untuk mereka. Mereka hanya kawan-kawan untuk encik Danial dan tak bermakna apa-apa untuk aku.

              ‘’Danny..tolonglah cedukkan lauk untuk mak cik tu, takkan kau masih dera dia lagi sekarang ni? Makan nasi dengan kerabu mangga tu saja ke?’’ encik Mirza yang terlebih prihatin dengan apa yang aku makan menegur. Encik Danial memandang sekilas ke arahku sebelum mula menceduk kuah masak lemak cili padi ikan tongkol. Aku menghalangnya pantas sebelum dia mula bertindak.

             ‘’Tak mau. Ini pun dah cukup, orang tak selera nak makan. Lebih-lebih lagi ikan dengan ayam..’’ aku terluah kata tanpa sedar. Sejak dua minggu ni selera aku berubah. Aku hanya mampu makan sayur dengan buah saja. Lauk pauk yang berdaging aku tak boleh jamah langsung. Entah apa yang tak kena pun aku tak tahu. Kena badi agaknya sebab pernah kena dera makan sayur dan buah saja sebelum ni. Hihihi..

             ‘’Kenapa pula? Pagi tadi pun dah sarapan mangga muda tu. Tengahari pun makan nasi dengan mangga muda juga..’’ encik Danial pula menyoal dan tangannya menyentuh dahiku. Aku menepis perlahan kerana malu dilihat oleh rakan-rakannya.

            ‘’Jangan pegang dahi Danny. Lebih baik kau chek saja nadi dia. Macam ada good news saja tu?’’ encik Mirza bersuara lagi. Aku pula yang terasa pelik. Kenapa pula perlu chek nadi?

             ‘’Bawa saja pergi klinik.’’ Encik Sandy dan encik Alvin bersuara serentak.

             ‘’Boleh lawan dengan bini akulah selepas ni..’’ encik Shahril yang hanya menjadi pendengar mencelah pula. Aku tak dapat menangkap lagi apa maksud mereka.

             ‘’Abang tak pernah tengok pun Imah kena morning sickness?’’ encik Danial menyoal aku. Apa kebenda pula tu? Morning sickness?

           ‘’Benda apa tu?’’ sepantas minda berfikir, bibir pun melontarkan pertanyaan yang sama.

              ‘’Uwek, uwek tulah..’’ encik Sandy memberikan isyarat kepadaku sambil membuat aksi pelik. Aku masih tak faham maksudnya. Encik Danial membuntangkan matanya ke arah encik Sandy.

               ‘’Aku nak makan ni, kau jangan nak buat aksi lebih-lebih pula,’’ ujar encik Danial. Encik Mirza dan encik Alvin sudah tergelak. Encik Shahril pula sudah menambah nasi ke dalam pinggannya.

            ‘’Kau ni Danny..macam tu pun kau dah marah. Aku ni sambil makan pun bini aku uwek, uwek tak berhenti. Aku tak heran pun. Kadang-kadang dalam pinggan makan dia pun sempat lagi dia nak uwek..’’ encik Shahril bersuara lagi sambil menceduk sayur lemak kangkung yang aku rampai bersama telur ke dalam pinggannya. Kemudian dia menceduk pulak air asam tomato dan mengambil ulam raja lalu dijemput bersama nasi dan disuap ke mulutnya. Sedap pula aku tengok dia makan berselera macam tu. Masakan aku hari ini memang sangat simple. Cuma masak lemak cili padi ikan tongkol, sayur kangkung lemak bersama telur, air asam tomato dan ulam-ulaman. Tapi, yang hairannya mereka berlima makan macam masakan aku tu sedap sangat pula?

             ‘’Awatnya? Bini encik Shah sakit apa?’’ aku bertanya dungu.

            ‘’Kena buatan orang.’’ Encik Sandy yang menjawab.

             ‘’Kesiannya..tak bawa pergi berubat?’’ aku masih menyoal.

              ‘’Alah..buatan Shah sendiri, tak payah nak berubat pun. Cukup sembilan bulan sembuhlah penyakit bini dia tu..’’ encik Danial mencelah pula dan memandang kepadaku. Dia sempat mengenyitkan matanya. Wajah aku berbahang tiba-tiba. Malu menguasai diri bila aku mula perasaan topik yang sedang mereka bualkan. Inilah dia, kadang-kadang bila sikap lurus bendul aku ni datang payah betul aku nak tangkap maksud mereka berlima ni. Sedangkan sebagai orang perempuan yang sudah mempunyai pengalaman aku sepatutnya lebih mahir dalam bab ini.

               ‘’Ohh..awat tak cakap alahan pembawa budak?’’ aku berkata perlahan sambil menyudahkan suapanku. Kerabu mempelam yang masih berbaki aku hulurkan kepada mereka dan bangun menuju ke singki. Sambil membasuh tangan aku meraba perutku. Bibir aku terukir dengan senyuman bahagia. Agaknya perut aku juga sudah berisi? Mungkin sebab itu selera aku berubah? Aku memang jarang terkena alahan setiap kali mengandung terutamanya ketika aku mengandungkan anak perempuan.

           ‘’Kenapa tak bagitau abang?’’ terdengar suara encik Danial di belakangku aku menoleh pantas. Aku mengangkat bahu tanpa sedarku. Sesungguhnya aku pun belum pasti lagi. Bila umur sudah mencecah usia 40-an hormon aku memang tak stabil, jadi bila haid aku tidak datang seperti biasa aku anggap itu perkara biasa bagi wanita yang berusia seperti aku.

           ‘’Nak bagitau apa?’’ aku sengaja bertanya balas untuk melihat reaksi encik Danial. Dia cuba menyentuh perutku tapi belum sempat apa-apa aku sudah mengelaknya kerana terperasan dengan kehadiran encik Mirza di belakang kami.

          ‘’Diana mana? Aku tak nampak dia pun sejak datang tadi?’’ pertanyaan encik Mirza membuatkan aku dan encik Danial saling memandang di antara satu sama lain. Masing-masing mengharapkan salah seorang di antara kami yang bersuara ataupun encik Danial sedang menunggu aku yang menjawab soalan encik Mirza tu?

           ‘’Jangan tengok Imah. Abang suruh Imah jaga anak-anak Hani saja pagi tadi. Anak-anak dia Imah tahulah. Semuanya ada di dalam bilik. Hani tak tahulah dia ada di mana..’’ aku menjawab selamba dan berlalu meninggalkan singki bila encik Mirza pula datang dan membasuh pinggannya sendiri. Kemudian aku menyandar di kabinet dapur dan melihat encik Mirza melakukan kerjanya. Encik Danial datang kepadaku dan turut menyandar di kabinet dapur.

             Ini yang aku suka dengan sikap encik Danial dan kawan-kawannya. Mereka tak pernah menyusahkan aku sejak dulu. Mereka makan dan simpan sendiri. Bukan macam ‘’honey’’ aku yang baru datang tu. Mengalahkan orang lelaki pula perangainya itu. Aku pasti dia yang makan tadi dan meninggalkan sisa tulang ikan tongkol dan batang ulam raja di atas meja tadi. Pinggan pun tak dibasuhnya. Huh! Letihlah aku nak melayan dia dalam rumah ini kalau sikap dia berterusan macam tu. Hilang sabar aku dibuatnya nanti.

                ‘’Hani?’’ soal encik Mirza sambil membilas pinggan dan memandang aku dan encik Danial.

                 ‘’Hmm,.honey..’’ jawab encik Danial pula.

                   ‘’Madu lebah free..’’ ujarku pula. Dan encik Mirza sudah memandang kami dengan bibir yang sedang bergerak-gerak.

                  ‘’What does this word mean?’’ encik Mirza berkata lagi. Aku mencebik geram sebab aku tak faham.

                    ‘’Madu lebah untuk dia..’’ ujar encik Danial sambil menuding jarinya kepadaku dengan bibir yang memuncung dan wajah yang sedikit serius.

                ‘’Banyak ar..boleh makan takpalah jugak.’’’aku berkata sambil berpusing dan melangkah. Aku berniat ingin meninggalkan mereka berlima di dapur. Aku ingin menjenguk anak-anak Hani dan ingin mengajak Airil dan Airin bersolat bersamaku di dalam bilik solat. Tapi belum sempat aku pergi jauh terdengar suara encik Shahril memanggilku. Aku berkalih pandang ke arahnya.

             ‘’Mak cik beli ulam fresh ni di mana? Balik nanti nak singgah beli. Dah lama tak makan air asam dengan ulam-ulam ni. Selalunya kalau balik kampung saja dapat makan macam ni,’’ soalan encik Shahril membuatkan bibir aku tersenyum lebar. Beli di mana? Agaknya di mana aku beli?

              ‘’Tak beli pun, orang belakang rumah yang bagi. Percuma.’’ Aku berkata sambil bibir terus tersenyum. Encik Danial yang turut mendengar jawapan aku sudah memandang tajam ke arahku.

            ‘’Sejak bila pula Imah berbaik dengan jiran belakang rumah kita? Setahu abang jiran belakang rumah kita ni lelaki bujang?’’ soalan cepubelian yang bernadakan sedikit kecemburuannya daripada encik Danial berbunyi lagi.

            ‘’Pi la tengok sendiri dan berkenalan dengan mereka. Kalau encik Shah nak ulam-ulaman dan sayur-sayuran fresh tu ambiklah sendiri. Tak payah minta pun tak apa. Ada beg plastik dalam kabinet dapur bertentangan dengan singki tu..’’ aku menjawab balas sambil tersenyum. Mereka berlima terus menghala ke arah pintu dapur. Aku sudah tersenyum panjang memerhatikan gelagat mereka.

          Hampir lima bulan aku selalu ditinggalkan di rumah. Belakang rumah Datin Robiah sudah menjadi kebun sayur dikerjakan olehku. Tiada kerja yang hendak aku lakukan. Bila aku kebosanan aku akan pergi ke pasar Tani dan tapak semaian yang terdapat di sekitar kawasan taman perumahan. Aku beli tapak semaian yang dibuat dengan bekas plastik dan memborong pasu-pasu besar untuk menanam pelbagai sayur dan ulam-ulaman.

            Anak-anak cili, terung dan tomato aku beli dari tapak semaian dan pasar tani. Benih-benih sayur seperti kangkung, bayam, sawi dan ulam raja juga aku beli dengan harga yang murah di kedai runcit dalam taman ini. Zaman sekarang ni nak apa saja pasti ada. Asalkan ada kemahuan dan usaha pasti segalanya akan memperolehi hasil yang lumayan.

            ‘’Rohimah! Awak dah buat apa dengan belakang rumah kita ni?’’ aku mendengar suara encik Danial. Dia melaung agak kuat kepadaku. Agaknya dia terkejut melihat belakang rumah dia yang tak macam dulu lagi?

             ‘’Buat-buat rajin, bijak, pandai dan sewaktu dengannya..’’ aku juga turut melaung dengan suara yang kuat dan terus berlalu masuk ke bilik tetamu. Aku nak meneruskan hasratku untuk mengajak Airil dan Airin untuk bersolat.

.......................................................

Bersolatlah sebelum anda disolatkan
Ingat lima perkara sebelum lima perkara
1.      Muda sebelum tua
2.      Sihat sebelum sakit
3.      Hidup sebelum mati
4.      Kaya sebelum miskin
5.      Lapang sebelum sibuk

                  Aku menulis di dalam sekeping kertas dan meminta Airil menampalnya di dalam bilik tetamu. Sehari selepas Hani dan anak-anaknya tinggal di rumah ini aku mengajak Encik Danial pergi ke kedai perabot. Kami membeli katil dua tingkat untuk Airil dan Airin. Sementara sebuah katil berpagar untuk Aimi. Kami letakkan di dalam bilik tetamu yang sememangnya sudah luas. Bermula hari itu Hani juga kami paksa tidur di bilik tetamu bersama anak-anaknya. Datin Robiah mungkin akan pulang bila-bila masa saja. Mungkin juga dia sudah mendengar berita tentang kehadiran orang-orang baru di rumah agamnya. Almaklumlah, Datin Robiahkan mempunyai ramai pengintip.

             ‘’Aunty..mama dah koyakkan kertas yang aunty suruh Airil tampal tu. Mama cakap buat kotorkan dinding saja.’’ Airil yang menjadi orang tengah antara aku dan Hani datang kepadaku dan memberitahu tentang nota yang aku minta dia tampal di dalam bilik tetamu yang kini sudah menjadi bilik mereka empat beranak.

            ‘’Tak apa, nanti aunty bagi nota yang baru untuk Airil tampal.’’ Aku berkata dalam nada suara yang cukup tenang. Tujuan aku untuk memberikan semangat buat Airil agar jangan cepat berputus asa. Sebelum ini Airil meminta aku agar mengajak mamanya untuk bersolat. Aku tak tahu caranya dan tak berani nak tunjuk alim. Aku tahu aku juga banyak kelemahan. Mungkin juga belum masanya lagi aku mengeluarkan hujah-hujahku yang tak seberapa tu untuk Hani.

           ‘’Aunty, Airil nak tanya sikit boleh tak?’’ Airil menukar topik.

             ‘’Tanya sajalah Airil..’’ aku membalas pantas.

               ‘’Kenapa aunty panggil mama dengan nama Hani?’’ aku merenung wajah Airil. Kenapa dia tanya aku macam tu?

                ‘’Dah nama dia Hani,’’ aku menjawab yakin.

                 ‘’Bila pula mama tukar nama?’’ Airil tanya lagi.

                  ‘’Habis tu, mama Airil nama apa?’’ aku sudah teruja untuk tahu. Malam tu Hani perkenalkan dirinya kepadaku dengan nama Nordiana Hani dan encik Danial pula cakap your Hani or ejaannya Honey? Aku menjadi bingung tiba-tiba.

              ‘’Malam tu Airil dengar  mama cakap kat uncle, nanti you kenalkan I kepada wife you sebagai madu dia ya, tapi uncle tak nak. Mama kata kalau you tak nak biar I yang bagitau sendiri. Bila uncle cakap your honey tu, aunty terus panggil mama Honey. Airil ingat aunty panggil mama sebagai madu, tapi aunty tak marah ke sebab mama dah nikah dengan uncle?’’ kata-kata Airil buat aku berjeda lama. Rupa-rupanya Airil tahu tentang status ibunya dan status aku di dalam rumah ini?

             ‘’Err..sebenarnya apa nama betul mama Airil?’’ selepas membisu untuk seketika aku kembali bersuara. Minda aku yang membeku memaksa lidahku turut menjadi kelu. Ayat-ayat omputih yang sering meniti di bibir orang-orang bandar di dalam rumah ini sedikit demi sedikit sudah aku fahami.

             ‘’Siti Nordiana binti Mohammad Nordin,’’

              ‘’Bukan Nordiana Hani?’’ aku menyoal balas. Airil mengeleng pantas. Aku terlopong seketika. Baru aku perasan encik Danial pun tak pernah menyebut namanya Hani dan encik Mirza pun hairan bila aku memanggilnya Hani. Aku keliru sekarang ni. Selama ini aku sedang memanggilnya dengan panggilan manja ka apa? Honey? Ishhh..

....................................................

               Selesai seketika masalah Honey aku ni dengan anak-anaknya. Buat seketika saja! Aku tak tahu lagi apa yang bakal muncul. Aku hanya ingin menanti kepulangan Datin Robiah  dari luar Negara. Aku terpaksa bersabar melayan kerenah Honey yang banyak songeh. Anak-anaknya pula semakin rapat dengan aku kerana Honey hanya membuat halnya sendiri dalam rumah ini. Apa saja mengenai anak-anaknya diserahkan kepadaku. Kesian pula aku melihat wajah anak-anaknya yang seolah diabaikan oleh ibunya sendiri. Ketika ini minda dan hatiku juga sedang bertarung dengan perasaan bersalahku terhadap anak-anakku sendiri.

            Aku tak boleh mengata Honey kerana aku dan dia tak ada bezanya. Aku juga seorang ibu yang pentingkan diri sendiri. Mungkin juga aku lagi teruk daripada Honey kerana aku meninggalkan anak-anakku sedangkan Honey masih membawa anak-anaknya bersama. Ya Allah, roda kehidupan ini sering berputar laju. Kami tak pernah tahu bila kami akan berada di atas dan bila pula kami akan jatuh ke bawah. Hanya Engkau yang Maha Tahu segalanya.

            ‘’Imah..jom.’’ aku yang baru selesai mandi dan berniat untuk turun memasak menoleh ke arah suara yang muncul tiba-tiba dalam bilik kami.

           ‘’Nak pi mana?’’ aku bertanya bila encik Danial sudah berada di hadapanku.

            ‘’Tukar baju, abang nak bawa Imah ke suatu tempat.’’ Aku memandang tepat ke wajah encik Danial. Agaknya dia nak bawa aku pergi mana? Tak pula dia cakap nak bawa aku keluar hari ini.

           ‘’Bagitau sajalah kita nak ke mana? Senang Imah nak pilih baju, nanti abang bawa pi masuk majlis orang besar-besar tak sesuai pula baju yang Imah pakai. Jenuh nak kena jeling dengan pengaya-pengaya fesyen ternama pula nanti,’’ aku menyoal encik Danial lagi. Aku dah biasa sangat pergi majlis dijeling orang ramai. Selalu sangat pakai baju yang ketinggalan zaman dan tak sesuai dengan majlis orang.

           ‘’Pakai baju biasa-biasa saja. Bukan nak pergi majlis pun, cuma nak ajak Imah keluar dating dengan abang saja.’’ Encik Danial berkata lagi sambil memegang bahuku. Bibirnya sudah mekar dengan senyuman. Aku merenung ke dalam matanya untuk mencari kepastian di situ dan..wink, wink. Matanya dikenyitkan kepadaku. Ek eleh..

           ‘’Hiesy..sakit mata ka apa?’’ aku sengaja berseloroh dan menghala ke almari baju. Aku buka almari dan mula memilih baju yang ingin aku pakai. Sejak seminggu dua ni banyak pakaian aku yang sudah ketat dibahagian pinggang dan punggung. Terpaksa aku memilih blaus dan kain yang agak longgar. Selepas itu aku masuk ke bilik air untuk menyalin pakaian. Bila encik Danial ada sekali dalam bilik aku segan untuk menukar baju di depannya. Banyak kekurangan aku yang masih aku rasakan dengan usia yang kian meningkat apatah lagi dengan tubuh aku yang sedikit berisi sejak akhir-akhir ini.

            ‘’Budak-budak bertiga tu nak bawa sekali tak?’’ sebelum menutup pintu bilik air aku menyoal encik Danial. Bila dia ajak aku keluar baru aku teringat dengan anak-anak Honey. Almaklumlah, aku telah menjadi pengasuh mereka sejak akhir-akhir ini.

           ‘’Mir dah bawa mereka keluar. Diana pun ikut sekali pergi buat follow-up di hospital. Sebab tu abang nak ajak Imah keluar date,’’ mendengar encik Danial berkata begitu aku terus terdiam dan meneruskan niat aku yang terbantut seketika tadi.

          Keluar saja dari bilik air aku tengok encik Danial juga sudah menukar pakaiannya. Dia nampak segak dengan seluar slack dan kemeja lengan pendek. Minda aku sedang meneka ke mana arah tujuan kami nanti bila melihat encik Danial berpakaian seperti itu. Harap-harap tempat yang kami nak pergi tu bukan tempat exclusive yang dihadiri oleh orang-orang kenamaan saja. Aku lebih suka kalau dia bawa aku ke gerai-gerai tepi jalan atau di taman-taman yang dihadiri oleh orang-orang awam yang berkedudukan sederhana sepertiku.

           ‘’Abang tak cemburu ka encik Mirza bawa Diana keluar?’’ aku sengaja menduga hati enchik suami aku ini. Soalan yang aku ajukan untuknya membuatkan dia menoleh pantas ke arahku dengan wajah yang serius.

            ‘’Sindir abang ke apa tu?’’ dia menyoal aku kembali. Aku mengeleng perlahan.

                 ‘’Bukankah dayus seorang suami bila mengizinkan isterinya keluar dengan lelaki lain?’’ aku cuba menduga lagi. Sekarang ni aku sudah berada di depan almari solek dan sedang mengenakan sedikit bedak di wajahku. Encik Danial memandang aku dari dalam cermin. Matanya merenung wajahku. Aku juga sedang meneka apa yang ada di dalam hatinya sekarang.

              ‘’Imah nak abang buat macam mana? Sekarang ni abang cuma terfikir nak jaga hati Imah saja sebab abang dah menduakan Imah tapi Imah pula cakap abang ni suami yang dayus. Apa sebenarnya yang Imah nak abang buat?’’ suara serius encik Danial kedengaran lagi. Aku mengigit bibir bila melihat wajahnya menjadi dingin lagi. Serius aku katakan bila dia berwajah seperti itu, hati aku ini macam nak terlompat keluar saja.

           ‘’Maaf, Imah bukan nak buat abang tersentak hati cuma sebagai suami abang perlu berlaku adil dan bijak menangani setiap masalah. Lagi pun abang dah berjanji nak cerita apa yang sebenarnya berlaku tapi sampai ke hari ini abang tak cerita pun lagi. Pasai apa abang nikah dengan Diana dan macam mana abang boleh nikah dengan dia? Lepas tu abang macam nak lepas tangan saja? Imah macam kompius sikit dengan keadaan abang dan Diana tu..’’ aku mencuba menerangkan keadaan sebenar. Dalam masa yang sama aku juga mencuba bercakap mengikut rentak mereka. Kononnya nak belajar cakap omputih. Entah betul ke tak ?

          ‘’Nanti abang cerita. Siap cepat, abang tunggu di bawah.’’ Aku melepaskan nafas mendengar ungkapannya. Nanti tu bila agaknya? Entah apa yang dia cuba rahsiakan?

         ‘’Abang turunlah dulu. Imah nak pakai tudung saja lagi.’’ Aku bersuara malas. Pin berbentuk love aku sematkan di bawah dagu. Capai satu lagi pin yang agak besar dan sematkan pula dibahu. Aku pinkan tudung bersama bajuku sekali agar ia takkan berganjak walau ditiup angin. Dulu aku jarang memakai tudung bersemat dengan pin seperti ini. Aku tak suka berfesyen ketika mengenakan tudung tapi hidup di bandar besar memaksa aku untuk belajar menyesuaikan diri. Kalau ikutkan citarasa aku, lebih selesa kalau hanya memakai tudung yang perlu disarung saja. Tudung labuh ala-ala ustazah tu.

                Selesai bersiap aku amati sekali lagi penampilanku di depan cermin. Seketika kemudian tanganku sudah mengusap perutku yang sudah agak buncit sedikit. Aku cuba mengira tarikh akhir kedatangan haid aku. Kalau tak salah aku sejak kami diakad nikahkan aku belum lagi datang bulan. Adakah ini bermakna aku bunting pelamin atau ketika aku atas pelamin hari tu perut aku sudah pun berisi? Kamikan nikah gantung hari itu dan kami hanya bersanding selepas pulang dari umrah. Ya Allah, murah juga rezeki kami, kalau benarlah aku sedang mengandung sekarang ni. Aku pun tak pernah menduga kerana selepas aku melahirkan Airie dulu kami mengamalkan perancang keluarga sendirian berhad.

            ‘’Jom..’’ aku mengapai tangan encik Danial sebaik saja aku berada di sebelahnya. Entah apa yang sedang difikirkannya? Dia berdiri di tepi tangga menungguku tapi wajah muramnya macam hanya jasadnya saja yang berada di situ sedangkan hati dan mindanya sudah mengembara entah ke mana.

            ‘’Mama balik lusa, agaknya apa respon mama? Dulu mama membantah keras hubungan abang dengan Diana dan selepas itulah abang kena konkong dengan mama. Kerana sebab itu juga abang berpakat dengan doktor dan menipu mama..’’ langkah aku terhenti bila mendengar apa yang encik Danial katakan. Minda aku cuba menghadam kata-katanya. Adakah encik Danial sedang runsing kerana kepulangan Datin?

           ‘’Bagi Imah, segalanya yang berlaku adalah kehendak takdir. Kita tunggu sajalah mama balik dan redha dengan apa saja keputusan ataupun tindakan mama. Mungkin ada hikmah yang belum kita nampak. Kalau ikutkan`, hati Imah yang paling teruk terluka tapi Imah tak mahu fikir semua itu sebab Imah tahu semua ini adalah ujian daripada Allah untuk Imah juga.
           Dalam hal ni Imah pun tak reti nak cakap banyak sebab Imah belum tau cerita yang sebenar lagi. Abang tu banyak sangat nak berahsia. Kalau Imah cuba nak korek rahsia abang tu, macam-macam alasan abang bagi. Cuba cerita apa yang ada dalam kepala abang tu, kot-kot boleh ringankan beban yang abang tanggung. Ni tak..’’ aku membebel panjang. Enchek suamiku pula mendengus deras. Macam tertekan saja wajah dia tu?

         ‘’Kita settle hal kita ni dulu, nanti kita cari tempat best sikit. Abang janji abang akan cerita semuanya.’’ Sambil memegang tanganku keluar dari rumah encik Danial berkata. Aku pula tertangkap satu perkataan yang tak menyenangkan hati. Nak settle apa pula?

          ‘’Kita berdua ada masalah ka bang?’’ keluar juga ayat pertanyaan tu. Encik Danial mengeleng. Kami dah sampai di muka pintu. Selepas mengunci pintu rumah kami menuju ke arah kereta. Alarm ditekan dan encik Danial membukakan pintu kereta untukku. Kembang sekejap hati aku bila dilayan bagaikan tuan puteri ini. Aku meloloskan tubuhku masuk ke dalam kereta. Encik Danial menutup pintu kereta dan berjalan ke sebelah sana dan masuk ke dalam kereta. Dia menolong aku mengenakan tali pinggang. Kembang setaman lagi hati aku dibuatnya. Romantik juga laki aku ni.

              ‘’Abang dah buat temujanji dengan doktor Izzudin. Kita pergi klinik dia dulu selepas itu kita pergi ronda.’’ Aku berjeda sekejap. Mataku meratah wajah encik Danial di sebelahku.

            ‘’Buat apa pergi klinik?’’ aku bersuara ragu-ragu.

         ‘’Kita pergi scan dulu. Abang dah bincang dengan doktor Izzudin, wanita hamil dalam usia 40-an mungkin banyak risikonya. Abang tak nak isteri dan anak abang mendapat risiko tu kerana abang tak nak kehilangan kedua-duanya. Dah sampai masanya Imah berehat. Lagi pun abang akan ceraikan Diana selepas dia sembuh sepenuhnya. Mir dah berjanji nak ambil dia selepas dia habis eddah nanti.’’ Lidah aku kelu lagi bila mendengar kata-kata encik Danial kali ini. Nampaknya semua persoalan aku sudah terungkap sedikit demi sedikit.

         ‘’Oooo..’’ perlahan saja perkataan itu yang keluar daripada kedua ulas bibirku.

            ‘’Abang nak tanya sikit, boleh?’’ sambil memulas stereng, suara encik Danial kedengaran lagi. Kereta sudah keluar dari pintu pagar dan pintu pagar sedang ditutup perlahan-lahan.

           ‘’Tanya sajalah, sejak bila abang dah pandai minta izin nak tanya ni?’’ aku cuba berguaru dengannya dan tersenyum mesra. Dia turut tersenyum sama.

         ‘’Kenapa Imah dah tak panggil Diana dengan nama Hani lagi?’’ aku terus merenung tajam ke arahnya. Dia memandang sekilas ke arahku dengan wajah serius lagi.

            ‘’Abang memang dah pakat dengan Diana nak kenakan Imah ka? Imah betul-betul percaya nama dia Nordiana Hani padahal nama dia Siti Nordiana saja. Nasib baik Airil tu tanya Imah kelmarin. Dia tanya Imah kenapa Imah panggil mama dia Hani. Hiesy..geram betul bila Imah fikir balik. Hidup-hidup Imah kena tipu dengan abang dan mai(my) honey tu..’’ aku meluahkan apa yang aku rasa. Encik Danial tergelak kuat.

           ‘’Sorry..abang takut Imah mengamuk malam tu kalau Imah tahu abang kahwin lain. Diana pula ugut abang nak cerita hal sebenar kalau abang tak bagitau Imah dia tu isteri abang. Sebab tu abang pakat dengan Diana macam tu. Tak sangka Imah dapat tahu lebih awal daripada sangkaan abang dan abang paling tak sangka Imah akan layan abang lebih baik lagi selepas Imah tahu abang dah kahwin lain..’’ encik Danial terus ketawa dengan kata-katanya. Aku pula yang terasa berbahang.

           ‘’Abang ingat bila abang dengan Diana asyik speaking saja, Imah tak fahamlah apa abang cakap? Dalam diam-diam sebenarnya Imah curi-curi belajar bahasa omputih tu. Imah buka kamus setiap kali abang dengan kawan-kawan abang atau Diana cakap omputih. Memang Imah tak faham semua dan Imah masih  kompius lagi dengan sesetengah perkataan tapi sekurang-kurangnya Imah dah faham sikit.’’ Aku berkata bangga. Padahal yang faham tu cuma dua tiga patah perkataan saja. Banyak juga perkataan yang aku cari tak jumpa pun dalam kamus.

           ‘’Woo..diam-diam ubi rupanya isteri abang ni?’’ encik Danial menjeling aku sekilas dan bibirnya sudah tersenyum lebar. Aku juga sudah tersenyum gembira mendengar ayat-ayatnya. Kembang sekejap hati aku ni.

            ‘’Never cry for the person who hurts you, just smile and say ‘thanks for giving me a chance to find someone better than you. Imah dah hafal ayat tu dan dah cari maknanya dalam kamus. Walaupun Imah tak faham sepenuhnya tapi Imah dapat teka sikit-sikit. Maknanya kalau seseorang tu sakitkan hati kita, kita hanya perlu senyum dan ucapkan terima kasih kepada dia sebab bagi peluang untuk kita cari seseorang yang lebih baik daripada dia. Betul dak?’’ aku cuba mengingati ayat-ayat yang aku jumpa di atas meja kerja encik Danial. Banyak minggu juga aku menghafal kata-kata tu dan banyak hari juga aku cari maknanya. Bukan senang orang yang tak berpelajaran macam aku nak cari maknanya. Aku pun tak ada langsung asas pengetahuanku dalam mempelajari bahasa omputih tu.

               ‘’Hmm..never cry for the person who hurt you, abang terjemah dalam loghat Kedah naa? Jangan penah reyau untuk orang yang sakitkan hang. Smile and say ‘thanks for giving me a chance to find someone better than you. Senyum dan cakap kat dia terima kasih banyak-banyak sebab bagi peluang kat aku untuk cari orang yang lebih baik daripada hang..’’ encik Danial mengulang ayat-ayat omputih tu dan memberi maknanya sambil tergelak kuat. Aku rasa maksud yang dia cakap tu tak ada bezanya dengan maksud yang aku beri tadi cuma bezanya dia cakap dalam loghat Kedah kononnya. Hiesy..

           ‘’Macam nak sama saja dengan maksud yang Imah cakap tadi? Pandai pula abang nak buat ayat berbelit noo? Boleh pulak cakap loghat Kedah?’’ aku tak mahu mengaku kalah. Encik Danial tergelak lagi.

              ‘’Hahaha..tak sangka Imah akan belajar Bahasa Inggeris tu. Macam tak percaya saja Imah akan belajar sendiri. Abang nak tanya sikit. Sepanjang abang tak ada di rumah Imah ada sentuh komputer abang tak?’’ aku telan liur tanpa sedarku mendengar pertanyaan encik Danial yang seterusnya.

            ‘’Abang bukan nak marah pun kalau Imah pernah buka komputer abang. Abang nak tahu saja sebab hari tu abang buka komputer banyak folder abang yang hilang. Puas abang cari rupa-rupanya semua folder abang yang hilang tu dah ada orang pindahkan ke tempat lain. Nasib baik lagi tak hilang terus sebab abang lupa nak simpan dalam pen drive.’’ Aku terus kaku bila encik Danial menyambung kata-katanya dan menoleh ke arahku. Aku bermain dengan jari jemariku yang sudah mula berpeluh.

            ‘’Rohimah..abang tanya ni,’’ sekali lagi dia bersuara dan memandang ke arahku. Aku sudah tidak keruan. Nak mengaku ka tak?

            ‘’Mmm..sorry, Imah teringin nak belajar komputer dan buka Youtube. Ada kawan Imah cakap dia belajar bahasa Inggeris dari gambar-gambar yang ada terjemahan bahasa Inggeris tapi Imah tak reti nak buka. Sorry naa, lain kali Imah tak buat lagi.’’ Aku teragak-agak untuk bercerita takut encik Danial akan menjadi singa dalam sekelip mata tapi nampaknya..

             ‘’Tak apa..nanti abang ajar Imah.’’

               ‘’Haaa..betoi ka?

              ‘’In Sha Allah,’’

             ‘’Yes!’’

              ‘’Aik, sukanya dia?

               ‘’Hehehe..’’

               ‘’Bahasa Inggeris ni sebenarnya ramai yang pandai cakap tapi bukan semua yang pandai terjemahkannya ke dalam bahasa lain. Sejujurnya abang nak mengaku, abang pun tak pandai nak terjemah balik apa yang abang cakap. Lidah yang lancar pun boleh tergagap. Dan selalunya bila kita dah pandai cakap kita hanya faham seorang diri tapi takkan mampu nak ajar orang lain.’’ Encik Danial bersuara lagi. Kali ini wajahnya sedikit serius. Aku termangu lagi. Kalau encik Danial dah cakap macam tu, perlukah aku berputus asa saja?

               ‘’Apa maksud tu? Abang tak boleh ajar Imah ka?’’ aku bertanya balas. Dia berjeda lama.

              ‘’Bagi Imah bahasa omputih ni tak belajar pun tak apa. Macam seorang kawan Imah cakap, buat apa dok pulun sangat nak belajar bahasa omputih tu, bukan nak kena tanya pun dalam kubur esok, hang boleh cakap bahasa omputih ka dak. Malaikat pun bukan nak soal dengan bahasa omputih dalam kubur esok. Yang penting belajar dulu hukum tajwid. Ni baca Bismillah dengan Al-fatihah pun tak betoi tajwid lagi.’’ Aku berhenti sekejap berkata-kata untuk mengambil nafas. Semput pula bila dah boleh membebel panjang.

           ‘’Cuma..Imah nak belajar sebab nak elak daripada terus dikutuk berdepan. Imah teringin nak tau apa yang orang lain cakap. Sakit hati tau bila sebangsa dengan kita dok bercakap bahasa asing dengan orang lain di depan kita. Abang dengan kawan-kawan abang pun 2x5 saja. Suka sangat nak tunjuk terror. Kadang-kadang Imah rasa macam dok di planet lain saja..’’ aku menyudahkan ayat-ayatku sambil melepaskan nafas. Aku memandang ke arah encik Danial. Dia juga mengerling sekilas ke arahku. Bibirnya terukir sedikit dengan senyuman.

            ‘’Okey..nanti abang cuba ajar kalau abang ada masa..’’

.......................................................................

                   Seperti yang telah diberitahu oleh encik Danial, dia telah membawa aku ke klinik untuk menjalankan ujian ke atas diriku. Mulanya doktor scan aku. Tak sangka rupanya kandungan aku sudah berusia 19 minggu.Maknanya sudah empat bulan setengah. Janin di dalam rahimku pun sudah terbentuk elok. Doktor cakap kandungan aku sedang membesar dengan sihat Cuma aku dikehendaki untuk membuat pemeriksaan sekerap mungkin. Yang tak bestnya aku telah dileteri seketika kerana tidak membuat pemeriksaan awal. Nasib baik aku ada alasan baik punya.

             ‘’Tak sangka pun doktor. Baru dua minggu ni saja selera berubah. Sebelum ni tak perasan apa-apa pun. Bila terasa kejang perut tu ingatkan sebab masalah lain. Kadang-kadang waktu pagi tu ada juga cekang urat betis tapi ingatkan sebab umur dah meningkat jadi badan mula sakit urat. Bila badan selalu rasa letih dan mengantuk ingatkan sebab faktor umur yang semakin tua,’’ alasan pertama yang aku beri untuk membela diri. Aku pun pernah mengandung dulu dan aku faham betapa pentingnya membuat pemeriksaan perut. Itu semua demi kebaikan ibu dan anak yang sedang dikandungnya.

           Doktor terus terdiam selepas mendengar alasan aku. Mungkin dia pun faham dengan keadaan aku ataupun bersimpati dengan diriku? Entahlah, biarlah apa yang doktor Izzudin nak fikir pun tapi walau apa pun dia kata, sebelum balik tadi aku sudah membuat permintaan kepadanya. Untuk rawatan susulan aku tak mahu dia yang menjadi doktor aku.

           ‘’Kenapa?’’ encik Danial yang memberi respon terlebih dahulu kerana doktor Izzudin sudah lama menjadi doktor keluarga mereka.

            Dan jawapan yang aku beri juga cukup ringkas dan padat. ‘’Sebab Imah dah jemu kena chek dengan doktor lelaki.  Dulu terpaksa pergi hospital kerajaan jadi tiada pilihan bila doktor lelaki yang merawat. Tak boleh nak mengada-ngada buat permintaan macam ni. Takut kena hentam balik.’’ Jawapan ringkas aku yang membuatkan kening doktor Izzudin terangkat.

          ‘’Apa masalahnya kalau doktor lelaki yang merawat?’’ doktor Izzudin pula yang menyoal. Dia dan encik Danial saling berpandangan.

            ‘’Aurat, itulah masalah besarnya..’’ aku menjawab dengan tenang dan kedua-dua orang lelaki di depan aku ini terus menukar topik perbualan kami selepas itu.

            Selepas keluar dari klinik doktor Izzudin, kami kini sedang menghala ke arah destinasi yang aku sendiri tak pasti. Aku hanya meneroka jalan di kiri kananku yang banyak terdapat pokok-pokok bunga pelbagai warna. Paling menarik bila melihat pokok bunga yang sudah dipangkas cantik seperti pokok bonsai. Sesekali aku menoleh ke arah encik Danial yang diam membisu. Matanya ditumpukan ke hadapan. Sesekali dia akan mengerling ke arahku bila perasan aku sedang merenungnya. Dia memandang tanpa kata dan adakalanya hanya bibir saja yang menguntum senyum.

 
 And when you need a shoulder to cry on
When you need a friend to rely on
When the whole world is gone
You won't be alone, cause I'll be there
I'll be your shoulder to cry on
I'll be there
I'll be a friend to rely on
When the whole world is gone
You won't be alone, cause I'll be there

Life is full of lots of up and downs
And the distance feels further
When you're headed for the ground
 And there is nothing more painful than to let your feel...

               Bila siaran radio yang sedang berkumandang di dalam kereta memasang lagu omputih encik Danial turut menyanyi bersama dengan penuh perasaan. Aku hanya terdiam kerana tidak dapat memahami sepatah perkataan pun.

           ‘’Lagu ni tentang apa? Apa kisah di sebaliknya?’’ aku ingin tahu juga apa yang tersirat di sebalik lagu ini. Selalunya setiap lagu mesti ada kisahnya. Biarlah aku tak faham maknanya, tapi kalau boleh tahu kisah di sebaliknya pun okey juga.

             ‘’Lagu ni lagu kami. Ketika abang dan yang lain berjanji untuk menjadi sahabat baik kami jadikan lagu ni sebagai pengerat hubungan kami. Jatuh dan bangun kami biarlah sentiasa bersama dan kalau seorang susah biarlah kami sama-sama susah. Kalau senang biarlah sama-sama senang. Dulu, Diana pun salah seorang daripada kami. Kami berenam dulu, tapi selepas Diana kahwin dengan lelaki pilihan orang tuanya kami berpisah.

            Diana tu bukan abang seorang saja yang nakkan dia. Mirza juga ada hati dengan dia tapi orang tua Diana pula tak berkenan dengan Mirza kerana dia orang miskin dan dibesarkan di rumah anak-anak yatim. Dua tahun lepas keluarga Diana jatuh bankrup. Ayah dan mak dia pula meninggal selepas itu. Diana pula tinggal di rumah perlindungan bersama anak-anak dia...’’ encik Danial mula bercerita kisahnya. Aku hanya nak tahu pasal lagu tapi kisah lain pula yang aku dapat. Dah encik Danial sudi bercerita aku hanya bersedia untuk mendengar saja.

              ‘’Suami Diana pi mana?’’ aku menyoal pula. Tiba-tiba teringin nak tahu.

             ‘’Mereka bercerai selepas suami dia tahu Airil tu bukan anak kandung dia..’’ aku menoleh lama ke arah encik Danial. Terdengar dengusan nafasnya dilepas kasar.

           ‘’Habis tu Airil tu anak sapa?’’ aku semakin rancak menyoal. Encik Danial mengeleng perlahan.

            ‘’Diana tak nak cerita.’’ Encik Danial menjawab lemah. Minda aku pula mula berprasangka yang bukan-bukan.

           ‘’Masa abang bercinta dengan dia dulu, tak pernah..’’ aku tak jadi nak meneruskan soalan aku. Encik Danial mendengus kasar lagi. Dia menoleh sekilas ke arahku dan aku terus buat aksi zip mulut. Tak berani nak suarakan apa yang aku fikir.

              ‘’Apa yang Imah fikir? Abang berzina dengan dia?’’ encik Danial pula menyoal aku. Aku terus kaku dan bermain dengan jari sendiri, kemudian aku menoleh keluar kereta dan kembali menghayati panorama alam. Tu la pasai, mulut tak ada insuran sangat, kan dah gerun nak tengok wajah encik suami tu.

           ‘’Dulu tak pernah tapi sebelum abang nikah dengan Diana ni abang tak pasti. Kami kena tangkap khalwat di dalam hotel penginapan abang di Terengganu. Maaf, abang bukan tak mahu cerita tapi takut Imah salah faham. Abang betul-betul tak tahu apa yang berlaku sebenarnya. Kami makan berdua malam tu dan abang tiba-tiba rasa pening dan pengsan. Bila abang sedar, abang dah ada atas katil tanpa seurat benang pun. Diana pula sedang tidur di sebelah abang. Ketika abang sedar itulah bilik kami diserbu..’’ encik Danial menyambung kata dan ketika itu aku cuba bayangkan adegan dalam drama yang aku selalu tonton di tv.

          ‘’Err..Diana macam mana? Dia pakai baju tak?’’ soalan itu pula yang muncul dalam minda aku. Encik Danial menjeling tajam ke arahku dan ketika itu dia membelokkan keretanya dan berhentikan kereta. Aku perhatikan sekeliling, kami sudah berada di tepi pantai. Cantik pula tempat ni. Kenapa dia bawa aku ke sini? Nak buat pengakuan maut ka apa ni? Minda aku mula bekerja lagi.

              ‘’Tak! Macam abang juga kami ditangkap ketika sama-sama tanpa seurat benang..’’ terdengar hembusan nafas yang dilepaskan bersama kata-kata akhir encik Danial. Berat benar bunyi dengusan nafasnya itu. Aku faham, mesti dia tertekan sebab perlu bercerita cerita yang paling sensasi untuk isterinya ini. Aku cuba berlagak tenang walau dalam hati aku ni berlonjak sakan. Rasa macam nak meletup saja jantung aku ni.

           ‘’Hmm..patutnya abang suka sebab kena tangkap basah dengan bekas kekasih tapi pasai apa sejak abang balik dari Terengganu abang berubah? Muka abang tu dah macam singa jadian balik. Macam sebelum kita kahwin dulu..’’ mulut tak berinsuran aku langsung tak berpakat dengan minda. Main taram saja keluarnya. Di sebelah aku encik Danial sudah merenung tajam ke arahku.

            ‘’Sebab abang takut bini singa jadian yang mulut tak berinsuran tu pot-petkan abang tanpa henti. Ingat abang lupa ke macam mana abang kena kutuk dengan Imah dulu,’’ ujar encik Danial sambil memandang tepat ke wajahku. Aku beliakkan mata seketika. Minda sudah bersedia untuk merangka kata.

             ‘’Takut jugak dengan bini rupanya? Tapi, sebab mulut takdak  insuran inilah encik Danial tu jadi baik, kalau tak jangan harap nak jadi suami romantik macam sekarang ni dan jangan haraplah encik Danial tu nak takut bini..’’ aku berkata sambil mengetap bibir. Aku pandang encik Danial dengan wajah yang sedikit mendung. Dia pula sudah mula tersenyum kembali.

             ‘’Sebab tu abang sayang bini abang ni, sebab Imah tak pernah simpan apa yang Imah rasa. Semuanya Imah keluarkan tanpa selindung sedikit pun..’’ encik Danial berkata yakin.

             ‘’Sapa yang cakap? Tau dak jantung Imah ni macam nak meletup saja dengar abang cerita abang kena tangkap basah tadi..’’ dalam bertanya tanpa sedar aku bercerita. Aku dengar encik Danial sudah gelak kuat.

           ‘’Tu.. Imah sendiri yang cakap,’’ dia membalas sambil terus tergelak. Aku hanya mampu mengetap bibir menahan geram. Geram dengan mulut sendiri kerana tak pandai nak simpan rahsia langsung.

            ‘’Alang-alang dah terlanjur bertanya dan bercerita ni, nak tanya lagilah. Diana tu macam mana pula dia kemalangan dan abang pun cakap abang kemalangan masa balik dari Terengganu malam tu. Abang langgar sapa?’’ aku ambil kesempatan lagi. Bertanya apa saja yang sudah bersarang dalam minda aku ni.

            ‘’Abang yang langgar Diana. Bila kami kena tangkap basah malam tu abang tak mahu nikah dengan dia dan nak larikan diri. Diana cuba halang kereta abang dan tanpa sengaja abang terlanggar dia sebab dia meluru di depan kereta. Abang mengelak dan kereta abang terbabas. Diana pula jatuh dan tak sedarkan diri. Mirza yang bawa dia pergi hospital dan jaga dia hingga dia sedar. Sandy pula bawa abang balik malam tu..’’ encik Danial menjawab pertanyaanku dengan lancar. Minda aku terus menghadam semua kata-katanya. Tapi, masih ada persoalan yang bersarang dalam minda. Aku masih tak puas hati dengan setiap jawapannya.

             ‘’Pasai apa pulak nak lari? Syok la boleh nikah dengan bekas kekasih?’’ aku buat ayat-ayat sentap lagi. Kali ini encik Danial sudah memegang wajahku. Dagu aku didongakkan agar aku memandang wajahnya.

             ‘’Abang nak tanya. Kalau Imah dapat peluang nikah semula dengan bekas suami Imah, nak tak?’’ soal encik Danial sambil memandang tepat ke wajahku. Aku berjeda lama. Minda tak dapat menjawab dengan pantas. Sungguh, hati aku masih sayang pada bekas suami aku tapi, nak kembali bersamanya rasanya sangat mustahil. Aku malu dengan orang-orang kampung. Sampai ke hari ini aku masih tak berani untuk  munculkan diri.

             ‘’Encik Danial nak lepaskan Imah ka?’’ aku bertanya dan air mata tak semena-mena gugur ke pipi. Sebak terus merajai hati. Aku takut kehilangan untuk kali ke dua. Aku tak sanggup!

               ‘’Ishh,,ke situ pulak. Abang nak tahu saja, Imah selalu sangat tanya abang dengan pertanyaan macam tu. Kenapa Imah masih tak percayakan abang? Kalau abang dah cakap abang sayangkan Imah, kenapa masih nak provok abang dengan soalan tak berasas tu? Kalau abang nak Diana tu tak payah nak tunggu kena tangkap basah. Abang rasa abang mampu untuk kahwin empat sekali pun. Kalau setakat Diana tu petik jari pun abang dapat. Buat apa nak berzina dengan dia dan tunggu kena tangkap basah baru nak kahwin? Teruk-teruk abang ni pun, abang juga ada maruah,’’ encik Danial mendengus lagi. Nafas kasarnya dilepas berat dan dia sudah bersandar di kusyen kereta. Aku pula diterpa perasaan bersalah.

               ‘’Maaf, Imah selalu rasa diri Imah ni langsung tak layak untuk abang. Kita terlalu banyak bezanya. Bukan dari segi umur, malahan segalanya. Imah ni pula langsung tak sesuai di bawa masuk majlis pun. Lebih-lebih lagi majlis kawan-kawan atau saudara mara abang yang terdiri dari orang-orang kaya semuanya.’’ Sambil meluahkan suara hati, air mata aku juga turut sama berbicara. Encik Danial mengeluh lagi. Dia sudah meletakkan kedua belah tangannya di atas dahi.

             ‘’Cukup untuk hari ni. Jangan nangis. Abang tak mahu Imah berfikir yang bukan-bukan. Ingat cakap doktor tadi, Imah tak boleh stress. Kesian kat baby di dalam tu. Jom, kita turun. Abang dah lapar ni. Baby pun dah lapar tu. Nak makan apa? Semuanya boleh makan, abang tak kisah. Abang izinkan semua yang Imah nak makan. Tak payah nak pantang larang dah. Lagi lima bulan nak kena pantang lagi..’’ encik Danial cuba mengesat air mataku dan tersenyum mesra. Aku juga cuba untuk tersenyum semula. Aku capai tisu dan mula mengesat kering air mataku.

             ‘’Bukan baby saja yang lapar. Mak baby pun dah lapar ni. Imah pun malas nak fikir lagi. Imah serahkan semuanya kepada Takdir. Jom turun..’’ sehabis berkata-kata pintu kereta pun aku buka. Aku atur langkahku ke tepi pantai dan menyedut udara segar dengan hati yang tenang. Aku cuba lapangkan fikiran daripada memikirkan segala masalah yang membelengu fikiranku. Aku nak jadi insan yang sentiasa tenang dan redha.

              Encik Danial menyaingi langkahku dan mengapai tanganku. Tangan kami bertaut kemas. Dan hatiku juga sedang berbunga mekar kembali. Kosongkan mindaku daripada segala persoalan. Rasanya semuanya sudah terjawab tadi. Biarlah segalanya selesai di sini. Diana dah ada encik Mirza dan aku akan bersedia untuk menerima keputusan Datin Robiah selepas ini. Siapa menantu pilihannya?

......................................................

               Akhirnya Datin Robiah balik dari Luar Negara. Diana pula tak berani keluar dari bilik dan asyik berkurung sepanjang hari. Aku tak tahu apa yang tak kena dengan dia. Kalau dengan aku dialah bos dalam rumah ini. Bila Datin Robiah balik dia terus sepi seribu bahasa. Pagi tadi Diana menyuruh Airil memberitahu aku supaya membawa sarapan paginya ke dalam bilik. Banyak cantik muka kau. Ingat aku ni orang gaji dia ke apa? Aku membentak di dalam hati. Datin Robiah pun tak pernah mengarah aku macam tu. Agaknya, inilah masanya aku basuh minda Diana ni sampai suci bersih sikit. Omputih kata brain wash, atau kalau aku terjemah sendiri ke dalam bahasa melayu, basuh otak. Boleh ka macam tu?

              ‘’Assalamualaikum..ni pasai pa? Kalau lapar tak reti-reti nak keluar makan sendiri. Tak payahlah nak gunakan anak-anak untuk jadi perantara pulak. Minta maaf ya, mak cik tak ada masa nak mengangkut sarapan pagi Puan Diana dan bawa masuk ke dalam bilik ni. Full stop!’’ sekali aku akhiri kata-kata aku dengan bahasa omputih kebanggaan dia tu. Amekaw, ingat mak cik Rohimah ni lekeh sangat ka?

             ‘’Ingat aku tak tahu ke, kau tu dulu orang gaji saja dalam rumah ni. Aku tak mahu dengar kau bagi alasan. Aku kata nak makan dalam bilik dan memang kerja kau ikut arahan aku. Sedar sikit ya dengan status kau tu..’’ Diana terus berkeras. Bukan kali pertama dia ungkit pasal status aku dalam rumah ini. Bukan status sebagai seorang isteri kepada encik Danial tapi status aku sebagai orang gaji. Aku rasa dia mungkin masih tak dapat menerima kenyataan bahawa aku ni adalah isteri kepada bekas kekasihnya dan kini adalah madu kepadanya.

             ‘’Dah banyak kali hang sebut perkara tu. Hang tak cemuih ka asyik dok ulang perkataan yang sama saja. Mak cik ni pun cemuih sangat dah nak dengar hang dok buat ayat-ayat macam tu. Cuba buat ayat-ayat yang sedap didengar sikit. Boleh dak?’’ sekali aku bantai cakap loghat Kedah dengan dia. Selama ni aku cakap bahasa melayu sebab nak memudahkan dia dan anak-anak dia faham bahasa aku. Kalau nak suruh aku cakap omputih memang aku tak reti.

            ‘’Go to hell!’’ Diana terus menjerit dengan suara yang kuat. Airil menarik baju aku dan menyuruh aku tunduk. Aku menunaikan permintaannya.

           ‘’Mama suruh aunty pergi ke nereka.’’ Airil berbisik kepadaku.

               ‘’Astaghfirullah..mak cik sembahyang siang dan malam, mak cik ajak Airil dan Airin sembahyang sama dengan mak cik, tergamak hang nak suruh mak cik pi neraka. Macam ni la Puan Diana, buat masa sekarang ni mak cik tak pernah lagi menyimpan impian untuk masuk dalam neraka tu. Sedangkan api di dunia ni pun sakit kalau kena sikit pun, inikan pula api dalam neraka. Puan Diana tau dak api di dunia ini hanyalah cebisan kecil api neraka. Dalam neraka tu apinya lagi dahsyat daripada api atas dunia ni.’’ Aku memulakan mukadimah hujahku yang tak seberapa. Aku lihat Diana sudah mencebik.

              ‘’Get lost in my room..’’ sekali lagi Diana bersuara. Dia ni pasal apa? Tak reti nak cakap bahasa melayu dah ka? Aku baru speaking sekali saja dengan dia dengan loghat Kedah, dia bantai speaking bahasa omputih tu dengan aku berkali-kali.

            ‘’Mama kata boleh berambus dari bilik aku,’’ Airil berbisik lagi kepadaku. Sporting pula Airil ni dengan aku? Sepatutnya dia menyokong mamanya. Mungkin sepanjang dia dan adik-adiknya ada di dalam rumah ini, aku yang menjaga makan minum mereka jadi Airil memilih untuk memihak kepadaku. Sebenarnya walaupun Airil baru berusia lapan tahun tapi Bahasa Inggeris dia boleh tahan. Dia pun sedang mengajar aku mempelajari Bahasa omputih ni bila encik Danial tiada di rumah. Macam biasa encik Danial asyik sibuk saja.

            Seperti yang dijanjikan encik Danial telah mengambil pembantu rumah tapi aku pula hanya menyuruh pembantu rumah kami mengemas dan membasuh pakaian Diana dan anak-anaknya. Perkara lain seperti memasak dan membasuh pakaian aku dan encik Danial aku lakukan sendiri. Aku tak suka membiarkan orang lain melakukannya selagi kudratku masih ada dan selagi tubuh badan aku ni sihat.

                 ‘’Airil, shut up!’’ aku terkejut bila mendengar suara Diana. Agaknya dia tahu apa yang Airil sudah bisikkan kepadaku tadi.

               ‘’Airil tak cakap apa pun mama..’’ Airil menjawab pantas. Diana sudah merenung tajam ke arah Airil.

            ‘’Okey, Airil keluar.’’ Airil berkata dan melangkah keluar dari bilik. Tinggal aku berdua bersama Diana sekarang ni. Airin dengan Aimi sedang dimandikan oleh pembantu rumah kami. Sejak dia ada kadang-kadang aku meminta dia yang menguruskan Airin dan Aimi. Doktor sudah nasihatkan aku agar menjaga kesihatan dan kandungan aku. Jangan terlalu aktif sangat melakukan kerja-kerja harian. Aku hanya patuh dengan suruhan doktor. Satu hal lagi, kini tugas merawat aku telah diserahkan kepada isteri doktor Izzudin di klinik lain. Isterinya bekerja di klinik yang telah dikongsi bersama rakannya.

          ‘’Puan Diana..saya bukan nak menyibuk urusan awak tapi Airil cakap awak tak pernah bersolat ya? Kenapa dan mengapa? Awak rasa awak mampu tongkat langit ka? Awak lupa ya segala yang kita punya atas dunia ini hanyalah pinjaman semata-mata. Awak pernah kaya dulukan? Encik Danial kata keluarga awak jatuh bankrup. Awak tak pernah terfikir ka semua yang Allah bagi dia dah ambil balik. Mula-mula Dia ambil balik harta yang telah Dia pinjamkan. Lepas tu Dia ambil balik mak dan ayah awak. Lepas ni tak tahu pula apa yang bakal diambil balik. Mungkinkah nyawa awak atau anak-anak awak? Kita takkan penah dapat melihat masa depan tapi kita boleh ambil ikhtibar daripada masa lalu.’’ Tanpa berfikir panjang aku menyambung kembali hujah aku yang terhenti tadi. Diana sudah memandang bengis ke arahku. Eleh, macamlah aku takut dengan pandangan tajam dia tu.

         ‘’Airil suruh saya ajak awak bersolat. Dia kata kesian mama, sebab mama tak penah bersolat jadi Allah tak penah tunaikan permintaan mama,’’ aku cuba membakar lagi kemarahan Diana.

            ‘’Keluar!’’ Diana terus bertempik. Terkejut sekejap aku mendengar suaranya. Terkaku aku seketika.

               ‘’Apa hal ni? ‘’ pintu bilik dikuak dengar kasar dari luar. Wajah Datin Robiah terjengul di muka pintu berserta suaranya yang sama kuat dengan Diana tadi. Aku kecut perut. Diana sudah menunduk memandang lantai.

              ‘’Rohimah...keluar. Mama nak cakap sikit.’’ Datin Robiah berkata sambil memandang ke arahku. Suaranya yang garang tadi berubah nada bila dia memanggil namaku. Aku tak pedulikan Diana lagi dan mengikut Datin Robiah keluar. Dia membawa aku ke bilik bacaan. Dia menuju ke arah sofa dan menyuruh aku duduk sekali.

              ‘’Kenapa baik sangat ni? Kenapa izinkan Danial kahwin lain dan izinkan perempuan tu tinggal dalam rumah ni?’’ soalan Datin Robiah buat bibir aku terkumat-kamit. Nak cakap tapi tak berani. Tapi aku harus suarakan juga isi hatiku ini.

          ‘’Menjadi orang baik itukan dituntut dalam Islam mama? Tapi..Imah tak setuju dengan kata-kata mama ni sebab bukan Imah yang izinkan encik Danial tu kahwin lagi dan Imah juga tak izinkan pun Diana tinggal di sini. Encik Danial kahwin dan bawa balik dia dengan anak-anak dia tanpa berbincang sedikit pun dengan Imah.’’ Aku menceritakan apa yang aku tahu. Bila Datin Robiah balik aku hanya menunggu keputusan daripada dia dan ingin tahu siapa menantu pilihannya. Tapi sebaliknya bila dia menyalahkan aku kerana Encik Danial kahwin lain, aku turut menjadi keliru. Adakah aku yang bakal jadi menantu pilihannya?

         ‘’Memang tak salah jadi baik tapi jangan sampai orang lain pijak kepala kita. Macam Diana tadi, dia hanya tetamu di rumah ini tapi Imah biarkan dia tengking Imah macam tu. Semakin melampaulah dia.’’ Datin Robiah berkata lagi. Aku hanya tersenyum hambar. Dulu pun aku dah biasa kena tengking dengan dia dan encik Danial. Nak heran apa? Agaknya itulah ragam orang-orang kaya yang merasakan mereka adalah tuan?

            ‘’Imah dah bisa mama. Dulu pun selalu jugak kena tengking. Mama dah lupa?’’ aku bertanya Datin dengan selamba. Datin Robiah menghadiahkan aku dengan renungan tajam tapi sekejap cuma bila wajahnya kembali beriak tenang.

             ‘’Perkara tu dah lama berlalu. Sebab tulah Imah senang kena buli. Senang sangat ikut telunjuk orang. Kalau mama jadi Imah dah lama mama ganyang Diana tu.’’ Datin Robiah bersuara geram. Aku sudah tersenyum senang hati. Nampaknya Datin Robiah akan memihak kepadaku. Yeahoo..

         ‘’Mama sajalah yang tolong ganyangkan. Imah tak reti nak ganyang-ganyang orang ni. Dulu tak penah ambik kursus untuk masuk pertandingan gusti.’’ Aku sengaja berseloroh. Bibir Datin Robiah sudah tersenyum. Aku pula cuba mengambil kesempatan dengan suasana yang sudah berubah. Tadi macam tegang sikit. Bila tengok Datin Robiah sudah tersenyum barulah aku menjadi yakin untuk terus berbual dengannya.

                    ‘’Mama, nak tanya sikit, boleh dak?’’ sesekali  loghat Kedah aku muncul juga. Aku ni memang macam ni. Tengoklah macam mana aku layan Diana. Sekejap panggil hang, sekejap panggil Puan Diana, dalam masa yang lain pula panggil awak.

                ‘’Tanya aje..’’ Datin Robiah bagi green light. Aku tersenyum kemenangan.

               ‘’Abang cakap mama reject Diana dulu. Kenapa? Kan dulu Diana tu setaraf dengan mama sebelum keluarga dia jatuh muflis?’’ mulut tak berinsuran aku terus memainkan peranannya. Datin Robiah mengeluh keras. Wajahnya berubah riak lagi dalam sekelip mata.

            ‘’Diana tu tak jujur. Bercinta dengan Danial tapi mengandung anak jantan lain. Airil tu anak Mirza. Mereka bermain kayu tiga di belakang Danial. Sampai sekarang Danial masih menyangka Airil tu anak dia..’’ kata-kata Datin Robiah buat mulut aku melopong. Terkejut mendengar pengkhianatan antara encik Mirza dan Diana terhadap encik Danial. Bagi aku encik Mirza adalah kawan encik Danial yang paling baik.

           ‘’Macam mana mama tahu Airil tu anak encik Mirza? Dan macam mana pula encik Danial boleh menyangka Airil tu anak dia? Sebab Imah penah tanya dia sama ada dia penah tidur dengan Diana dulu tapi dia..’’ aku tak jadi menyambung. Aku cuba ingat kembali kata-kata encik Danial sebelum ni. Pernahkah dia mengaku dia tak pernah tidur dengan Diana? Aku keliru.

          ‘’Bila Danial datang kepada mama dan suruh mama melamar Diana, memang mama nak ikut permintaan dia tapi mama meminta masa untuk membuat keputusan. Dua hari kemudian Mirza pula datang dan buat pengakuan Diana dah mengandung anak dia tapi keluarga Diana tak mahu menerima dia sebab dia orang miskin.
          Mirza kata Diana memang tak sukakan dia tapi Diana berpakat dengan dia sebab nak minta Danial kahwin dengan dia dan Diana juga beritahu Danial yang dia sedang mengandungkan anak Danial. Mirza pula cerita dengan mama, dia sengaja buat bagi Diana mengandung kerana nak ugut orang tua Diana. Akhirnya Danial ataupun Mirza tak kahwin pun dengan Diana bila orang tua Diana sudah ada orang lain untuk dikahwinkan dengan Diana..’’ Datin Robiah berhenti sekejap bercerita. Aku hanya diam membisu dan terus menunggu dia menghabiskan ceritanya.

             ‘’Bila mama membantah keras perhubungan Danial dan Diana ketika itulah Danial berpura-pura terlibat dalam kemalangan dan berpura-pura telah lumpuh. Danial terus menjadi diam dan murung. Dia tak mahu bercakap dengan mama lagi. Seminggu kemudian mama berjumpa dengan kawan mama yang berpakat dengan Danial. Dia yang ceritakan semuanya kepada mama.
             Mama mengambil keputusan untuk mengikut rentak Danial dan mula memasang spy untuk mengintip pergerakan Danial. Dia menjadi liar setiap kali mama pergi ke Luar Negara. Danial semakin tak dapat dikawal. Perangai dia semakin teruk hari demi hari. Pernah sekali seorang pembantu yang mama upah untuk menjaganya hampir dirogol oleh Danial.’’ Datin Robiah berhenti bercerita lagi. Aku sudah beristighfar di dalam hati. Teruknya kisah silam encik Danial.

              ‘’Imah orang yang ke sepuluh yang mama upah. Bila mama upah Imah yang lebih tua daripada yang lain mama ingat Danial akan mengamuk tapi sebaliknya Danial hanya diam saja. Bila spy mama membuat laporan kepada mama, ketika itu mama mula berfikir panjang dan mula menyiasat siapa Imah yang sebenarnya..’’ Datin Robiah memandang ke arahku dan aku pula sudah melopong lagi. Aku pun kena siasat juga rupanya?

          ‘’Mama hairan bila Danial sudi ikut ke mana saja Imah pergi. Bila Danial ikut Imah balik kampung dan selesaikan kes cerai Imah masa tu minda mama tak dapat berfikir dengan sempurna kerana mama rasa seolah mama dah tak kenal Danial lagi. Danial yang mama kenal tak suka tinggal di kampung. Dia cukup pantang kalau mama ajak dia balik kampung.’’ Datin Robiah menyambung kata dan tergelak kecil. Apa yang lucunya? Aku cuba membaca minda Datin Robiah daripada riak wajahnya.

            ‘’Dan mama paling hairan bila Danial tunduk kepada Imah sedangkan mama yang garang ni pun Danial buat tak heran. Bila Danial mula berubah, mama rasa inilah masanya mama juga turut berubah. Demi Danial mama juga cuba mendekatkan diri dengan Allah.’’ Kali ini aku tak setuju dengan kata-kata Datin Robiah. Mulut aku sudah gatal untuk memangkas kata-katanya.

            ‘’Selama ni mama tak ikhlaslah dengan Allah? Mama berubah kerana encik Danial bukan kerana Allah?’’ ayat-ayat pedas aku keluar spontan daripada bibirku. Datin Robiah terdiam seketika.

              ‘’Salah ke mama cakap tadi?’’ setelah beberapa saat dia kembali menyoal aku. Aku menjatuhkan kepalaku dan membalas kata-katanya.

               ‘’Niat nak berubah tu baik dah mama tapi bila mama cakap mama berubah demi Danial anak kesayangan mama tu, itu yang salahnya. Hidayah itu milik Allah mama. Allah yang tiupkan Hidayah dalam hati mama. Mama kenalah berubah dan menjadi orang yang beriman dan bertaqwa kerana Allah!’’ aku memulakan lagi sesi hujahku. Macamlah aku ni alim sangat. Cakap saja gah, padahal aku pun banyak kelemahannya juga.

            ‘’Hmm..agaknya tadi kenapa Diana tu tengking Imah? Imah dah ceramahkan dia ke?’’ Datin Robiah bertanya sambil tersenyum. Aku juga sudah melebarkan senyumanku. Macam tahu-tahu saja Datin Robiah ni perangai aku.

         ‘’Alah, Airil yang minta tolong Imah. Dia kata kesian mama dia sebab mama dia tak penah solat jadi Allah tak penah tunaikan permintaan mama dia,’’ aku berkata jujur. Datin Robiah tergelak perlahan.

           ‘’Jadi mulut tak berinsuran menantu mama pun mulalah memainkan peranan ya?’’ dia terus menyoal dan tergelak.

           ‘’Nak buat macam mana, nak beli insuran takdak duit..’’ aku pula cuba berseloroh.

            ‘’Mama, agaknya antara Imah dan Diana siapa yang akan kekal sebagai menantu mama?’’ aku menyoal dengan soalan cepubelian itu tiba-tiba. Datin Robiah tayang wajah kering kepadaku.

          ‘’Ikut suka Daniallah. Mama tak mahu masuk campur!’’ Datin Robiah menjawab sambil bangun. Dia mencapai tanganku dan mengajak aku keluar dari bilik bacaan.

             ‘’Jom..kita makan kat luar. Mama nak bawa Imah ke tempat special. Mama dengar ada rojak buah dan pasembur special di situ. Imah mesti suka makan rojak buah?’’ aku sudah telan liur mendengar kata-kata Datin Robiah. Tiba-tiba rasa macam nak peluk saja dia tapi malu pula nak buat macam tu.

             ‘’You are the best mother in law in the world mama!’’ teringin pula nak membodek mak mertua aku ni dan Datin Robiah sudah tergelak mendengar kata-kataku.

              ‘’Awat mama gelak? Bahasa omputih Imah salah ka?’’ aku teringin juga nak tahu. Almaklumlah, tiba-tiba gatal pula mulut aku ni nak speaking omputih.

             ‘’Hantam sajalah Rohimah..’’

................................................................

           Bila jawapan yang aku nanti-nantikan daripada Datin Robiah tidak aku perolehi maka malam ini aku ingin pula mencari jawapan daripada encik Danial. Aku sengaja mengajak encik Danial bersantai di balkoni bilik kami yang aku hiasi sendiri dengan tanam-tanaman renek dan menjadikannya seperti taman mini kecil.

          ‘’Abang..abang nak tahu tak siapa sebenarnya ayah Airil?’’ sengaja pula aku utarakan topik sensasi ini. Aku lihat encik Danial macam serba salah nak menjawab.

            ‘’Mama dah cerita semuanya kepada Imah. Mama kata selama ini abang sangka Airil itu anak kandung abang. Jadi anak yang Imah sedang bawa ni anak kedua abanglahkan?’’ aku cuba menguji dia dengan ayat-ayat aku. Dia tersentak sedikit dan memnadang lama ke arahku.

           ‘’Imah tahu? Imah tak marah?’’ aku mengeleng laju mendengar pertanyaannya.

              ‘’Nak marah buat apa? Perkara tu dah berlaku sembilan tahun yang lalu. Imah pun tak kenal abang lagi. Sedangkan abang kahwin dengan Diana pun Imah tak ada hak nak marah abang pun.’’ Aku berkata jujur. Ya, memang aku tak ada hak nak marah dia. Siapalah aku inikan?

               ‘’Maafkan abang. Kalau Imah nak tahu, pasal hal ini jugalah abang sudi nikah dengan Diana. Dia ugut abang, katanya kalau abang tak nikah dengan dia, dia akan bocorkan rahsia kami bahawa kami pernah berzina dan dia sudah melahirkan anak kami. Abang memang tak mahu Imah tahu hal-hal silam abang.’’ Ujar encik Danial dan aku pula sudah mendapat satu akal untuk mengenakan dia.

             ‘’Imah ingatkan Imah paling senang kena buli, rupanya sangkaan Imah dengan diri sendiri terpesong jugak. Abang lagi senang kena buli rupanya. Lagi kesian dengan abang bila yang membuli abang tu adalah kawan baik dan bekas kekasih abang sendiri,’’ aku berniat untuk bercerita apa yang aku tahu kepada encik Danial dan mukadimahnya aku sengaja menarik minatnya dengan kata-kataku ini.

            ‘’Bila pula abang kena buli ni?’’ soalan encik Danial membuatkan bibir aku terukir dengan senyuman walaupun senyuman tu hambar sedikit. Senyuman yang dipenuhi dengan rasa simpati yang membuak-buak.

         ‘’Mama cakap Airil tu bukan anak abang tapi anak salah seorang kawan baik abang. Imah tak nak bagitau sapa orang tu. Kalau abang terror abang tekalah sendiri..’’ aku masih ingin berteka-teki.

            ‘’Anak Mirza?’’ encik Danial meneka pantas.

            ‘’Abang pasti?’’ aku menyoal kembali.

             ‘’Bila kami berlima cuba meneka wajah Airil macam siapa, Mirza bersungguh-sungguh mengatakan wajah Airil macam muka dia. Lagi pun antara kami berlima hanya abang dan Mirza saja yang pernah sukakan Diana. Kalau bukan abang tentulah Mir..’’ encik Danial berkata sambil meramas rambutnya sendiri. Wajahnya nampak kusut. Aku semakin simpati akan nasibnya.

           ‘’Mana mama tahu anak tu bukan anak abang?’’ dia kembali menyoal aku.

           ‘’Mama cakap encik Mirza yang datang kepada dia dan membuat pengakuan. Sebab tulah mama tak restu perhubungan abang dengan Diana tapi abang pulak tergamak pulaukan mama dan berpura-pura menjadi lumpuh. Kesian betul dengan mama sebab dapat anak macam abang ni..’’ aku sengaja lagi menguji encik Danial dengan kata-kata pedas aku. Encik Danial sudah menunduk memandang lantai balkoni. Aku sempat menangkap dia mengesat air matanya. Jahatnya mulut aku ni.

           ‘’Betullah Mirza? Kenapa dia tergamak nak kenakan abang selama ni. Abang betul-betul percayakan dia. Agaknya kes kami ditangkap berkhalwat malam tu pun mungkin pakatan Mir dengan Diana juga..’’ suara encik Danial bernada sayu. Aku memahami perasaan dia. Memang sakit bila dikhianati rakan baik sendiri. Rakan baik yang paling dipercayai.

              ‘’Apa keputusan abang selepas ni? Imah dah tanya mama siapa menantu pilihan dia. Mama kata dia nak abang yang buat keputusan sebab dia tak mau masuk campur,’’ aku berkata sambil memandang wajah encik Danial. Dia pula sedang mendongak ke atas. Di langit malam kelihatan bintang-bintang sedang bersinar indah.

            ‘’Buat apa abang nak simpan isteri yang sanggup menikam abang dari belakang? Imah tak macam Diana. Tengoklah sekian lama mereka simpan rahsia ni daripada abang tapi sekelip mata saja Imah dah bocorkannya.’’ Encik Danial menjawab soalanku sambil menoleh ke arahku. Dia merenung tepat ke dalam mataku dan akhirnya meraih aku ke dalam pelukannya. Sempat dia menghadiahkan sebuah kucupan hangat di dahiku.

           ‘’Maaf..Imah bukan sengaja nak bocorkan. Abang jangan cerita dengan mama ya. Nanti mama tak nak kongsi rahsia dengan Imah lagi sebab mulut Imah ni takdak insuran.’’ Sambil meminta maaf aku memberi amaran halus untuk encik Danial. Aku pun tak tahu kenapa aku jadi macam ini. Bagi aku kebenaran harus diungkapkan.

            ‘’Tak perlu nak minta maaf pun. Imah tak bersalah. Abang yang buta mata dan hati sebab tak dapat menilai kebenaran. Sebab itu Allah kirimkan Imah untuk abang supaya abang celik mata untuk melihat pengkhianatan yang sedang berlaku di depan mata abang.’’ Sekali lagi aku lihat encik Danial mengesat air matanya sehabis dia berkata-kata. Aku menarik dia dan memeluk dia sekali lagi. Aku usap belakangnya perlahan. Aku tahu hati dia sedang terluka.

          ‘’Encik Mirza tak berniat kot nak khianat dan buat perkara macam tu? Kadang-kadang manusia akan buta hati kerana cinta. Mungkin kerana terlalu sayangkan Diana jadi dia mengikut semua rancangan Diana. Atau mungkin juga ada rasa cemburu dalam hati dia terhadap abang sebab abang berjaya dapat hati Diana jadi dia pula cuba dapatkan kepercayaan Diana,’’ aku berkata tanpa teragak-agak. Encik Danial menunjukkan respon yang berbeza dengan sebelum ini. Dia memandang pegun ke arahku.

           ‘’Mana Imah tahu? Macam terror sangat pula dia buat ulasan?’’ aku sudah tergelak tanpa sedar mendengar kata-katanya.

             ‘’Rasanya Imah dah banyak sangat kot tengok drama dalam tv, sebab tu Imah buat ulasan macam tu. Meneka dalam kesamaran kadang-kadang berhasil juga.’’ Aku mereka-reka alasan sendiri. Marah pula orang yang buat drama tu kalau tahu aku salahkan drama mereka.

            ‘’Abang tak sangka Mir akan berpakat dengan Diana tu dan akan tipu abang. Tapi kenapa dia ceritakan kepada mama dan bukan kepada abang? Mama ada cerita tak kenapa?’’ mendengar soalan encik Danial aku kembali mengimbas perbualan aku dengan Datin Robiah.

          ‘’Mama kata encik Mirza berpakat dengan Diana sebab nak abang kahwin dengan Diana dan encik Mirza pula nak gunakan kandungan Diana tu untuk ugut ayah Diana agar mereka diizinkan berkahwin. Sebenarnya abang penah terlanjur dengan Diana ka dulu sampai abang percaya yang Airil tu anak abang?’’ aku memulakan lagi penyiasatan tak rasmi aku. Memang tak puas hati selagi tak mendapat jawapannya. Bukan aku nak marah dia pun, lagi pun perkara tu dah lama berlaku.

            ‘’Abang tak tahu. Dulu perangai abang teruk. Abang memang kaki perempuan dan selalu pergi kelab-kelab malam. Arak tu dah jadi minuman harian abang. Satu malam tu abang mabuk teruk dan bila abang bangun pagi, abang sedang tidur sebilik dengan Diana. Abang tak tahu pun apa yang berlaku,’’ aku beristighfar lagi di dalam hati mendengar pengakuan encik Danial. Dia sudah tersenguk menahan tangis selepas meluahkan semuanya. Aku mengusap lembut bahunya. Aku tahu bukan mudah untuk membuka aib sendiri tapi di dalam dunia ini tak ada manusia pun yang sempurna. Itu adalah sejarah silamnya.

                ‘’Mungkin tak berlaku apa-apa pun, atau mungkin sebab itulah mereka mengambil kesempatan untuk menipu abang? Dengan perempuan lain, macam mana pula? Abang tak penah tidur dengan mereka. Kan abang cakap tadi abang kaki perempuan?’’ aku masih rancak menyoal. Encik Danial mengeleng perlahan.

              ‘’Abang cuma buat yang ringan-ringan saja. Tak pernah lagi abang bawa sampai ke tempat tidur. Cuma dengan Diana saja abang terbabas sikit. Mungkin masa tu perasaan abang kepada dia terlalu kuat. Abang pun tak tahu. Macam mana kami boleh tidur sebilik. Abang tak ingat,’’ aku terdiam lama dan cuba membayangkan setiap cerita encik Danial seperti drama yang aku tonton di dalam tv. Agaknya macam mana situasi tu dan perempuan yang macam mana yang selalu mengelilingi encik Danial?

                 ‘’Imah fikir apa?’’ aku tersentak bila encik Danial menyoal aku pula. Dengan wajah yang selamba aku menjawab soalannya.

               ‘’Imah tengah fikir, macam mana Diana tu boleh sukakan abang sedangkan abang dulu kaki perempuan. Kalau Imahlah jangan harap Imah nak sukakan abang..’’ aku berkata selamba sambil cuba menjauhkan diri daripada encik Danial bila dia seakan ingin menerkam aku. Dia merenung tajam ke arahku. Aku pula sudah tergelak melihat wajah bengisnya.

            ‘’Ooo..tak sukakan abang? Tapi, agaknya apa yang Imah fikir bila abang bawa balik Diana malam tu dan Imah layan abang lebih baik daripada sebelumnya?’’ encik Danial cuba provok aku dengan soalan mautnya. Aku tersenyum sumbing.

          ‘’Malam tu..sebab Imah nak pikat abang dan jadikan abang milik Imah selamanya. Imah tak nak kalah dengan Diana yang Imah rasakan lebih mengancam dan lebih mengoda berbanding dengan Imah. Lagipun Diana tu ada rupa walaupun dia baru keluar hospital tapi wajah dia tetap cantik dan menawan. Bila tahu dia bekas kekasih abang, lagilah Imah rasa terancam.  Masa tu Imah dah mula bersedia untuk terima sebarang kemungkinan. Kalau abang nak tinggalkan Imah, Imah dah bersedia untuk bungkus kain baju dan balik kampung.’’ Tanpa berfikir panjang aku meluahkan kata-kataku, padahal aku tak terfikir pun sejauh itu malam tu. Semua kata-kataku malam ni hanya sekadar untuk melihat respon encik Danial saja. Dia sudah membeliakkan matanya ke arahku.

            ‘’Sampai bila Imah nak meragui cinta abang? Sampai bila Imah nak syak wasangka dengan abang? Bagi abang, sejak kita nikah, Imah adalah segalanya dalam hidup abang termasuk mama.’’ Muka encik Danial menjadi merah bila dia berkata begitu. Marahkah dia kepadaku? Aku sudah tak berani untuk memandang wajahnya. Aku terus mendongak ke langit dan berpura-pura mengira bintang. Satu, dua, tiga, empat, lima..

          ‘’Rohimah..’’ encik Danial memanggil aku dan menghampiri aku. Aku buat-buat tak dengar dan masih mengira bintang di langit. Enam, tujuh, lapan, sembilan..banyaknya bintang yang bertaburan di langit malam ni.

         ‘’Hmm..inilah dia perangai isteri abang.’’ Terdengar bisikannya. Aku mengulum senyum. Dan selepas itu dia sudah menarik aku untuk masuk ke dalam bilik dan menutup pintu yang menghubungkan balkoni dan bilik kami.

................................................

                         Aku keluar ke supermarket dan membeli belah bersama dengan pembantu rumah. Namanya Alya, baru berusia 21 tahun. Aku pilih dia sebab dia ada ciri-ciri wanita muslimah. Sejak dia tinggal dengan kami dia tak pernah lagi tinggal solat. Bila kami solat berjemaah di bilik solat kami akan ajak dia solat bersama. Anak-anak Diana juga akan solat bersama kami. Diana? Aku tak tahu. Sejak aku suruh dia bersolat, dia dah tak izinkan aku masuk ke bilik mereka lagi. Encik Danial pula sudah berura-ura untuk melepaskan Diana secepat mungkin.

                  Hari tu aku perasan dengan gelagatnya bila dia menghampiri Airil. Dan bila encik Mirza pula datang ke rumah kami dia berbuat perkara yang sama terhadap encik Mirza. Agaknya dia nak buat ujian DNA sebab aku melihat dia menyimpan rambut keduanya di dalam plastik kecil. Aku pernah tanya dia pasal tu tapi dia cakap selagi tak mendapat bukti sahih dia takkan cerita kepada aku sebab aku ni mulut tak ada insuran. Ceh, terkena juga aku.

               ‘’Puan..ikan ni nak dimasak apa? Boleh ke dimakan ikannya?’’ bila aku memegang ikan put-put saiz besar dan membelinya Alya sudah menyoal aku. Setiap hari memang aku yang memasak. Mungkin dia tak pernah memasak ikan tu sebelum ni sebab aku pernah tanya dia di mana dia bekerja sebelum ni. Katanya dia pernah bekerja di rumah seorang Tan Sri. Dah pasti lauk yang dimasaknya adalah ikan yang mahal harganya.

           ‘’Jangan bimbanglah. Saya takkan suruh awak masak. Awak tolong saya jaga budak-budak tu saja nanti.’’ Aku bersuara perlahan. Alya hanya mengangguk.

             Selepas selesai membeli barang-barang keperluan kami pun pulang ke rumah. Hari ini hari minggu dan semua orang ada di rumah. Encik Danial pula telah memberitahu aku hari ini kawan-kawannya akan datang makan di rumah kami lagi. Aku sudah bersedia dengan beberapa menu kampung untuk menyambut kedatangan mereka nanti. Alya pun sudah mula menyesuaikan diri dengan masakan aku tapi aku bagi juga kebebasan untuk dia memasak makanan kegemarannya. Adakalanya aku juga tumpang sekali makan bersamanya.

            ‘’Boleh makan ke ikan ni?’’ encik Danial yang sedang menyibuk di dapur menyoal aku yang sedang menyiang ikan put-put yang bermata besar dan banyak tulangnya. Bukan ikan ini saja yang aku beli tadi. Ada juga ikan bawal dan ikan cencaru. Aku bercadang untuk memasak kari ikan bawal dengan mengunakan rempah ‘cap pengisar’ iaitu rempah yang aku kisar sendiri. Kalau di kampung akan dipanggil rempah giling. Bahan-bahannya adalah cili kering, jintan putih, jintan manis, rempah biji (ketumbar), kunyit ketul yang telah dikeringkan, bawang merah dan bawang putih.

               ‘’Awat? Abang tak makan ka ikan ni?’’ aku menyoal encik Danial kembali.

               ‘’Ikan apa ni?’’ dia tanya lagi.

                  ‘’Ikan put-put..’’ aku menjawab dengan selamba dan mula menyiang ikan bawal pula. Kemudian disusuli dengan ikan cencaru. Ikan cencaru aku belah belakang selepas membuang kulitnya yang keras. Ikan cencaru ni aku bercadang untuk menyumbat cili di dalamnya dan dibakar.

                ‘’Tak pernah tengok pun dan tak pernah dengar nama ikan ni. Apa ke pelik sangat namanya?’’ dia mencebikkan bibir. Aku hanya tersenyum. Tunggu sajalah penangan ikan ini nanti. Kalau dikampung ikan ni selalu dijadikan ikan kering saja. Aku pula selalu mereka-reka resepi aku sendiri.

                Bila mama datang ke dapur, dia juga cakap dia tak makan ikan put-put tu. Airil juga cakap macam tu. Diana lagilah kuat komennya. Ikan murahan dan tak sesuai dengan seleranya yang hanya makan ikan mahal saja. Airil pula cakap dia tak suka makan ikan yang banyak tulang. Encik Danial turut menyokong Airil. Alya pun sama. Dia tak pernah makan ikan yang banyak tulang dan tak suka makan ikan macam tu. Boleh dikatakan semua orang dalam rumah ni sudah memberikan komen negatif dengan ikan pilihan aku hari ini. Okey, we wait and see..bila tiba masa makan nanti. Ceh..gatai pulak nak speaking omputih.

              Aku mula memasak bila semua orang meninggalkan aku seorang diri di dapur. Selepas aku basuh semua ikan dengan bersih aku siram air yang terakhir dan selawatkannya. Ikan put-put tu aku asingkan isi dan tulangnya. Aku gunting bahagian tepi ikan dan kemudian aku gunting isi ikan menjadi kecil. Aku masukkan ke dalam bekas dan mula memasukkan rencahnya. Sesudu serbuk kari daging, sesudu tepung goreng KFC segera. Sedikit serbuk perasa ataupun sedikit serbuk sesedap rasa. Aku gaulkan hingga sebati dan mula mengoreng hingga garing agar tulang ikan akan menjadi ranggup.

              Setelah garing aku masukkan bawang besar yang aku potong bulat bersama cili padi yang sudah aku hiris kecil. Aku goreng lagi hingga bawang menjadi wangi. Aku perlahankan api agar ikan tak hangit. Sebelum mengangkat aku masukkan sesudu gula dan gaulkan. Aku toskan minyak dan masukkan ke dalam mangkuk. Kalau dikampung aku akan masukkan daun kari mengantikan bawang besar dan kami akan makan begitu saja seolah kami sedang makan keropok ikan atau satey ikan tapi memandangkan hari ini aku bercadang untuk dihidangkan dengan nasi jadi aku tukar daun kari dan menambah bawang besar sebagai rencahnya.

            Usai memasak semua masakan aku berehat sebentar sebelum menyuruh Alya menghidangkan makanan tengahari kami yang cukup ringkas. Seperti biasa sayur-sayuran segar dan ulam-ulaman yang aku tanam menjadi salah satu menu kami. Hari ini aku buat sambal belacan special yang digaul bersama tempoyak. Perghh..aku dah terliur apabila terhidunya.

           ‘’Woo..terbaekklah mak cik.’’ Encik Sandy sudah memuji masakan aku sebelum menjamahnya. Baru saja duduk di meja makan dia sudah berkata-kata.

              ‘’Imah guna rempah apa? Lain macam saja mama bau. Macam rempah giling saja.’’ Datin Robiah merangkap ibu mertuaku tersayang pula bertanya.

               ‘’Rempah cap pengisar mama..’’ aku menjawab selamba soalan Datin Robiah. Kari ikan bawal berkuah pekat aku aromanya memang menyelerakan tekak. Apatah lagi bila ditumis dengan bawang merah dan bawang putih  dicampur dengan halba campur dan daun kari.

           ‘’Rempah keluaran baru ke tu?’’ masih lagi disoal dengan isu yang sama. Aku sudah mengangguk sambil tersenyum. Biarlah mereka merasa dulu masakan aku hari ini. Kalau mereka minta resepi nanti barulah aku cerita rahsianya.

           ‘’Ini masakan apa pula?’’ encik Alvin turut menyoal. Aku melihat mangkuk ikan put-put tadi. Buat masa sekarang aku nak rahsiakan dulu resepi baru aku tu. Biarlah mereka tak tahu isinya adalah ikan put-put yang sudah dihentam oleh semua orang tadi.

               ‘’Yang tu antara menu istimewa hari ini. Sapa nak makan dengan nasi atau ratah begitu saja pun boleh.’’ Aku menjawab yakin sebab rasanya yang manis-manis pedas itu sesuai untuk dikunyah sebagai makanan ringan. Boleh juga dianggap sebagai keropok.

          Bila aku cakap boleh diratah begitu saja, encik Danial yang mula merasanya. Disusuli dengan Datin Robiah dan kawan-kawannya. Diana dan Airil juga turut merasa. Aku hanya tersenyum gelihati di dalam hati melihat gelagat mereka.

            ‘’Sedap. Macam makan keropok ikan.’’ Encik Sandy yang memberikan komen. Aku pula tak mahu kata apa-apa hinggalah mangkuk ikan put-put menjadi kosong selepas semua orang selesai makan.

           ‘’Ikan put-put tadi Imah masak apa? Abang tak nampak pun, atau Imah tak hidangkan sebab tak ada siapa nak makan?’’ seperti orang mengantuk disorongkan bantal begitulah aku rasa bila encik Danial menyoal aku sebelum masing-masing meninggalkan meja makan.

         ‘’Sapa cakap Imah tak hidang? Sapa cakap tak ada sapa yang nak makan? Imah tengok semua makan ikan tu terutamanya Puan Diana yang kutuk ikan tu kaw-kaw tadi. Dia yang paling banyak ambil termasuk abang juga. Mama yang cakap tak makan pun mama makan juga tadi..’’ aku tersenyum sambil berkata. Semua mata sudah merenung aku. Datin Robiah jungkit kening. Diana pula sudah mencebirkan bibirnya. Encik Danial tayang wajah keringnya.

             ‘’Keropok ikan ni ke?’’ Datin Robiah mengangkat mangkuk ikan put-put yang sudah kosong. Aku menjatuhkan kepala berkali-kali. Encik Danial sudah tergelak.

            ‘’Akai jenuh noo..’’ encik Sandy yang bersuara bila melihat nama-nama yang aku sebutkan tadi sudah melopong. Dia macam tahu saja maksud aku tadi bahawa aku dah berjaya kenakan orang-orang di dalam rumah ini. Omputih kata ‘’Don’t judge a book by it’s cover. Betoi ka dak bahasa omputih aku ni? Macam tu jugalah dengan ikan yang nampak hodoh dan banyak tulang ni. Kalau kena gaya memasaknya tulang pun ghaib macam tu saja.

                ‘’Rohimah...bini abang ni memang macam ni kan? Orang dah makan habis baru nak buka rahsia ke? Selalunya mulut tu cepat saja nak bongkarkan rahsia. Bila sebut pasal rahsia ni kan, Mir dan Diana selepas ni korang berdua masuk ke bilik bacaan sekejap sebab aku ada benda penting nak tunjuk kat korang berdua.’’ Encik Danial bersuara dan mengeleng kepala berkali-kali. Bila nama Diana dan nama encik Mirza disebut wajahnya bertukar serius pula dan dia sudah melangkah menuju ke bilik bacaan. Kawan-kawannya yang lain sudah saling berpandangan.

           ‘’Kenapa tu mak cik?’’ encik Sandy menyoal aku. Aku buat aksi zip mulut. Tak nak masuk campur.

                ‘’Ala mak cik..’’ encik Sandy cuba memujuk aku selepas itu. Aku terus melarikan diri dan berpura-pura melayan anak-anak Diana. Aku dukung Aimi dan membawa Aimi masuk ke dalam bilik solat. Aku menyuruh pula Airil dan Airin mengambil wuduk dan mengajar mereka membaca Al-Quran untuk Airil dan Airin membaca Iqra. Aimi pula aku cuba tidurkan sementara mengajar abang dan kakaknya membaca. Aku dodoikan Aimi di atas ribaan aku.

.....................................................................

              Sekarang ni encik Danial dan Diana sudah sah bercerai selepas isu Airil terbongkar. Mereka tiada alasan untuk diberikan bila encik Danial menunjukkan report DNA yang diterimanya. Sementara menunggu Diana habis eddah mereka tinggal sementara di rumah perlindungan yang mereka tinggal sebelum ini.          

             Kenapa mereka tinggal di rumah itu? Kesnya bermula bila Diana telah didera oleh suaminya bila status Airil terbongkar. Kesian pula dengan Airil, kerana kesalahan Diana dan encik Mirza nama dia turut terkait sama. Bila manusia tak dapat mengawal nafsu, yang menjadi mangsa adalah anak yang telah dilahirkan itu hingga mereka digelar dengan bermacam gelaran oleh beberapa pihak yang tak mempunyai hati dan perasaan.

              Diana malu selepas helahnya terbongkar dan tak mahu tinggal di rumah kami lagi. Datin Robiah pula membuat keputusan untuk berhenti menguruskan syarikatnya dan menyuruh encik Danial mengantikan tempatnya. Encik Danial kembali sibuk berganda-ganda. Aku pula semakin sarat namun dalam masa yang sama hati ini masih gatal nak mengikut encik Danial balik ke Kedah.

              Syarikat kosmestik yang menjadi perkongsian antara encik Danial dan kawan-kawannya masih berfungsi seperti biasa dan mangsa selanjutnya adalah Alya yang mempunyai masalah kulit yang agak kusam dan berjerawat. Nasib kaulah Alya. Mungkin semua pembantu rumah Datin Robiah sebelum ini pun mengalami nasib yang sama seperti kami. Terpaksa menjadi bahan kajian oleh encik Danial dan kawan-kawannya. Aku tak larang pun bila mereka menjadikan Alya sebagai sasaran asalkan bukan sebagai madu aku. Yang tu aku pasti bantah keras.

                     ‘’Nanti kalau ada apa-apa hal call abang tau. Abang nak jumpa client dulu, lepas ni abang akan pergi rumah kak Fatin tu. Masih di tempat dulu lagikan?’’ bila kami sampai di Alor Setar encik Danial pula sudah lambat untuk temujanjinya bersama orang yang dia nak jumpa. Aku pula terpaksa telefon kak Fatin untuk mengambil aku di Pekan Rabu. Niat di hati nak ronda dulu pekan Alor Setar sebab dah lama tak balik ke Kedah.

               ‘’Kalau abang cari tak jumpa nanti, abang call Imah.’’ Senang saja jawapan aku sebab aku pun tak pasti sama ada kak Fatin masih tinggal di tempat yang sama.

             ‘’Okey..take care. Jangan lasak-lasak sangat. Imah bukan bawa diri Imah sorang saja. Ada anak abang sekali. Kalau ada apa-apa jadi kepada Imah. Abang akan saman Imah,’’ ayat-ayat selamba encik Danial membuatkan mataku membesar tanpa sedar. Amboih.. boleh tahan juga laki aku ni.

             ‘’Tu sayang anak ka sayang bini?’’ encik Danial tak menjawab soalan aku. Bila aku turun dari kereta dia terus menutup pintu kereta dan melambaikan tangan kepadaku. Sejurus kemudian keretanya sudah bergerak laju meninggalkan aku di Pekan Rabu Alor Setar untuk menunggu kak Fatin.

             Bila kak Fatin sampai aku mengajak dia untuk ronda-ronda di Alor Setar sebelum kami pulang ke rumahnya. Rasanya sudah dua tahun aku tak balik ke sini selepas aku bercerai dulu. Anak-anak aku pun sudah dua tahun tak bertemu muka denganku. Aku bukan sengaja nak mengabaikan mereka tapi perasaan serba salah aku kepada mereka yang memaksa aku. Aku terlalu rindukan mereka berdua namun dalam masa yang sama juga aku hilang keyakinan diri untuk berdepan dengan mereka dan orang-orang kampung. Entah apa tangapan mereka terhadapku?

           ‘’Apa habaq dengan orang sini? Anak-anak Imah dok dengan sapa la ni? Aina masih dok dengan tok dia lagi ka? Airie, kak Wan yang dok jaga lagi ka?’’ bertubi-tubi soalan yang aku ajukan untuk kak Fatin sebaik aku masuk ke dalam keretanya. Bila dia tak bersuara aku terus menoleh ke arahnya.

            ‘’Hang ingat lagi ka dengan anak-anak hang? Ingatkan bila dok KL nu dah tak ingat dah dengan orang di sini?’’ kak Fatin tujukan ayat-ayat sentap untuk aku. Walau aku berasa jauh hati namun aku terpaksa berpura-pura tabah mendengarnya.

          ‘’Aku pun manusia biasa kak… Bukan aku sengaja nak buat lagu ni. Kadang-kadang aku macam tak yakin dengan diri sendiri. Bukan laki aku tak bagi balik tapi aku perlukan masa untuk menerima setiap perubahan yang berlaku dalam hidup kami.’’ ayat-ayat pasrah pun terus keluar daripada kedua ulas bibirku.

            ‘’Laki hang mana? Awat yang suruh aku mai ambik hang pulak? Hampa balik naik bas ka?’’ kak Fatin menyoal lagi. Aku mengeleng perlahan.

             ‘’Dia mai buat reja. Aku tumpang dia mai. Habih reja ni baru dia mai ambik aku. Kak Fatin jom kita pi ronda kat Tasik Jitra sat. Lama aku tak balik Kedah. Rindu betoi aku nak ronda-ronda Alor Setar ni.’’ Aku cuba mengubah topik perbualan kami. Aku perhatikan wajah kak Fatin yang sedang membuat pusingan.

             ‘’Lain kalilah. Aku kalut ni, nak kena balik cepat. Hang tau dak Chaq dah beranak lain. Rasanya dia dah lepas pantang dah kot.’’lain yang aku minta lain pula yang kak Fatin jawab. Nampaknya terpaksalah aku ikut saja kemahuan kak Fatin tapi berita yang kak Fatin sampaikan aku hadamkannya dan telan. Aku pun bakal dapat anak dengan encik Danial jadi nak heran apa. Chaq dengan bekas laki aku tu kahwin lebih awal daripada kami.

               ‘’Baguihlah kalau Chaq mampu nak bagi anak lagi kat abang Mad. Bertuahlah abang Mad. Sekurang-kurangnya anak-anak dia dengan Chaq boleh gantikan arwah anak-anak kami dulu,’’ aku menjawab dengan bersahaja, cuba melindungkan isi hatiku yang sebenar. Aku sudah ada rancangan dalam hati untuk mengajak encik Danial menziarahi pusara anak-anakku nanti dan mengajak encik Danial untuk pergi ke rumah bekas ibu mertuaku. Biarlah apa tanggapan orang kampung. Aku malas nak ambil tahu. Bukannya aku buat salah dengan mereka. Aku nak terima semua yang terjadi sebagai dugaan dalam hidup aku dan aku ingin merentasi segalanya dengan hati yang tenang.

            ‘’Kalau Chaq ada boleh aku bawa hang pi tengok dia tapi kemarin aku jumpa anak dia, anak dia kata Chaq balik Yan sebab bekas abang ipar hang buat kenduri kahwin.’’ Aku berjeda lama mendengar kata-kata kak Fatin. Bekas abang ipar aku cuma seorang saja. Agaknya siapa yang kahwin?

            ‘’Sapa kawen?’’ aku suarakan juga apa yang ingin aku tahu. Minda aku langsung tak dapat meneka.

             ‘’Ada kad di rumah aku. Satgi hang tengoklah sendiri.’’ Kak Fatin menjawab soalan aku sambil menghentikan keretanya di laman rumah. Nampaknya rumah kak Fatin sudah semakin besar sekarang. Tak sangka betul, walau baru dua tahun aku tak balik ke Kedah tapi banyak perubahan yang terjadi. Rumah kak Fatin pun nampak cantik sekarang ni. Tu baru tengok luar, belum masuk ke dalam rumah lagi.

           Aku turun dari kereta dan melangkah perlahan mengikuti kak Fatin dari belakang. Anak-anak kak Fatin sudah menunggu kami di muka pintu. Ketiga-tiga orang anaknya sudah remaja. Faizi yang sulung sudah berusia dua puluh tahun. Faiz yang nombor dua sudah berusia lapan belas tahun dan anak bongsunya. Fasehah pula sudah tingkatan tiga tahun ini.

            ‘’Wow!’’ aku berkata kagum sebaik memijak ke dalam rumahnya, Sudah ada sofa kulit berwarna coklat gelap dan tv plasma besar terletak elok di dinding dan beberapa perabot baru yang nampak agak mahal. Mungkin kedua orang anaknya sudah bekerja sekarang ni, jadi mereka sudah boleh membantu. Lagipun ibu mertua kak Fatin mewarisi beberapa relung tanah sawah. Tentu sekali mereka mampu.

………………………..

               Selepas Isya baru encik Danial datang mengambil aku di rumah kak Fatin. Kami makan malam di sini sebelum bertolak ke Yan. Encik Danial dah meminta tolong kenalannya menempah homestay di pekan Yan Kecil berhadapan dengan Hospital Yan. Aku tahu banyak homestay untuk disewa di Daerah Yan terutamanya di Yan Kecil. Dalam kampung kami pun setahu aku ada dua buah rumah yang dijadikan homestay.

                Malam ini kak Fatin menyediakan masakan ikan darat untuk kami. Aku sangkakan encik Danial tak makan ikan darat tapi sangkaan aku meleset bila encik Danial menambah nasinya. Ikan sepat goreng bercili, gulai ikan keli rempah giling berkuah pekat, ikan haruan goreng, kerabu daun kaduk dan sambal belacan bersama ulam-ulaman. Hairan aku bila melihat cara encik Danial makan. Terkejut pun ya jugak sebab aku sendiri pun dah lama tak makan ikan darat dan aku paling malas nak masak ikan darat. Alang-alang salah masak, mesti ikan akan berbau hanyir. Untuk menghilangkan hanyir ikan darat, mesti dibasuh bersama asam keping, garam dan daun serai. Orang Kedah kata memang ‘renyah’ nak memasak ikan darat ni.

          Usai makan kami mula bertolak ke Yan. Aku tak bercadang untuk pergi ke rumah bekas ibu mertuaku malam ini. Aku masih terlalu letih kerana perjalanan jauh tadi. Ditambah pula dengan keadaanku yang kian sarat ini. Encik Danial pun mesti ingin berehat secukupnya selepas ini.

           Bila kami sampai di homestay yang telah disewa aku menghenyakkan tubuhku di atas sofa sambil cuba membayangkan hari esok. Seketika kemudian aku teringat untuk menghubungi Aina. Aku mencari nombor telefonnya. Nasib aku baik bila panggilan aku telah bersambung. Kali terakhir aku menghubungi Aina adalah bulan lepas. Nak harapkan Aina yang hubungi aku terlebih dahulu umpama mimpi di siang hari yang tak pernah muncul. Kadang-kadang aku turut kecil hati dengan mereka seolah hanya aku yang selalu ingatkan mereka tapi mereka..

           ‘’Amboih..baru sampai dah call? Rindu sangat ke dengan bekas suami tu?’’ panggilan aku belum lagi bersambut sudah kedengaran suara dari sebelahku. Aku menoleh sekilas ke arahnya sebelum menekapkan semula telefon ke telingaku. Kemudian aku terfikir untuk membuka pembesar suara. Biar enchek suami di sebelah ni tahu bukan bekas suami yang cuba aku hubungi.

           ‘’Hello..’’ suara Aina kedengaran serak di hujung talian. Aku memeriksa jam di skrin telefon. Baru pukul 9.30 malam. Takkan Aina dah tidur?

          ‘’Aina..mak ni. Dah tidoq ka?’’ aku bertanya Aina.

          ‘’Aina nak exam esok. Ingat nak mangkit awai. Awat? Pasai pa mak call?’’ amboih, boleh pula dia tanya macam tu.

          ‘’Mak ada di Yan ni. Esok mak nak pi sana. Tok ada dak? Ayah dengan mak Chaq dok ada di sini ka?’’ dengan teragak-agak aku bertanya.

        ‘’Pak Ngah kenduri esok. Semua dok ada di rumah pak ngah. Teh ada la dengan adik Airie,’’ mendengar kata-kata Aina aku sudah terbayangkan wajah adik ipar aku yang sememangnya tinggal bersama ibu mertuaku sejak dulu lagi.

            ‘’Adik dok ada di rumah tok ka? Dia tak ikut ayah pi rumah pak ngah?’’ aku sengaja ingin menjadi ramah dengan Aina. Dah tak ada idea untuk berbual dengannya. Encik Danial di sebelah sedang memasang telinganya mendengar perbualan kami.

          ‘’Dia tidoq petang tadi, tak mangkit lagi pun..’’ suara Aina semakin perlahan di hujung talian.

            ‘’Awainya tidoq. Takpa..nanti Aina habaq kat teh dengan tok, pagi esok kalau tak ada hal apa-apa mak nak pi sana. Hang cuti bila? Mak ingat nak ajak hang pi KL. Tu pun kalau hang dengan adik Airie nak ikut mak,’’ sambil memberitahu tujuan aku menelefonnya, aku juga menyoal Aina sambil mataku memandang tepat ke wajah encik Danial. Aku meminta izin dengannya melalui isyarat mata. Dia hanya mengangguk tanpa kata.

          ‘’Esok Aina last exam. Kalau ayah bagi pi bolehlah. Mak Chaq tu yang lorat(banyak kerenah) sikit.’’ Aina memberi respon baik dan suaranya kedengaran sedikit ceria.

           ‘’Takpalah, pi la sambung tidoq.’’ Aku ingin memutuskan perbualan kami.

             ‘’Mak dok rumah sapa la ni?’’ soalan Aina membuatkan aku membatalkan hasratku.

                ‘’Kami sewa homestay depan hospital ni..’’ aku menjawab seringkas mungkin.

                 ‘’Mak mai dengan sapa?’’ soalan Aina yang ini membuatkan aku mati kutu untuk menjawabnya. Hilang segala ilhamku untuk berbual dengannya. Aku tak tahu bagaimana harus aku terangkan padanya.

        ‘’Err..kami mai bertiga. Esoklah Aina tengok sendiri.’’ Aku mengambil keputusan untuk berdiam diri terlebih dahulu sambil memberi salam dan memutuskan panggilan.

           ‘’Bertiga?’’ encik Danial mula bersuara. Aku tak menjawab tapi mengusap perutku yang sudah memboyot itu.

          ‘’Oh..anak papa pun mama kira sekali ya?’’ encik Danial berkata sambil ketawa dan dalam masa yang sama dia turut mengusap perlahan perutku dan menekapkan telinganya ke perutku.

           ‘’Assalamualaikum..anak papa dah tidur ke belum ni? Jom kita tidur sayang. Papa dah letih sangat ni,’’ aku ketawa kecil mendengar kata-kata encik Danial. Agaknya itulah perasaan seorang lelaki yang pertama kali bakal menjadi ayah? Teringat pula gelagat bekas suamiku dulu ketika aku mengandungkan Aina. Jujurnya, adakalanya aku terpaksa makan hati berulamkan jantung bila mengandungkan Aina. Ahmad terlalu nak menjaga kandunganku hingga mengabaikan perasaanku. Adakalanya dia tak berani tidur di sebelahku kerana takut kandunganku terjejas.Dia seringkali tidur jauh daripadaku. Kasih sayangnya terhadap anak-anak kami seolah melebihi kasih sayangnya terhadapku. Aku terfikir juga, adakah aku ini yang terlebih perasan atau terlalu sensitif?

         ‘’Jomlah tidur. Imah pun dah letih. Pinggang Imah ni macam nak putus dua dah. Sakit sangat sejak akhir-akhir ni. Kalau ikutkan due, awal bulan depan baru sampai tarikh untuk bersalin.’’ Aku membalas kata-kata encik Danial sambil bangun dan menuju ke arah katil. Aku menyalin pakaian tidur yang lebih selesa sebelum merebahkan tubuhku ke katil. Alangkah enaknya bila tubuhku mula menghenyak ke katil. Selamat malam dunia. Andai esok umurku masih ada, kita pasti akan bertemu lagi. Selepas membaca surah Al-Fatihah, surah Kursi, tiga Qul, doa tidur dan disertakan dengan lafaz dua kalimah Shahadah aku pun mula memejamkan mata. Semoga esok masih ada untukku melihat dunia ini. Itulah harapanku sebelum hanyut dibuai mimpi.

..........................................

                 Selepas bersarapan pagi di medan selera Pekan Yan Kecil aku mengajak encik Danial pergi bersiar-siar di Pantai Murni sambil menyedut udara laut yang segar. Pada awal pagi ini orang tidak ramai. Yang ada cuma beberapa orang remaja yang berjogging dan berbasikal mengelilingi taman yang terdapat di situ.

             Pada pukul 9.45 pagi barulah aku mengajak encik Danial pergi ke rumah ibu mertuaku. Takut pula kalau lewat kami pergi nanti tiada sesiapa di rumah. Semalam Aina sudah berpesan kepadaku, katanya kenduri di rumah bekas abang iparku adalah hari ini. Semua orang mungkin akan berkampung di rumah dia hingga ke petang.

            Bila kami sampai di halaman rumah beberapa orang kanak-kanak sudah mula mengelilingi kereta kami. Mereka tertinjau-tinjau ke dalam kereta. Salah seorang daripadanya ialah anak bongsuku Airie. Air mataku bergenang tanpa pintaku. Tak semena-mena dadaku terasa sebak. Ya Allah, hanya Kau yang tahu betapa aku terlalu merindui anak-anakku.

           ‘’Adik..’’ aku panggil Airie selepas aku keluar dari kereta dan menghulurkan tangan untuk bersalam dengannya. Dia teragak-agak untuk menghampiriku, apatah lagi untuk menyambut huluran salamku. Aku pula mengambil kesempatan itu untuk mengelap air mataku yang sudah menitis ke pipi. Aku menarik nafas panjang untuk meredakan perasaanku.

             ‘’Tak mau bersalam dengan mak ka?’’ sekali lagi aku bersuara dan kali ini dengan teragak-agak Airie menyambut tanganku. Dia menyalamiku dan mencium tanganku. Aku pula sudah tunduk dan merangkulnya.

                Selepas Airie menyalamiku, aku menyuruh dia bersalam dengan encik Danial pula. Selepas itu kami menuju ke arah ibu mertuaku bersama anak-anaknya yang sedang berada di bawah pokok mangga. Terdapat kerusi dan meja batu di bawah pokok mangga tersebut dan juga tempat rehat yang telah disimen dengan agak luas. Tikar juga dihampar di atas tempat rehat tersebut. Aku tak tahu apa tujuan mereka berkumpul di situ. Mungkinkah mereka sedang menunggu kedatangan kami? Aku bersoal jawab di dalam hati.

           Bila kami sampai kepada mereka, encik Danial menyalami bekas suamiku dan adik lelaki bongsu suamiku, manakala aku pula menyalami semua kaum Hawa yang ada di situ. Selain bekas ibu mertuaku, ada juga dua orang bekas adik iparku yang perempuan dan seorang bekas kakak iparku. Aku tercari-cari juga di mana Chaq sepupuku namun tak pula dia ada bersama mereka di sini. Agaknya Chaq sedang sibuk menguruskan anak kecilnya di dalam rumah? Aku berteka-teki di dalam hati.

               ‘’Orang jauh baru nak nampak muka. Awat yang lama tak balik? Marah sangat ka kat kami?’’ kakak iparku yang bersuara terlebih dahulu. Ada senyuman sinis di bibirnya. Aku berpura-pura selamba dan tabah.

               ‘’Sapa ni? Abang ka anak tiri?’’ adik bongsu bekas suamiku pula bertanya. Aku hanya tersenyum tanpa memberi respon. Aku pandang wajah encik Danial yang hanya beriak selamba. Aku tak rasa dia sedang kekok walau sebenarnya aku yang terlebih kekok bila sudah lama tak berjumpa dengan keluarga besar bekas suamiku ini.

            ‘’Aina kata kenduri rumah abang Det hari ni? Tak pi lagi ka?’’ aku melencongkan topik mereka. Sengaja menyoal mereka dengan soalan yang langsung tiada kaitan denganku.

          ‘’Satgi nak pi la. Tunggu nak tengok orang jauh dulu. Kahwin dengan orang KL, muka pun dah nak iras orang KL.’’ Kata-kata Sue bekas adik iparku membuatkan aku tersenyum simpul. Terasa macam disindir pun ada juga. Tapi, sengaja aku tak mahu ambil kisah. Hati manusia bukan boleh diduga. Kalau dia ikhlas, aku pula berprasangka, takut pula aku yang berdosa.

              ‘’Ada beza ka orang KL dengan orang Kedah?’’ aku bertanya balas. Sekadar nak memeriahkan suasana.

             ‘’Comeilah sikit daripada dulu. Dulu belemuih(comot @ hodoh)..’’  Sue menjawab soalanku.

             ‘’Comei ka? Terima kasih..’’ aku berpura-pura senang hati. Bekas ibu mertua aku dan bekas suami aku hanya diam saja. Agaknya apa yang ada dalam minda mereka sekarang ni? Aku pun tak ada idea untuk mengajak mereka berbual.

             ‘’Oii..hang sampai dah ka?’’ suara Chaq kedengaran dari muka pintu rumah. Dia sedang mendukung anak kecilnya dan terdapat seorang lagi anak kecil yang dipimpinnya. Aku tertanya-tanya, adakah mereka sudah mempunyai dua orang anak? Hebat sangatkah bekas suami aku ni?

             ‘’Hang mai bila? Tau-tau dah ada di Yan..’’ Chaq menyoal lagi bila dia sudah berada di sebelahku. Anak kecil yang didukungnya dihulurkan kepada abang Mad dia. Si kecil yang dipimpinnya juga turut naik dan duduk di atas ribaan abang Mad. Aku pula mengambil tempat di sebelah encik Danial dan melabuhkan punggungku di atas kerusi di sebelah encik Danial. Aku cuba mengacah anak kecil Chaq yang sedang berada di dalam dukungan abang Mad yang berada bertentangan denganku. Bekas ibu mertuaku yang berada di sebelah kiriku pula hanya memerhatikan gelagat aku.

            ‘’Laki hang tak mai ka Imah? Aku teringin jugak nak tengok laki hang. Amboih..perut hang sakan noo, berapa bulan dah? Macam dah sarat ni. Bawa perut saja ka? Laki tak bawa sama? Hang takut aku kebas laki hang lagi ka?’’ ayat-ayat Chaq bertalu-talu keluar daripada mulutnya. Aku pula yang jadi malu dengan gelagat Chaq kerana dia sepupu aku. Bekas keluarga mertua aku ni tak pula nak ambil tau sangat macam yang Chaq buat. Agaknya mereka masih berhati-hati untuk berkata-kata? Lainlah dengan Chaq yang memang terkenal dengan mulut tak ada insurannya. Macam serupa dengan aku saja? Cuma bezanya Chaq dengan aku ialah Chaq ni laser dengan ayat kritikan sedangkan aku lebih bercorak keagamaan. Agaknya yang mana satu boleh diguna pakai? Kata-kata aku ataupun kata-kata Chaq?

            ‘’Minta maaflah Chaq. Soalan hang macam peluru berpandu. Aku tak tau nak jawab yang mana satu. Ni, abang Mad, Imah mai ni ingat nak minta izin abang Mad nak bawa Airie dengan Aina pi bercuti di Kuala Lumpur. Itu pun kalau depa nak ikut. Kalau depa nak ikut pi duduk teruih di sana pun boleh,’’ aku malas nak menjawab soalan Chaq jadi dengan segera aku bertukar topik lagi dan bekas suamiku yang menjadi sasarannya.
              ‘’Bolehkan abang?’’ aku berkalih kepada encik Danial pula. Dia hanya mengangguk dan tersenyum.

            ‘’Sapa ni? Anak tiri hang ka Imah? Hang tak teringin nak perkenal kat kami ka?’’ aku mengeluh perlahan. Sejak bila la Chaq ni pekak? Rasanya aku panggil abang tadi kat encik Danial. Boleh pula dia kata anak tiri aku. Agaknya dalam fikiran dia aku dah kahwin dengan lelaki tua yang dah ada anak sebaya encik Danial?

           ‘’Pasai pa hang kata anak tiri aku pulak?’’ aku sengaja bertanya begitu dengan Chaq. Nak juga dengar buah fikiran dia.

            ‘’Tak logik kot, kalau dia ni laki hang?’’ aku tengok wajah encik Danial sudah berubah. Telinganya sudah merah.

             ‘’Pasai pa pulak tak logik?’’ aku ingin berlawan kata dengan Chaq. Orang lain sudah mendiamkan diri. Agaknya mereka pun sama seperti Chaq, ingin tahu siapa encik Danial tapi mereka mungkin tak mahu bertanya saja.

            ‘’Hang agak-agak la wei..takkan orang hensem macam dia ni laki hang kot. Rasanya dia ni layak dengan model saja. Dengan hang ni, jauh pangang dari api la. Hiesy..dia tengok hang pun geli geleman pa?’’ tanpa berlapik kata Chaq terus memberikan pendapatnya. Aku tak tahu apa yang ada dalam fikirannya. Dalam masa yang sama juga aku mengerling encik Danial. Dia sudah tersenyum memandangku.

          ‘’Bukan semua orang pandang rupa mak cik. Buat apa rupa cantik tapi akhlak zero. Kalau cantik macam mak cik pun tapi mulut bau longkang tak guna jugak..’’ aku terkejut mendengar suara encik Danial lalu aku menguis lengannya. Chaq dah pasti tersentak habis. Tentu dia lagi bengang bila encik Danial memanggil dia mak cik. Chaq dengan aku sebaya dan kami bersekolah sekali dulu. Dalam sekolah dan kelas yang sama.

            Encik Danial memperkenalkan dirinya selepas itu kepada semua orang sebagai suami aku merangkap bekas majikan aku dulu. Katanya cinta tak pernah mengenal usia dan rupa. Dia memilih aku sebab aku jujur dalam berkata-kata. Aku tak pandai nak berkias bila aku berkata-kata dan aku lebih suka berkata benar dalam semua hal. Dia yang lebih banyak bercerita dan membuatkan Chaq terus terdiam. Abang Mad juga tak banyak cakap, hanya mengangguk dan mencelah sekali sekala.

            Kami kemudiannya meminta diri untuk ke rumah kak Wan yang juga berdekatan dengan rumah bekas ibu mertuaku. Kami ajak Airie pergi bersama kami dan berpesan kepada abang Mad agar Aina pergi ke rumah kak Wan selepas dia pulang dari sekolah nanti. Dengar kata hari ini adalah hari terakhir persekolahan Aina dan dia hanya bercuti seminggu sebelum memulakan kelas tambahan seminggu kemudian. Aina bakal menduduki peperiksaan STPM tahun hadapan jadi tahun ini Aina mesti sibuk untuk mengulangkaji.

..............................................

             Menjelang petang barulah Aina datang ke rumah kak Wan. Tengahari tadi kami makan nasi di rumah kak Wan walaupun bekas ibu mertuaku mengajak kami pergi bersama ke rumah bekas abang iparku untuk makan kenduri. Aku malu untuk berdepan dengan saudara mara bekas suamiku. Tentu banyak soalan yang bakal diajukan mereka untukku. Dengan alasan itu aku mengambil keputusan untuk tidak turut serta. Sekadar menyampaikan salamku kepada keluarga abang Det saja.

           Malam itu kami berempat menginap di hotel di Alor Setar dan membawa Airie dan Aina makan di atas Menara Alor Setar. Sesekali kami teringin nak memanjakan mereka dengan makanan mewah. Memang mereka nampak sedikit canggung. Serupalah dengan aku ketika kali pertama pergi ke Kuala Lumpur dulu. Ke mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasikan?

            Keesokan paginya baru kami bertolak pulang ke Kuala Lumpur. Encik Danial cuba menjadi rapat dengan anak-anakku terutamanya Airie. Sepanjang perjalanan Airie duduk di hadapan di sebelah pemandu sedangkan aku pula terlentok di kusyen belakang bersama Aina. Sekali sekala terdengar encik Danial berbual dengan Airie. Bermacam soalan encik Danial ajukan kepada Airie. Daripada isu sekolah, kawan-kawan dan keluarga. Semuanya dia nak tahu. Aku hanya memasang telinga pada awalnya saja dan kemudian aku mula memasang ear phone dan memasang surah-surah Al-Quran.

               Aina pula hanya membelek telefonnya saja sepanjang perjalanan. Aku sempat mengintai skrin telefonnya. Dia sedang berchatting melalui Whatsapp bersama kawan-kawannya. Entah apa yang mereka bualkan? Bila masing-masing sibuk dengan hal sendiri, aku pula terlelap seketika walaupun ada ayat-ayat suci Al-Quran yang sedang menerjah gegendang telingaku. Al-maklumlah..bila dengar ayat-ayat suci Al-Quran ni adakalanya bagaikan didodoi saja bila Iblis juga turut memainkan peranannya.

             Bila kami sampai di Kuala Lumpur encik Sandy menyambut ketibaan kami di pintu rumah. Dalam kalangan rakan-rakan encik Danial dia yang termuda dan masih bujang. Dia pernah ada teman wanita sebelum ini tapi mereka memutuskan perhubungan bila teman wanitanya mengambil keputusan untuk berkahwin dengan lelaki pilihan keluarganya. Encik Sandy juga merupakan rakan yang paling rapat dengan encik Danial kerana dia masih bujang dan bebas datang ke rumah kami.

                 ‘’Masuklah mak..mak berserilah hari ini. Rindunya kat mak, awat balik Kedah lama sangat.’’ Aku jadi pelik mendengar kata-kata encik Sandy. Adakah perkataan mak itu ditujukan untuk aku?

                ‘’Sapa mak?’’ aku bertanya penuh keraguan.

                 ‘’Pak cik masuklah pak cik. Rindunya kat pak cik. Anak-anak nama apa ni? ‘’ encik Sandy bersalam dengan encik Danial dan memandang ke arah Aina dan Airie. Kenapa dengan encik Sandy hari ini? Tersampuk agaknya? Aku bertanya di dalam hati.

               ‘’Hang dah berkenan dengan Aina, hang cakaplah teruih terang. Tak payah nak bodek aku..’’ encik Danial bersuara. Aku dengar encik Sandy sudah tergelak.

               ‘’Oh Aina ka? Sedap nama tu. Pandai betul mak boh nama.’’ Encik Sandy bersuara lagi. Aku memandang curiga ke arahnya. Aina sudah bersembunyi di belakangku bila encik Sandy memandangnya.

              ‘’Sat, sat..ni pasai pa ni? Dok tak dok pangge mak dengan pak cik. Siap dok puji anak mak cik lagi. Mulai hari ini tak mau pangge mak cik dah na. Pangge kak Imah. Selepas balik dari Kedah ni rasa macam muda balik pulak.’’ Aku buat keputusan mendadak. Encik Danial sudah gelak mengekek bila melihat encik Sandy menepuk dahinya.

             ‘’Alah, belum masuk jarum lagi dah kena reject dengan mak mertua ka?’’ encik Sandy bersuara sayu. Aku malas nak melayan dan masuk ke dalam rumah. Aku ajak Aina dan Airie masuk. Datin Robiah keluar dari bilik dan menyambut kami di ruang tamu. Aina dan Airie menyalami Datin Robiah dan mencium tangannya.

           ‘’Imah dah ada anak dara rupanya. Tak lambat dah ni mama nak dapat cicitlah pulak.’’ Datin Robiah cuba berseloroh sambil tergelak. Aina sudah senyum tersipu-sipu.

            ‘’Belum tentu lagi mama. Mungkin lambat lagi kot nak dapat menantu.’’ Aku berkata kepada mama. Teringat lagi ketika aku masih tinggal bersama mereka dulu. Aina masih belum mampu mengemas dan memasak. Semuanya aku yang lakukan. Tak tahulah bagaimana keadaan dia sejak tinggal di rumah bekas mertuaku. Mungkinkah dia lebih mendengar cakap mereka berbanding aku dulu? Dua tahun mungkin merubah segalanya.

            ‘’Cuti sampai hujung tahunkan? Bolehlah kita pergi jalan-jalan nanti.’’ Datin Robiah menyoal Aina yang masih nampak malu-malu. Tangan Aina dipimpinnya hingga ke sofa dan menyuruh Aina duduk di sebelahnya. Aku turut melabuhkan punggungku bertentangan dengannya. Airie pula mengambil tempat di sebelahku. Encik Sandy dan encik Danial keluar semula dan berborak di laman depan. Mesti ada sesuatu yang mereka sedang bincangkan. Selalunya begitulah mereka kalau ada sesuatu yang harus dirahsiakan daripadaku.

           ‘’Seminggu saja mama. Dia kena balik sebab ada kelas tambahan. Tahun depan baru nak ambil STPM.’’ Aku berkata lagi sebab tahun lepas Aina mengambil SPM. Walaupun keputusan SPMnya agak cemerlang tapi Aina tak mampu nak melanjutkan pelajaran ke mana-mana IPT sebab bekas suamiku tak mampu. Dan kebetulan pula duit rm10,000.00 yang aku beri selepas kami bercerai itu digunakan oleh Chaq untuk membesarkan kedainya. Itu yang Aina cerita kepadaku tadi bila aku menyoalnya semula tentang kemasukannya ke IPT yang dimohonnya.

                   ‘’Macam tu ke? Tak apalah, tahun depan datang lagi selepas exam. Nanti kita boleh jalan-jalan jauh sikit.’’ Aku tersenyum mendengar kata-kata Datin Robiah. Nampaknya dia boleh menerima kehadiran anak-anakku di sini. Lega aku melihat penerimaannya.

             Seminggu lagi bila kami nak menghantar Aina pulang ke Kedah, aku ingat nak mengajak Datin Robiah balik ke Kedah dan bercuti di sana lagi. Boleh juga aku bawa dia ronda-ronda Daerah Yan yang memang terkenal dengan tempat-tempat yang menarik dan cantik.

              ‘’Alya..bawakan beg budak-budak ni masuk ke bilik tetamu ya. Mereka dah letih agaknya. Berjalan jauh tu,’’ bila Alya datang dan menghidangkan minuman untuk kami, Datin Robiah terus memberikan arahan. Tanpa bantahan Alya mencapai beg pakaian Aina dan Airie lalu membawanya masuk ke bilik tetamu. Katil-katil yang telah dibeli untuk anak-anak Diana masih lagi di bilik tetamu. Bolehlah mereka berdua berkongsi bilik buat sementara waktu.

             Selepas kami minum aku menyuruh anak-anakku masuk berehat dan aku sendiri pun menapak ke bilik kami. Keletihan masih lagi terasa. Perjalanan pergi dan balik dari Kuala Lumpur ke Kedah dan dari Kedah ke Kuala Lumpur begitu memenatkan tubuhku.

..................................................

Dengarlah Sayang..
Hidup ini adakalanya begitu membebankan hati dan perasaan,
Bermacam dugaan yang datang begitu meletihkan,
Terkadang aku tak bisa meredahnya,
Seakan aku ingin rebah dalam kemelut jiwa,
Yang sering berantakan..

Dengarlah Sayang..
Hidup yang sedang kita lalui,
Semakin penuh dengan onak dan duri,
Di daratan ianya hadir memberi bisa,
Di lautan bergelombang ganas,
Namun kita perlu terus tabah dan Redha,
Menerima suratan ini dengan rela,
Pasti ada hikmahnya yang tak pernah kita duga,
Umpama disaluti gula manisnya,
Kerana Dia tak pernah mempersiakan,
JanjiNYA buat kita hambaNYA.

    ‘ TIGA TAHUN KEMUDIAN’...

                  Aku sedang memerhatikan anak-anakku bermain di laman rumah kami yang semakin cantik dengan lanskap yang telah diubahsuai oleh datin Robiah sendiri. Setelah Syarikat dan butiknya diserahkan untuk aku dan encik Danial datin Robiah hanya menghabiskan hari-hari tuanya di rumah dengan hobi baru. Dia sudah mula gemar berkebun. Aku pula sedang belajar menguruskan butiknya selepas melahirkan anak sulung encik Danial.

             Aina dan Airie sudah tinggal dengan kami sekarang ni. Aina sedang melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya dan Airie pula dalam darjah empat. Cepat sangat masa berlalu. Anak sulung encik Danial yang merupakan permata kami berdua kini sudah berusia tiga tahun dan berita baiknya aku sedang sarat mengandung anak keduanya.

            ‘’Imah..buat apa ni? Menung panjang nampak?’’ demi mendengar suara itu aku menoleh ke sisi. Kemudian aku kembali melihat ke halaman rumah. Eh..ke mana perginya anak-anakku yang sedang berkejaran tadi? Aku bertanya di dalam hati.

            ‘’Kenapa ni?’’ suara itu bertanya lagi.

            ‘’Tak ada apalah. Imah tengah berangan tadi. Tiga tahun akan datang Aina dan Airie tinggal dengan kita. Mama pula gantikan tempat Imah berkebun dan Imah gantikan tempat mama di butik. Ni anak dalam perut Imah pun dah besar dan dah pandai bercakap dan berlari-lari..’’ aku berkata dengan wajah yang tenang. Seketika kemudian terasa pipiku ditepuk lembut.

             ‘’Ada hati ya nak rampas butik mama? Abang report kat mama baru tau.’’ Aku tergelak mendengar encik Danial berkata begitu. Alah, sesekali teringin juga nak berangan jadi orang berjaya walaupun setakat ini aku masih lagi tak berapa nak berjaya.

             ‘’Bukannya apa, Imah teringin sangat nak basuh otak pekerja-pekerja mama yang selalu pakai pakaian ketat dan padat tu. Kadang-kadang geram jugak tengok punggung mereka yang meliuk lentuk bila berjalan tu. Dah berapa kali dah mulut tak berinsuran Imah ni cuba tegur tapi, akhirnya Imah yang kena hentam balik..’’ aku mengadu kepada encik Danial tentang apa yang aku fikir. Bila aku berangan nak jadi puan untuk butik Datin Robiah itulah salah satu niat aku iaitu nak mengubah cara pakaian pekerja-pekerja Datin Robiah dan mengubah imej butik tersebut menjadi butik pakaian-pakaian wanita muslimah.

            ‘’Allah belum bagi Hidayah untuk merekalah tu. Biarkanlah mereka tu. Mereka pun ada suami dan bapak untuk tegur mereka.’’ Senang saja encik Danial menjawab. Aku tak puas hati dengan jawapannya sebab aku tahu pekerja-pekerja Datin tu tinggal menyewa di rumah bujang dan mereka mengamalkan pergaulan bebas. Aku pernah terserempak dengan mereka di mall bersama teman lelaki mereka berpegangan tangan dan berpelukan di khalayak ramai.

        ‘’Cuba cerita kat abang. Tiga tahun akan datang apa yang telah terjadi pada keluarga kita selain Aina dan Airie tinggal dengan kita.’’ Aku ketawa galak mendengar soalan encik Danial yang seterusnya. Sambil memandang tepat ke arahnya aku berkata..

             ‘’Tiga tahun akan datang Imah tengah sarat mengandungkan anak kedua abang dan kita hidup bahagia bersama anak-anak Imah yang lain. Amacam? Best tak ending cerita kita ni?’’ aku bertanya dia pula sambil melebarkan senyuman.

          ‘’Hmm..Diana dan kawan-kawan abang yang lain macam mana pula? Mereka bahagia tak? Dan macam mana pula dengan mama selepas dia serahkan butik dia untuk menantu dia ni? Boleh ke menantu dia ni uruskan butik mama tu? Macam mana kalau ada orang asing yang datang ke butik tu dan speaking BI dengan dia? Mampukah menantu mama ni nak menjawab balik dalam bahasa inggeris?’’ aku sudah membeliakkan mata kepada encik Danial. Soalan tak logik betul.

          ‘’Sejak bila pulak Imah ni jadi tok nujum. Boleh pula nak meramal masa depan? Hissssss...’’ aku mendengus kasar dan bangun.

            ‘’Dengarlah Sayang. Abang tak habis cakap lagi ni..’’

             ‘’Apa?’’

              ‘’Anak kita tu lelaki ke perempuan?’’

              ‘’Err..Dengarlah sayang. Imah tak tahu. Full stop!’’

               ‘’Alaa..abang tak sabar nak tahu ni.’’

               ‘’Dengarlah Sayang. Dah TAMAT. Okey, bye!’’

               ‘’Nak ke mana tu?’’

                ‘’Nak masuk tidur. Dah pukul 1.30 pagi ni sayang.’’

****************TAMAT********************
P/s: Sebetulnya cerita ni dah lama siap tapi tak boleh nak update sebab masalah computer dan line. Cerpen ni berjaya ditamatkan pada pukul 1.30 pagi dan dialog di atas tu bukan bermakna mak cik Rohimah yang nak masuk tidoq sebaliknya mak cik Szaza Zaiman yang letih dah dan tak sabar nak masuk tidoq. Bila computer asyik meragam terpaksalah bersengkang mata hingga dinihari dan selepas cerpen ini tamat computer dah tak boleh on lagi. Walau apa pun mak cik Szaza Zaiman dah ada ilham baru untuk cerpen seterusnya. Tajuknya Boss & Me (Versi Melayu Punya)
Nota: Sebenarnya bukan mak cik Rohimah yang sedang belajar Bahasa omputih tapi mak cik Szaza Zaiman yang nak belajar jadi nak minta tolong kepada pakar Bahasa Inggeris di luar sana agar perbetulkan BI mak cik ni dalam ruangan komen ya. Bolehkan?

Extra dialogs
Location : Kitchen

Mak cik Rohimah : Special fried rice for my husband. Please enjoy your food. Spicy fried rice, I making myself just for you..

Encik Danial: Most thank you for you dear. Look delicious.

Mak cik Rohimah:…….(dalam hati ‘’Hah, ni yang malas nak speaking ni. Most tu apa pulak? Selalu aku dengar thank you very much saja.’’)

Encik Danial : Why? Something wrong dear?
Mak cik Rohimah: Hah? Nothing wrong, just thinking something..( dalam hati “Ah..bedal  sajalah. Salah ka betoi belakang kira haaa..’’)

Encik Danial: What? Just enjoy you food. Don’t thinking much more.

Mak cik Rohimah: ………………….(dalam hati ‘’ kompius betullah..much,many, a lot’s, most..macam mana nak guna? Dan bila boleh guna perkataan ni sedangkan maksudnya sama saja.)

Encik Danial: You shut your mouth again?

Mak cik Rohimah : Dahlah, Imah nak surrender. Malaslah nak speaking lagi. Macam nak tergeliat saja lidah ni dan yang penting otak mak cik dah sakit sebab asyik nak cari maksudnya saja. Lagi pening bila cuba nak buat ayat. Macam ada yang tak betul saja? Lidah makan belacan, mana boleh cakap macam lidah makan keju.

Encik Danial : Don’t give-up dear and you must go on. Susah hari ini untuk kesenangan hari esok. Tak apa, belajar satu perkataan sehari. Jangan pernah rasa malu kalau buat silap sebab nobody perfect. Try and try again.

Szaza Zaiman : Dreams come true..never give-up even a million trouble become to my life (dalam hati “ Lantaklah..betul ka salah, aku anak MELAYU TULEN bukan anak mat saleh pun. Ada orang kutuk. Ada Aku Kesah! Hihihi…