Jumaat, 17 Jun 2016

Menantu Aku Drebar?



                     Encik Asri menjenguk ke luar rumah bila mendengar deruan enjin kereta di halaman rumahnya. Tiga biji kereta sudah terparkir elok di depan rumah. Encik Asri keluar untuk menyambut tetamunya.


                  “Assalamualaikum.” salam diberi sambil tangan diangkat tinggi. Seorang lelaki melangkah ke arah Encik Asri yang masih berdiri kaku di muka pintu.


                  “Waalaikumusalam warahmatullah.” Encik Asri menjawab salam dengan suara yang perlahan. Serentak dengan itu mindanya juga sedang berfikir, siapakah gerangan tetamunya ini.


                    “Ini rumah Encik Asrikan?” lelaki yang memberi salam tadi sudah berdiri di depan Encik Asri sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman.


                       “Kami semua ni dari Kuala Lumpur. Ada hajat sikit kami datang ni.” lelaki tadi bersuara lagi bila tangannya digengam erat oleh Encik Asri yang masih nampak sedikit bingung itu.


                       “Masuk dulu, kita berbual di dalam rumah.” akhirnya, keluar juga suara Encik Asri, semua tetamunya dipelawa masuk ke dalam rumah. Tetamu-tetamu Encik Asri saling berpandangan di antara satu sama lain. Berat benar untuk memulakan kata. Semuanya kerana adik bongsu kesayangan mereka.


                         “Macam ni Encik Asri, kami dengar Encik Asri ni
merupakan seorang yang dipercayai di kampung ni dalam mempertemukan jodoh. Tujuan kami datang ni, nak minta tolong carikan seorang perempuan untuk adik bongsu kami ni.” teragak-agak lelaki pertama yang menegur Encik Asri tadi berkata.


                        “Tak payah nak berencik sangatlah. Panggil pak cik saja. Encik-encik ni semua siapa? Kuala Lumpur tu besar, kawasan mana? Takkan tak ada perempuan di Kuala Lumpur dah kot?” Encik Asri pula menyoal balas. Kenal pun tidak, tahu-tahu nak minta tolong carikan jodoh. Mana tahu gengster Kuala Lumpur yang tersesat masuk kampung.


                      “Oh, maaf pak cik. Terlupa pula nak memperkenalkan diri. Saya ni Mustakim, ini adik bongsu saya Amzar, dialah yang nak cari calon isteri tu. Yang lain-lain ni, isteri saya, adik-adik saya semuanya. Kami tahu pasal pak cik Asri ni pun melalui kawan sepejabat.” Mustakim mula memperkenalkan ahli-ahli keluarganya yang turut datang bersama. Amzar sudah tersenyum mesra.


                        “Amzar kerja apa? Ada rupa macam ni, takkan tak ada teman wanita?” Encik Asri memulakan siasatannya. Bukan senang nak jodohkan orang ni. Takut tersalah langkah nanti, lain pula jadinya.


                   “Saya ni drebar saja pak cik. Saya tak berani nak bercinta pak cik, zaman sekarang ni banyak sangat dugaan. Ramai kawan-kawan saya yang bercinta bagai nak rak, akhirnya frust menonggeng bila awek mereka kahwin dengan orang lain. Lebih baik bercinta dulu baru berkahwin. Selamat dunia dan akhirat.” Amzar menjawab dengan tenang. Kalau nak cari calon isteri di dalam laman sosial pun boleh, tapi banyak buruk daripada baik.


                         Pernah dia terbaca satu kes yang terjadi di Filifina. Bercinta melalui Facebook selama lapan tahun. Tapi, pada pertemuan pertama mereka, lelaki yang terbabit terlalu kecewa kerana wajah wanita yang ditemuinya jauh berbeza dari dalam Facebook. Wajah di dunia nyata dan dunia alam maya langsung tak sama. Lelaki itu kecewa hingga membunuh diri.


                          “Bagus, bagus, payah nak jumpa orang muda yang takut nak bercinta zaman sekarang ni. Kebanyakkan orang sekarang ni dah tak suka dijidohkan lagi. Ketinggalan zaman, kata mereka.” Encik Asri memuji-muji Amzar sambil merenung pemuda itu. Wajah Amzar bersih tanpa cela. Pakaiannya pun kemas dan nampak sedikit bergaya. Rambutnya pendek dan disisir rapi. Encik Asri menganggukkan kepalanya berkali-kali. Dia menghela nafas sebelum menyambung kata.


                 “Nak cari calon isteri yang macam mana? Setahu pak cik, di kampung ni cuma ada dua orang saja anak dara yang baru habis belajar. Anak Haji Deraman tu sekolah pondok saja. Belum bekerja lagi. Tapi, dia jarang keluar rumah. Payah nak tengok dia.


                  Anak dara Pak Mail pula baru habis U tapi dah setahun dah dia kerja kilang. Almaklumlah, zaman sekarang ni payah nak cari kerja. Dengar kata, sebelum kerja kilang, banyak tempat juga dia kerja tapi, tak sampai sebulan berhenti. Amzar nak cari yang ada pelajaran, yang ada rupa atau yang ada kerjaya?” sambil membuat penerangan Encik Asri juga turut bertanya. Wajah Amzar dipandang lagi, kemudian Encik Asri menoleh ke arah Mustakim dan tetamu-tetamunya yang lain.


               “Saya tak tahu nak kata apa pak cik. Saya tak pernah terfikir pun, macam mana calon isteri yang saya nak. Apa kata, kita pergi ke rumah mereka dulu dan merisik?” senang saja Amzar menjawab.


                Tak pernah terlintas di fikiran Encik Asri, itulah jawapan yang akan Amzar beri. Selalunya, yang bernama manusia, tentu mempunyai keinginan untuk berpasangan dan menentukan bagaimana rupa pasangannya itu. Apa ciri-ciri yang diinginkan.


              “Kalau macam tu, jomlah, kita pergi. Tapi sebelum tu, minta maaflah, tak hidangkan air pun. Orang perempuan tak ada di rumah pula hari ni.” Encik Asri berkata sambil tersenyum untuk menutup perasaan serba salahnya.


*******


                   Encik Asri dan orang-orang Kuala Lumpur yang datang ke rumahnya tadi menuju ke rumah Pak Mail. Pada pandangan Encik Asri anak Pak Mail lebih sesuai digandingkan dengan Amzar memandangkan Izzati lebih cantik dan sudah bekerja.



                 Amzar pula hanya mengikut apa saja saranan Encik Asri. Dia tak memilih, asalkan baik budi pekerti dan akan menghormatinya nanti selepas mereka bergelar suami dan isteri. Dari jauh, sudah kelihatan Pak Mail yang sedang mencuci keretanya di luar rumah. Amzar memerhatikan halaman rumah yang bersih dan cantik dengan pohon-pohon bunga yang merimbun.


                     Ada banyak pokok-pokok bunga kertas pelbagai warna yang sudah dijadikan seperti pokok bonsai dan sedang berbunga lebat. Amzar menghentikan kereta kancil yang dipandunya di halaman rumah bersebelahan dengan kereta Pak Mail. Dua biji lagi kereta yang mengekori kereta Amzar dari belakang, juga berbuat perkara yang sama cuma jarak mereka jauh sedikit dari kereta Amzar. Encik Asri yang naik satu kereta dengan Amzar membuka pintu kereta dan memberi salam dan turut bersalaman dengan Pak Mail.


                 “Kau dari mana ni? Siapa kau bawa ni? Kenapa datang ke rumah aku ni?” Pak Mail mula bertanya selepas tangan mereka terlerai. Giliran Amzar pula datang bersalam dan tersenyum ramah. Mustakim dan yang lain juga sudah turun dari kereta dan kaum lelaki datang untuk bersalam dengan Pak Mail. Isteri Mustakim dan dua orang adik ipar perempuannya hanya menjadi pemerhati.


                     “Mereka ni datang dari Kuala Lumpur. Katanya nak datang merusik. Itu yang aku bawa ke rumah kau ni Mail. Dengar kata Zetty dah habis belajar ya? Kau tak nak lepaskan lagi ke?” belum sempat dipelawa masuk ke dalam rumah, Encik Asri sudah menerangkan maksud kedatangan mereka.


                     “Mana calon lelakinya?” Pak Mail bertanya. Langsung tak dipelawa tetamu-tetamunya untuk masuk ke dalam rumah.

 
                      “Saya pak cik. Saya Amzar.” Amzar bersuara sambil tersenyum. Pak Mail menghampirinya lalu memegang tubuh tegap Amzar.

                      “Rupa ada, badan tegap. Kerja apa ni?” soalan diajukan lagi.


                     “Drebar saja pak cik.” dengan tenang Amzar menjawab.


                    “Drebar?” Pak Mail bertanya separuh kuat. Amzar mengangguk sambil tersenyum.


                     “Berapa gaji sebulan?” Pak Mail masih menyoal. Tetamunya masih tidak dipelawa masuk ke dalam rumah.


                       “Bolehlah pak cik, cukup-cukup makan.” Amzar merendah diri. Bagi Amzar, duit sebanyak mana pun takkan dapat menjamin kebahagiaan. Yang penting hati dan jiwa kenalah sentiasa ingat Allah selalu.

                    “Minta maaflah, sebenarnya Izzati tu dah ada kawan lelaki dah. Almaklumlah, budak-budak sekarang ni, dah pandai cari sendiri. Rasanya, anak Haji Deraman hujung kampung pun dah habis belajar. Cuba pergi risik-risik anak dia tengok.” Pak Mail berkata tenang. Tapi, lain yang terungkap di bibir, lain pula yang lahir di dalam hati.


                     Huh! Drebar saja, ada hati nak merisik anak dara aku. Anak aku tu keluar Universiti. Buat teruk aku bagi belajar tinggi-tinggi. Akhirnya, nikah dengar drebar? Makan pakai anak aku pun, tak mampu nak tanggung.


                     “Tak apalah kalau macam tu, kami pergi dululah ya.” Mustakim bersuara mewakili adik bongsunya. Encik Asri pun tak berani nak kata apa. Kalau itu keputusan Pak Mail, takkan nak dipujuk rayu pula. Mereka pun bergerak ke arah Haji Deraman pula.


******


                     “Amzar dah khatam Al-Quran?” soalan yang diajukan Haji Deraman berbeza dengan soalan Pak Mail. Itu pun, soalan itu ditanya selepas selesai mereka makan tengah. Mereka sampai di rumah Haji Deraman ketika matahari sudah terpacak di atas kepala. Kebetulan makanan tengahari sudah selesai dimasak. Tetamu pembawa rezeki, namun andai tetamu langkah kanan, mereka yang bakal peroleh rezeki.


                     Nasi putih berlaukkan masakan kampung memang enak dimakan ketika lapar, apatah lagi masakan asli kampung. Gulai lemak rempah giling, memang berbeza rasanya dengan rempah segera yang berjenama.


                     Gulai nangka muda yang dirampai bersama mentarang yang masih segar, membuatkan rombongan yang bertujuan untuk merisik anak dara Haji Deraman makan bertambah termasuk Amzar. Memang berlainan sekali rasanya dengan gulai yang pernah dimakannya sebelum ini. Amzar terus jatuh cinta dengan masakkan yang dimakannya tanpa melihat wajah anak dara Haji Deraman.


                     “Alhamdulillah pak cik, saya belajar di sekolah tahfiz ketika berumur tiga belas tahun.” Amzar menjawab dengan tenang. Haji Deraman sudah menganggukkan kepalanya tanda dia percaya dengan kata-kata Amzar.

                    “Dah masuk waktu Zohor, Amzar jadi imam solat kita tengahari ini, boleh?” Haji Deraman ingin menguji lagi. Amzar sudah tersenyum.


                      “In sha Allah pak cik.” Amzar bersuara yakin. Tiada rasa gentar walau sedikit pun.


                     “Kalau macam tu, jomlah kita, ambil wuduk dulu.” Haji Deraman bersuara lagi.


                         Tengahari itu rumah Haji Deraman tenang dengan alunan takbir daripada Amzar yang menjadi imam dalam solat berjemaah mereka. Semua isi rumah turut menjadi makmum termasuk Siti Salmiah yang ingin dirisik mereka. Siti Salmiah turut diperkenalkan kepada Amzar.


                   Siti Salmiah tidaklah secantik mana, tapi wajahnya tetap manis dipandang mata. Bulu matanya panjang dan lentik. Keningnya lebat dan pipinya berlesung pipit dalam. Di atas bibirnya ada tahi lalat penyeri. Kulitnya tidaklah putih dan gebu, namun wajahnya tiada cela ataupun parut jerawat. Wajah Siti Salmiah sentiasa polos tanpa sebarang alat solekan, lebih-lebih lagi ketika lepas solat. Amzar tidak banyak kerenah, andai Siti Salmiah tidak menolak, dia juga akan menerima Siti Salmiah seadanya.


                 “Setakat ini Amzar lulus semua ujian pak cik. Amzar pun sudah tengok anak pak cik. Amzar balik dulu berbincang dengan keluarga dan pak cik pun harus berbincang terlebih dahulu dengan keluarga pak cik. Sebulan dari sekarang datang lagi ke sini untuk beri jawapan. Kalau dalam masa sebulan tu, Amzar tak datang, pak cik tahu apa jawapannya.


                 Anak pak cik tak cantik. Dia tak berpelajaran tinggi dan tak berkerjaya. Dia langsung tak ada keistimewaan tapi dia tetap anak kami yang kami sayang. Jangan buat keputusan terburu-buru. Kalau berkesempatan, carilah gadis lain dalam masa sebulan ni, mana tahu bakal ada yang lebih baik daripada anak pak cik.” panjang pula nasihat yang Haji Deraman beri. Amzar memandang abang dan kakak-kakaknya seorang demi seorang. Semuanya mengangguk seolah menyetujui kata-kata Haji Deraman.


                   “Kita singkatkan masa boleh tak pak cik? Saya terpaksa balik ke Turki semula bulan hadapan. Saya tak banyak masa di Malaysia ni. Seminggu boleh tak? Minggu depan, kami datang semula untuk masuk meminang terus. Kalau pak cik tak keberatan, nikah terus pun tak apa.” Amzar bersuara tenang. Haji Deraman memandang Amzar dengan pandangan cuak. Seminggu? Dah tak sabar nak berbini sangat ke?

                  “Buat apa Amzar nak pergi ke Turki?” Encik Asri yang menyoal. Tadi Amzar cakap dia hanya bekerja sebagai drebar. Takkan drebar seperti dia mampu pergi ke Turki pula?


                  “Saya bekerja sebagai pemandu pelancong rakyat Malaysia di Turki pak cik Asri. Dah minat mengembara sambil mendalami ilmu agama sejak kecil lagi. Jadi, saya mengambil keputusan untuk mengembara sambil bekerja. Sebab itu tak sempat nak mencari pasangan. Ingat nak nikah terus dan bawa dia mengembara bersama. Sekurang-kurangnya ada juga peneman.” Amzar mengungkapkan kata-katanya dengan nada yang tenang, setenang hatinya sekarang. Dia tak kisah siapa pun bakal isterinya.


                   Biarlah isterinya tak pandai, kerana ilmu masih boleh dicari selagi nyawa dikandung badan. Biarlah isterinya tak cantik, kerana kecantikan akan punah juga ditelan usia. Biarlah isterinya tak berkerjaya, kerana kerja isteri yang paling mulia adalah melayan suaminya.


*****


                   Akhirnya pernikahan antara Amzar dan Siti Salmiah berlangsung juga. Hari ini majlis menyambut menantu di rumah Amzar. Kebetulan Siti Salmiah dan Izzati bersahabat baik. Hari yang berbahagia buat Siti Salmiah, Izzati tidak mahu ketinggalan untuk meraikannya. Dia tahu, suami Siti Salmiah adalah lelaki yang sama pernah merisiknya. Ayah Izzati menolak pinangan Amzar kerana Amzar hanya bekerja sebagai drebar.


                    “Wow, cantiknya rumah keluarga suami kau Miah. Bapak aku cakap, suami kau cuma bekerja sebagai drebar saja.” Izzati berbisik kepada Siti Salmiah ketika mereka sudah menjejakkan kaki mereka ke halaman banglo tiga tingkat itu.

                   “Betul lah tu, tapi bukan drebar bawa kereta, tapi dia bawa bas pelancong di Turki untuk rakyat Malaysia yang pergi bercuti di sana.” Siti Salmiah memberitahu Izzati sambil berbisik juga. Ternganga mulut Izzati mendengarnya.


                      “Untunglah kau Miah, dapat suami orang kaya. Nanti suami kau balik bekerja di Turki semula, kau macam mana pula?” Izzati menyoal lagi. Kesian pula dengan nasib sahabat baiknya itu. Kahwin dengan orang kaya, bakal ditinggalkan pula.


                 “Dia dah buat pasport untuk aku. Katanya, ke mana saja dia pergi, dia akan bawa aku. Kami akan keliling dunia, kalau berkesempatan. “ semakin melopong mulut Izzati mendengarnya. Terasa iri tiba-tiba. Namun dia sedar, Allah dah tetapkan jodoh Siti Salmiah dengan Amzar, bukan dengan dia.


****


                    Pak Mail mengeluh kesal. Dia tak menyangka sama sekali, lelaki yang ditolaknya itu bukannya calang-calang orangnya. Mereka mempunyai empayar perniagaan import & exsport terbesar di Malaysia.

                   Siapa mampu menduga, siapa akan menyangka, disangkakan cempedak rupanya nangka. Disangkakan miskin, rupanya orang kaya lagi ternama. Sudahlah itu, Amzar juga seorang lelaki yang beriman dan bertaqwa.


                Jangan menilai manusia dari kedudukannya, tapi nilailah manusia melalui hati dan amal ibadahnya. Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian, gigit jarilah jawabnya. Namun, Allah lebih tahu atas segalanya. Pak Mail sedar, takdir juga sudah tersurat, Amzar bukan ditakdirkan untuk anaknya.


****


                  “Sal, abang nak tanya sikit, boleh tak?” ketika ini Amzar dan Siti Salmiah sudah berada di dalam bilik peraduan mereka. Sesi suai kenal pun baru nak bermula.


                   “Banyak pun boleh. Tanya sajalah.” Siti Salmiah menjawab sambil tersenyum manja.

                   “First abang pergi rumah Sal tu, gulai nangka tu siapa yang masak?” Siti Salmiah sudah ketawa perlahan. Ingatkan nak tanya tentang hati dan perasaan. Rupa-rupanya, nak tanya pasal gulai nangka.


                    “Gulai tu? Kerjasama semua orang di ceruk dapurlah. Mentarang tu emak yang kopek, kalau Sal yang kopek memang hancoq ler. Rempah tu Sal yang siang semua bawang dan rendam cili kering termasuk bahan-bahan lain tapikan, abah yang giling rempah tu. Hihi..rajin tak abah Sal?” Siti Salmiah bercerita sambil disusuli ketawa.


                    “Habis tu, siapa yang masak?” Amzar tidak puas hati. Dia menyoal lagi.


                       “Kak Sue yang masak. Sal tolong masukkan santan. Abang Am tolong kupas dan mesinkan kelapa. Lepas tu emak yang tumis darat dan kacaukan hingga masak. Sal tolong tutup api dan cedukkan ke dalam mangkuk, bila nak menghidang.” senyuman Siti Salmiah terus mekar, apatah lagi bila  melihat wajah teruja Amzar.

                        “Siapa yang perah santan?” Amzar bertanya lagi. Siti Salmiah terasa lucu. Malam pertama mereka, hanya bercerita tentang gulai nangka. Mesti akan menjadi kenangan untuk seumur hidup.


                      “Cer teka!” sengaja Siti Salmiah menguji Amzar.


                     “Sal ke?” Amzar serkap jarang. Siti Salmiah mengeleng laju.


                     “Oh..mesti emakkan?” Amzar meneka lagi. Siti Salmiah mengeleng lagi.


                       “Kak Sue?” geleng juga.


                       “Takkanlah abah atau abang Am pula?” kali ini Siti Salmiah angkat dua ibu jarinya.

                              “Pandai pun abang. Orang lelakikan tangan lebih sasa. Jadi, abang Am dengan abah bekerjasama memerah santan sampai tinggal hampas.” Siti Salmiah berkata dan tersenyum lebar.


                  “Patutlah sedap. Lemak berkrim.” dan sebaik Amzar habis berkata-kata, Siti Salmiah sudah ketawa mengekek sambil menutup mulutnya.


               “Tangan ni tak payahlah tutup mulut tu. Abang suka tengok pipi Sal yang berlubang tu. Macam nak gigit saja.” Amzar memegang tangan Siti Salmiah dan meletakkan di pinggangnya. Ketawa Siti Salmiah terus mati bila Amzar sudah merenung wajahnya tak berkelip mata.


                 “Kita bercinta bermula malam ni ya?” Amzar berkata sambil menghadiahkan kucupan di dahi Siti Salmiah. Lama. Dan Siti Salmiah menghayati kucupan itu bersama rentak jantungnya yang berlagu bahagia.

                  “Rasa sayang dan cinta tak perlu diungkapkan. Biarlah kita menunjukkan rasa sayang dan cinta kita, dengan saling menghargai di antara satu sama lain.” Siti Salmiah mengangguk dan tengelam dalam dakapan kasih Amzar.

**************Tammat**************

Nota : Biarlah Drebar, asalkan hati bahagia dan wang yang diperolehi halal. Asalkan jiwa tenang dan berbudi bahasa. Apa yang penting adalah..bercinta selepas adanya ikatan pernikahan. Mungkin semua cerpen saya, nikah tanpa cinta, tapi bahagia juga akhirnya..kerana percintaan dalam ikatan pernikahan, itulah yang terbaik dan beroleh keberkatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.