Khamis, 13 April 2017

Bertepuk Sebelah Tangankah Aku?



            ‘’KITA nak teruskan ke?’’

             ‘’Lebih baik kita tanya pengantin lelaki. Macam mana Zaki? Masih nak teruskan ke?’’

            ‘’Kita teruskan!’’ jawapan terakhir diberi. Tangan Zaki digengam kejap.

              ‘’Mohammad Zakiuddin Bin Abdul Muiz, aku nikahkan akan dikau dengan Siti Sarah Ameliana Binti Abdullah berwakil walikan hakim dengan mas kahwinnya seribu ringgit, tunai.’’

             ‘’Aku terima nikahnya, Siti Sarah Ameliana Binti Abdullah berwakil walikan hakim, dengan mas kahwinnya seribu ringgit, tunai.’’ Lancar. Tok kadi memandang kiri dan kanan.

              ‘’Sah?’’
               
              ‘’Sah!’’ jawapan oleh saksi diberi dengan yakin. Tangan diangkat dan doa dibaca. Sambil membaca doa, Zaki membayangkan wajah Siti Sarah yang sudah bergelar isterinya yang sedang terlantar di atas katil hospital. Dia koma, selepas terlibat dalam kemalangan seminggu yang lalu. Zaki tak nak lepaskannya. Dia tetap nak teruskan hajat mereka. Menikahi Siti Sarah mengikut apa yang telah mereka rancang sebelum ini.

***********

                 Siti Sarah membuka mata perlahan-lahan. Otaknya kosong sekosongnya. Dia tak tahu di mana di sedang berada. Seluruh tubuhnya terasa sakit dan lenguh. Kepalanya sakit berdenyut-denyut. Dia cuba bergerak untuk melihat sekelilingnya, tapi dia tak mampu. Dia cuba mengangkat tangannya dan mengerakkan kedua belah kakinya, namun kudratnya juga tiada. Dia lemah dan tak berdaya.

              Di mana aku? Kenapa aku terlantar dan hilang upaya seperti ini? Siti Sarah bertanya dirinya sendiri di dalam hati. Dia cuba mengingati tapi mindanya juga tidak berfungsi. Ya Allah, apa yang telah terjadi? Dia merintih lagi, namun suaranya hanya berligar-ligar di dalam hati. Lidahnya kelu dan bibirnya juga tak mampu bersuara.

             ‘’Sarah..’’ ada suara wanita yang menyapa. Siti Sarah paksakan diri untuk menoleh. Dia gagal. Lehernya seakan kejang dan dia tak mampu berbuat apa-apa. Dia ingin menangis, tapi air matanya juga tidak ingin menitis.

               ‘’Sarah..ini mama sayang.’’ Suara wanita yang bersuara itu sudah tersedu. Sarah juga terasa sebak mendengarnya.

              ‘’Sarah, Sarah dengar mamakan sayang?’’ wanita itu masih bersuara walaupun Siti Sarah tidak memberi respon. Jiwa Siti Sarah terdera. Dia ingin bersuara dan meluahkan apa yang dia rasa. Dia ingin memberitahu wanita di sisinya, bahawa dia sangat sakit dan menderita.

             Mama? Sarah? Siapa Sarah? Mama siapa? Akukah Sarah? Mama akukah itu? Siti Sarah menyoal dirinya sendiri. Dia cuba mengingat lagi, tapi semakin dicuba, kepalanya semakin sakit. Air mata Sarah gugur juga.

             ‘’Sarah, kenapa sayang? Sarah sakit? Mama panggilkan doktor ya?’’ wanita di sebelahnya bersuara cemas sebelum dia terburu-buru keluar. Siti Sarah memejamkan matanya dan cuba mengingat lagi. Siapa aku? Dia buntu. Kenapa aku tidak ingat apa-apa? Hati Sarah bertanya lagi.

**************

              Sebulan berlalu selepas Sarah sedar dari koma. Walaupun kesihatannya semakin pulih hari demi hari, namun Sarah kehilangan upaya dan hilang ingatan. Dia tak kenal orang di sekelilingnya dan Sarah juga disahkan lumpuh. Kata doktor, kemungkinan Sarah hanya lumpuh buat sementara waktu saja, kerana otaknya tercedera dan tak dapat berfungsi dengan sempurna. Sarah juga nampak agak keliru dengan orang yang kerap menziarahinya di hospital. Dia binggung dan tertanya-tanya siapa mereka. Dia takut andai mereka merapatinya, terutamanya kaum lelaki.

             ‘’Sarah okey?’’ Zaki menyoal Sarah yang nampak masih bingung dengan kehadirannya.

              ‘’Siapa awak?’’

              ‘’Sarah tak kenal abang?’’

              ‘’Abang? Maksud awak?’’ Sarah bertanya lagi. Zaki menarik nafas dan melepaskannya. Terasa berat benar beban yang ditanggungnya. Isteri yang dinikahi, tidak mengenali dirinya. Dia juga tak berani untuk terlalu menghampiri Sarah, apatah lagi untuk menyentuh dan membelainya. Sarah seolah membenci dirinya. Hati Zaki benar-benar terguris. Dia harus bersabar, mungkin Sarah bukan sengaja nak menyakiti hatinya. Zaki tidak mahu syak wasangka.

                ‘’Suami Sarah.’’ Zaki menjawab dengan tenang. Dia merenung wajah Sarah, wanita yang telah menjadi isterinya.

               ‘’Suami? Apa maksud awak? Sarah dah kahwin? Tak! Awak tipu Sarahkan?’’ ketenangan Sarah terganggu. Dia tak percaya, lelaki yang sedang berdiri di depannya sekarang adalah suaminya. Sejak dia sedar, lelaki ini memang selalu melawatnya di sini, tapi tiada siapa pun yang memberitahu Sarah bahawa dia telah bersuami.

             ‘’Kita dah nikah Sarah, ketika Sarah masih koma lagi. Sarah kemalangan ketika kita sedang merancang untuk bernikah. Abang tak nak tangguhkan tarikh pernikahan kita, jadi abang minta keluarga kita teruskan.’’ Zaki cuba memberikan penerangan. Hati dan jiwa Sarah terganggu. Dia buntu. Kenapa? Kenapa harus begini? Benarkah, aku telah bernikah dengan lelaki ini? Sarah berperang dengan dirinya sendiri.

               ‘’Tidak!’’ Sarah menjerit tiba-tiba. Mata Sarah merenung tajam ke arah Zaki. Zaki terkejut melihat respon Sarah. Zaki tergaman di tempat dia berdiri. Marahkah Sarah? Hati Zaki bertanya sangsi. Maafkan abang Sarah kerana membuat keputusan tanpa kebenaran Sarah. Hati Zaki berbicara lagi. Air matanya hampir bergenang.

                 ‘’Tidak! Sarah tak ada suami. Sarah belum kahwin. Awak bukan suami Sarah.’’ Sarah meracau dan cuba menafikannya. Zaki diterpa perasaan bersalah. Maafkan abang Sarah.

               ‘’Sarah, jangan macam ni. Bertenang Sarah..okey, kalau Sarah tak mahu terima abang sekarang, abang takkan paksa Sarah. Tapi, abang mohon, izinkan abang untuk melawat Sarah dan menjaga Sarah.’’ Zaki cuba menenangkan Sarah dan menawarkan bantuan. Hatinya resah melihat keadaan Sarah. Dia takut kerana pengakuannya, jiwa Sarah akan terganggu.

                ‘’Keluar! Sarah tak nak tengok awak!’’ suara Sarah semakin kuat. Nafasnya menjadi semput kerana menahan perasaan marah. Suami? Suami aku? Ahh..kenapa? Kenapa dia? Hati Sarah berdongkol geram. Dia tak menduga, mereka akan nikahkan dia ketika dia masih tidak sedar diri. Sahkah pernikahan mereka? Sarah turut sangsi.

            ‘’Bertenang Sarah. Istighfar...’’ Zaki masih cuba memujuk Sarah yang kelihatan sudah hilang pertimbangan.

            ‘’Keluar!’’ sekali lagi Sarah menghalau Zaki keluar. Tercabar harga diri seorang suami, namun Zaki masih kelihatan tenang, walaupun hatinya sedang menangis di dalam. Hatinya sakit dan perasaan bersalah menguasai diri sekali lagi. Maafkan abang Sarah. Hati Zaki menjerit dan dia mula mengimbas lagi saat pertemuannya dengan Sarah.

***********
Beberapa bulan yang lalu...

        Zaki sedang mengambil gambar permandangan sekeliling sambil melayan lagu-lagu kegemarannya. Headphone yang dipasang di telefon bimbit dipakainya. Gayanya bersahaja dan santai. Hidup Zaki bebas tanpa konkongan kedua orang tuanya. Zaki bebas melakukan apa saja yang digemarinya. Bebas tak bermakna, tidak dipedulikan. Dan Zaki bijak mengawal diri. Setakat ini, dirinya masih terjaga dari melakukan kegiatan diluar kawalan.

                 Sambil mengambil gambar, Zaki memerhatikan gelagat orang ramai. Dia merasa begitu teruja dengan keadaan di sekelilingnya. Dunia, dengan perbagai isi dan ragamnya. Hati Zaki berbisik sendiri.

              Ehh..kenapa dengan perempuan tu? Zaki berbicara di dalam hati. Seorang perempuan yang sedang duduk bersendirian di tepi tasik berkelakuan agak aneh. Dia macam sedang menangis, tapi dalam masa yang sama, dia menjamah makanan. Air matanya bercucuran, sedangkan mulutnya asyik menyuap tanpa henti.

            ‘’Assalamualaikum..’’ Zaki memberi salam. Dia memerhatikan perempuan yang berkelakuan aneh di depannya. Dengan wajah yang kusut masai dan tudung yang senget. Lagaknya, macam wanita yang baru kematian suami.

            ‘’Apa?’’ dengan mulut yang penuh, perempuan itu menyoal kembali. Zaki ingin ketawa, tapi dia tak berani. Dia cuba mengawal riak wajahnya dan mengulum senyum dalam diam. Ah..cutenya dia. Hati Zaki berbisik.

           ‘’Tak ada apa. Cuma nak bagi salam saja. Okey..saya tahu, awak tak nak diganggukan?’’ Zaki cuba beramah mesra. Kalau boleh, dia ingin kenal perempuan di depannya ini. Dia macam dah jatuh cinta pandang pertama. Lucunya..

            ‘’Tau takpa!’’ perempuan itu berkata lagi dan terus memasukkan makanan ke mulutnya. Dalam masa yang sama, air matanya turut gugur ke pipi tanpa henti. Zaki tak sampai hati nak biarkan perempuan itu dalam keadaan ini seorang diri. Dia turut melabuhkan punggungnya di atas rumput.

             ‘’Awak..awak nak kahwin dengan saya tak? ‘’ tanpa terduga, perempuan itu menyoalnya sebaik punggung Zaki berlabuh di atas tanah. Zaki tergamam. Lama juga dia berjeda dan memandang ralit ke wajah perempuan itu.

         ‘’Kekasih awak lari ke?’’ soalan Zaki membuatkan wanita itu mengeleng laju.

         ‘’Habis tu? Kenapa awak ajak saya kahwin?’’ Zaki berminat ingin tahu. Dia memandang perempuan di sebelahnya yang sedang mengelap bibirnya yang sememeh dengan makanan. Macam-budak-budak tak cukup umur saja, gayanya makan ketika ini.

           ‘’Tak. Kekasih saya tak lari ke mana-mana. Tapi..tapi..’’ perempuan itu menangis lagi. Kali ini dia sudah teresak-esak sambil mencapai pula bekas ais krim. Dia makan ais krim pula sambil menangis. Zaki ingin ketawa, tapi dia juga keliru saat ini. Dadanya juga turut rasa sebak dalam masa yang sama. Apa masalah perempuan ini? Zaki bertanya dirinya sendiri.

           ‘’Awak. Jangan macam ni..nanti orang ingat, saya yang buli awak.’’ Zaki bersuara lagi, seakan ingin memujuk. Tapi, pujukannya tak menjadi, perempuan itu semakin galak menangis. Zaki hilang punca.

           ‘’Awak..tengok awan tu, cantikkan? Kalau awak ada masalah, awak pandanglah awan dan bercakaplah dengan Allah. Luahkan semua masalah awak kepada Allah. Dia mengetahui segala isi hati awak. Menangis macam ni, takkan menyelesaikan masalah awak pun. Lagi pun, ini tempat awam. Apa pula kata orang nanti. Bersabarlah awak. Allah menguji mesti bersebab..’’

              Zaki cuba berlagak pandai. Dia mengungkapkan kata-kata yang selalu dibacanya di laman sosial. Ada juga kelebihannya laman sosial ni, lebih-lebih lagi kalau ada rakan-rakan yang selalu mengemas kini status yang berunsur nasihat dan motivasi.

            ‘’Nah..dengar lagu ni..mesti hati awak akan lega selepas ini..’’ Zaki berkata lagi sambil menghulurkan headphone kepada wanita di sebelahnya. Dia mencari lagu yang sesuai untuk wanita itu dengar. Dia simpati melihat wanita itu menangis tanpa henti.
Jangan Menangis Lagi (Kangen Band)

Aku jatuh cinta lagi
Untuk yang kesekian kali
Dan kurasa tapi kali ini
Ku temukan cinta sejati
Yang tinggal dalam palung hati

Mahligai cinta yang sejati
Ku rasa aku cinta mati
Wanita hanya sorang p******r
Ku temukan di sudut malam
Ku lihat dia sedang menangis
Sedang menangis2x

Sudahlah..
Jangan menangis lagi
Dengarlah kekasih
Aku di sini
Sudahlah..
Lupakan masa lalumu
Peluklah tubuhku
Ku bersamamu..oooooooo...

           ‘’Awak gila? Ambil balik!’’ perempuan itu melengking tiba-tiba. Headphone dicampak ke arah Zaki. Tergaman Zaki dengan kelakuan perempuan itu. Dia mencapai headphone dan mendengar lagu itu.

            ‘’Aku bukan p*****r la bodoh!’’ perempuan itu terus mengamuk dan menbuntangkan matanya. Tangisannya tadi terus terhenti. Wajah perempuan itu merah. Zaki yang rasa bersalah. Tersalah pilih lagu daa..

           ‘’Maaf awak. Saya ingat nak pujuk awak, sebab lagu tu tajuk, Jangan Menangis Lagi. Saya tak nak awak menangis, dan saya rasa, saya dah jatuh cinta dengan awak. Jatuh cinta pandang pertama..’’ dalam meminta maaf atas kesalahannya, Zaki tersasar kata. Terluah juga perasaannya tanpa sedar.

             ‘’Saya anak haram. Anak luar nikah. Awak nak nikah dengan saya? Nak?’’ perempuan itu bertanya. Zaki terus tergaman buat kesekian kalinya. Kenapa perempuan ini terlalu berterus terang? Hati Zaki menjadi ragu.

*********************

               Sejak pertemuan pertama itu, Zaki selalu berjumpa Sarah di tempat yang sama. Setiap kali dia jumpa Sarah, mesti Sarah sedang menangis sambil makan dan makanan pilihannya adalah makanan ringan yang tak berkhasiat. Kata Sarah, itulah caranya untuk melepaskan stress.

             Mereka sering berjumpa dan bercerita. Perkara yang membuatkan Sarah lebih tertekan, bila dia mendapat tahu, dia tinggal dengan keluarga angkat dan lelaki yang dicintainya sepenuh hati adalah abang kandung satu ibu dengannya. Ibu kandungnya diperkosa dan dia dilahirkan. Bukan itu saja, dia dibuang keluarga dan dijadikan anak angkat oleh keluarga yang dianggap keluarganya sendiri selama ini.

          Kisah Sarah terlalu menyayat hati dan Zaki semakin bersimpati dengannya. Dia ingin melindungi Sarah dan menjadi suami Sarah. Janji pun dibuat dan pertunangan diikat. Seminggu sebelum tarikh pernikahannya, Sarah mendapat tahu, lelaki yang dicintainya, bukan abang kandungnya pula. Sarah ingin putuskan pertunangan mereka tapi Zaki tak setuju dan nak meneruskan perhubungan mereka. Dalam masa yang sama, keluarga Zaki pula mendapat tahu kisah Sarah dan menghalang perhubungan itu diteruskan. Segalanya menjadi semakin rumit. Sarah tertekan hingga terlibat dalam kemalangan. Dia cuba melupakan semua kejadian yang berlaku dan nampaknya, hasratnya termakbul. Sarah hilang ingatan, atau dia sengaja berpura-pura hilang ingatan? Zaki juga sangsi dan keliru.

             Lelaki yang dicintai Sarah sebenarnya abang tiri Sarah. Ibu kandung Sarah mengahwini ayah tirinya selepas melahirkan Sarah. Ayah tiri Sarah adalah duda beranak tiga. Sarah tahu semua sejarah hidupnya, selepas keluarga angkat Sarah dan keluarga kandungnya bertemu untuk mengikat tali pertunangan kedua-duanya. Sarah dan Zaidi terpaksa beralah dan membawa haluan masing-masing dengan hati yang terluka. Tapi..sekarang ni yang tersepit adalah Zaki.

          Ya Allah, berat benar dugaan ini. Aku sayangkan Sarah dan aku tak mahu lepaskannya. Beri aku peluang untuk menjadi suami padanya hingga hujung nyawa. Bantu aku Ya Allah, untuk mengekalkan perhubungan kami. Zaki berdoa di dalam hati. Hatinya sedang walang.

************


            ‘’Pernikahan kita tak sah! Awak bukan suami saya...’’ Zaki terkejut mendengar ungkapan Sarah bila dia datang melawat Sarah selepas dia dihalau keluar. Apa pula alasan Sarah kali ini? Kenapa dia masih nak menafikannya?

              ‘’Kenapa Sarah cakap macam tu? Beri abang peluang Sarah. Jangan buat kenyataan macam tu. Kita nikah cukup syarat Sarah. Bukannya kita nikah di siam pun. Bukannya kita nikah tanpa restu. Semua keluarga kita dah setuju Sarah..’’

            ‘’Tapi Sarah tak setuju! Awak lupa, saat kita diijab kabulkan, Sarah sedang terlantar koma. Sarah tak tahu apa-apa pun..’’

          ‘’Sarah dah setujukan sebelum tu? Sarah yang tandatangan. Kami cuma teruskan apa yang yang telah kita rancang Sarah.’’ Zaki masih ingin memujuk Sarah. Dia benar-benar tak rela kehilangan Sarah. Kalau boleh, dia nak meluru ke arah Sarah dan merangkul Sarah ke dalam pelukannya. Dia nak pujuk Sarah agar teruskan perhubungan mereka yang dah sah bergelar suami dan isteri.

             ‘’Kenapa tak tunggu Sarah sedar? Kenapa nak buat keputusan sendiri? Sarah juga ada hak untuk menentukan masa depan Sarah! Kenapa? Kenapa?’’ Sarah menyoal bertalu-talu dan air matanya berjuraian selepas itu. Fikiran Zaki menjadi serabut. Perasaan bersalahnya terus menyerbu dalam hatinya. Aku sayang kau Sarah. Itulah sebabnya. Aku tak nak kehilangan kau Sarah. Zaki berbisik lagi di dalam hati. Sebak dadanya saat ini cuba dikawal lagi.

             ‘’Sahkah pernikahan kita? Sarah muskhil..’’ suara Sarah kedengaran lagi. Yang Zaki tahu rukun nikah ada lima perkara. Lelaki, wanita, wali, saksi, ijab dan kabul. Semuanya sudah sempurna dan Sarah juga sudah menurunkan tandatangannya tanda persetujuannya.

              ‘’Sarah..kalau Sarah belum bersedia untuk terima abang, tak apa..abang redho dan sanggup untuk tunggu Sarah, tapi tolong jangan ragu-ragu dengan pernikahan kita. Dan..izinkan abang untuk jalankan tanggungjawab abang sebagai suami Sarah yang sah..’’

             ‘’Sarah tak nak!’’

               ‘’Sarah..’’

               ‘’Sarah tak nak! Tak nakk!’’

              ‘’Jangan macam tu Sarah. Berdosa seorang isteri yang..’’

               ‘’Apa? Jangan nak ceramahkan Sarah pula! Siapa yang nak teruskan semua ni? Awakkan? Kalau awak tak setuju untuk jabat tangan Tok Kadi dan angkat Ijab dan Kabul..semua ini takkan terjadi. Tak boleh ke tunggu Sarah sedar dulu? ‘’ Sarah masih menyalahkan Zaki. Mengeluh lagi Zaki tanpa sedar. Sarah..terimalah kenyataan sayang, kita dah jadi suami isteri yang sah. Zaki berbicara lagi dengan dirinya sendiri. Dadanya sakit yang teramat. Sarah masih menafikan haknya sebagai suami. Sarah masih tidak mahu menerima dirinya.

Ya Allah, berikan aku ketabahan dan kesabaran. Aku bukan seorang lelaki yang kuat untuk menanggung semua beban perasaan ini. Aku tak mahu Sarah terus sedih, tapi dalam masa yang sama, aku tak nak kehilangan Sarah. Adakah aku lelaki yang pentingkan diri sendiri? Aku percaya, Sarah memang jodohku. Kalau tak, tentu kami takkan dipertemukan dan pernikahan aku dan Sarah tentu akan mendapat tentangan oleh semua pihak. Ya Allah, aku buntu. Bantu aku untuk selesaikan masalah ini.

***************

           Ya Allah, aku hambaMU yang lemah, seringkali tersasar arah. Aku mohon petunjukMu agar aku dapat menerima dia seadanya. Aku tahu aku bersalah. Aku sedar aku berdosa, tapi hati ini ingin menidakkan kehadirannya.

         Ya allah, aku tahu dia menerima aku seadanya. Aku tahu jodoh aku memang untuknya, namun aku belum bersedia untuk menerima ketentuan ini. Ampunkan aku Ya Allah. Beri aku peluang untuk mencari diriku terlebih dahulu sebelum aku merelakan diriku untuk menjadi isterinya.

      Aku hilang arah tujuan. Aku hilang keyakinan diri ketika ini. Aku perlukan ruang untuk menganalisis diri sendiri. Aku perlukan masa untuk memikirkan masa depanku bersamanya. Aku perlu memenuhkan jiwaku dengan Iman dan Taqwa sebelum aku menerima cintanya sebagai suamiku. Maafkan aku.

                  Sarah menutup buku hariannya. Sejak dia pulang ke rumah, buku harian itu yang menjadi temannya untuk meluahkan perasaan. Dia tak berani untuk membicarakan perihal hatinya kepada orang lain. Bagi Sarah, tiada sesiapa pun yang memahami hatinya ketika ini. Sarah sedih, bila memikirkan semua orang sudah menyingkirkan dirinya.

              Ingatannya masih belum pulih sepenuhnya. Kalau ada bayangan pun, ianya masih samar-samar. Sarah tak percaya, semua ini terjadi dalam hidupnya. Dia rasa sunyi. Rasa disisihkan dan baginya, seluruh isi dunia ini sudah membuangnya.

          Ya Allah, bantu aku untuk mengatasi semua ini dengan hati yang Redha. Aku keliru..aku takut aku hilang arah dan tersasar dari Jalan benarMu. Aku tahu, tanggungjawab seorang isteri adalah taat pada suami, tapi aku tak mampu untuk laksanakan tanggungjawab itu ketika ini. Hati aku belum bersedia. Jiwa aku tak dapat menerima kehadirannya. Aku tak tahu, kenapa?

           Sarah berbisik di dalam hati. Hanya kepada Allah tempat dia mengadu, dan Sarah pasti Allah sedang mendengar semua bisikan hatinya ketika ini. Sarah ingin menjadi kuat berdepan dengan cobaan ini. Namun, Sarah akur dengan kelemahan diri sendiri. Dia nampak tabah di luar, sedangkan hatinya menangis di dalam.

           ‘’Sarah..’’ terdengar namanya diseru, Sarah menoleh. Puan Zainab sedang merenung Sarah yang selalu termenung sejak pulang ke rumah. Di tepi tingkap inilah Sarah menghabiskan masanya setiap hari. Pagi atau petang, siang dan malam, kerja Sarah hanya termenung dan Sarah seolah tidak berada di dunia nyata.

            ‘’Mama..’’ Sarah membalas sapaan Puan Zainab sambil cuba mengukirkan senyuman. Wajahnya yang masih pucat tak bermaya, cuba dimaniskan sedaya mungkin, walaupun senyumannya kelihatan hambar.

          ‘’Kenapa ni Sarah? Mama tengok, Sarah macam tak gembira saja, balik rumah?’’

           ‘’Sarah happy mama, tapi Sarah keliru. Betul ke Zaki tu suami Sarah, mama? Banyak perkara yang membuatkan fikiran Sarah bercelaru sekarang ni, mama..’’ Sarah berterus terang dengan Puan Zainab. Dia tak pasti, apa yang tersembunyi di sebalik semua kejadian. Hatinya belum dapat menerima Zakiuddin sepenuh hati. Dia sangsi setiap kali dia melihat Zaki.

             ‘’Betul Sarah. Kenapa Sarah masih ragu-ragu? Zaki nak teruskan pernikahan Sarah bersebab Sarah. Dia nak jaga Sarah. Dia nak halalkan perhubungan dia dan Sarah. Sepanjang Sarah koma, Zaki yang menjaga Sarah. Mama ni Sarah faham sendirilahkan. Mama tak sihat, papa pula sering sibuk menguruskan bisnes dia, kalau tak ada Zaki, mama pun tak tahu, siapa yang akan jaga Sarah di hospital. Zaki tak pernah culas untuk menjenguk Sarah setiap kali waktu melawat.’’

       Panjang lebar Puan Zainab memberikan penjelasan kerana itulah hakikat sebenarnya. Dia nampak dengan jelas betapa Zaki amat menyayangi Sarah. Dia pasti kasih sayang Zaki terhadap Sarah, bukan lakonan semata-mata. Zaki ikhlas terhadap Sarah, itu yang Puan Zainab rasa.   

           ‘’Dia melawat Sarah?’’

          ‘’Ya, kenapa? Sarah tak percaya?’’

          ‘’Setiap kali waktu melawat?’’

           ‘’Iya!’’

           ‘’Dia tak kerja ke mama?’’

            ‘’Kenapa Sarah tak tanya dia..’’ Puan Zainab tersenyum, nampaknya Sarah berminat juga untuk ambil tahu tentang Zaki.

             ‘’Ishh..malaslah Sarah nak tanya dia, nanti dia ingat Sarah berminat dekat dia pulak.’’

             ‘’Tak berdosa pun Sarah. Suami Sarahkan..’’

            ‘’Tak nak ahh..mama...’’

             ‘’Sarah, Sarah..’’ Puan Zainab mengelengkan kepalanya berkali-kali mendengar kata-kata Sarah. Ego Sarah memang tinggi. Kalau dia suka seseorang pun, dia pendamkan saja. Tiba-tiba, minda Puan Zainab terimbas kejadian sebelum Sarah kemalangan. Pertemuan kembali Sarah bersama ibu kandungnya. Puan Zainab menarik nafas dan melepaskannya. Kesian Sarah. Hidupnya menjadi huru hara selepas itu hingga dia terbabit dalam kemalangan. Bagi Puan Zainab, kehadiran Zaki melenyapkan segala kerumitan dalam hidup Sarah, sebab itulah dia dan suaminya Encik Shahid berpakat untuk menerima Zaki, walaupun dalam masa yang sangat singkat.

                 ‘’Mama..Sarah ingat, Sarah nak sambung belajarlah mama. Bosanlah tinggal di rumah.’’

             ‘’Apa sarah?’’

            ‘’Sarah nak sambung belajar.’’

             ‘’Sarahkan masih tak sihat. Macam mana nak keluar dengan kerusi roda ni?’’

            ‘’Sarah nak belajar secara online dulu mama. Lepas tu, Sarah nak ambil exam. Dah sihat nanti barulah Sarah nak mohon untuk belajar di mana-mana kolej. Lagi pun, daripada Sarah tak buat kerja apa, lebih baik Sarah habiskan masa dengan belajar. Dapat juga ilmu. Kan mama?’’

          ‘’Sarah dah minta izin Zaki?’’

            ‘’Alah, mama ni..Zaki, Zaki, Zaki..tak sebut nama dia tak boleh ke mama?’’ tiba-tiba Sarah membentak. Tergaman juga Puan Zainab melihat respon Sarah. Kenapa Sarah marah sangat dengan Zaki agaknya?

              ‘’Diakan suami Sarah. Nak buat apa pun, kenalah minta izin suami,  Sarah.’’ Tegas nada suara Puan Zainab. Matanya merenung tepat ke wajah Sarah yang kelihatan gelisah ketika ini.

            ‘’Kenapa mama dan papa izinkan dia nikah dengan Sarah? Kenapa tak tunggu Sarah sedar dulu mama? Sarah belum bersedia mama. Sarah macam..’’ kata-kata Sarah terhenti. Dia mencari ayat yang sesuai untuk diluahkan.

         ‘’Sarah..’’ Sarah buntu. Mindanya kosong untuk terus mengungkapkan kata. Apakah alasan terbaik untuk menolak Zaki? Sarah berbicara di dalam hati.

          ‘’Sarah..abang izinkan Sarah belajar. Tak apa, abang redho kalau Sarah belum bersedia untuk menerima abang sebagai suami. Kalau Sarah nak abang tinggalkan Sarah buat seketika pun, abang akan lakukan. Tapi..abang minta, Sarah jangan minta abang lepaskan Sarah. Perkara tu, abang takkan lakukan. Bagi abang, ijab dan kabul hanya sekali. Beri abang masa, untuk fikirkannya, dan abang pun akan beri masa untuk Sarah fikirkan tentang perhubungan kita.’’ Tak tahu dari mana Zaki datang, tak semena-mena dia mencelah perbualan Sarah dan Puan Zainab. Mungkin Zaki dah lama memasang telinga mendengar perbualan mereka.

           ‘’Zaki, Sarah..berbincanglah elok-elok. Sarah..mama tinggalkan Sarah dengan Zaki. Tanyalah dia, apa yang Sarah nak tahu. Jangan nak mengamuk tak tentu pasal. Berdosa derhaka dengan suami.’’

             ‘’Mama!..’’ Puan Zainab ingin berlalu, tapi namanya diseru Sarah. Dia menoleh ke arah Sarah dengan wajah tenang. Hatinya digeletek lucu, melihat wajah gelisah Sarah.

            ‘’Berbincang dengan Zaki, Sarah. Dia yang menentukan hala hidup Sarah sekarang ni. Mama dan papa, tak boleh buat keputusan untuk Sarah.’’ Puan Zainab bersuara tegas. Sarah menundukkan wajah. Dia ingin menangis, tapi air matanya tidak sudi untuk menjengah.

          ‘’Terima kasih mama..’’ Zaki berterima kasih dengan Puan Zainab kerana memberi peluang padanya untuk menjadi suami yang baik untuk Sarah. Dia sangat terharu dengan sikap ibu mertuanya. Puan Zainab hanya mengangguk dan tersenyum sebelum berlalu.
********************

               Zaki menghampiri Sarah. Dia menarik kerusi dan meletakkan kerusi di sebelah kerusi roda Sarah. Dia melabuhkan punggung di atas kerusi dan melihat di kejauhan melalui tingkap yang terbuka luas. Kemudiannya, dia menoleh ke arah Sarah dengan lama. Sarah pula sedang melihat kehijauan pohon-pohonan di depan rumah mereka. Dia tak berani untuk menoleh di sebelahnya. Dia tahu, Zaki sedang merenungnya ketika ini.

            ‘’Sarah..’’ Zaki memanggil sambil tangannya cuba mengapai tangan Sarah. Mengeletar Sarah dengan tindakan Zaki yang tidak diduganya. Sarah cuba menarik tangannya, namun Zaki lebih pantas.

          ‘’Beri abang peluang Sarah. Abang takkan paksa Sarah, untuk menerima abang sekarang ni. Sarah berhak untuk menolak abang, tapi bukan untuk memutuskan perhubungan kita. Buat masa sekarang, abang nak Sarah tenangkan diri Sarah dulu. Jaga kesihatan Sarah dan pulih macam biasa.

             Abang akan beri masa pada Sarah. Sebanyak mana masa yang Sarah nak, Sarah yang tentukan. Setahun? Dua tahun? Abang akan tunggu Sarah, tapi jangan lama-lama sangat. Nanti abang rindu.’’ Zaki terdiam beberapa saat selepas mengungkapkan kata-kata terakhirnya. Tujuannya ingin berseloroh, dalam masa yang sama, dia juga ikhlas mengungkapkan ayat-ayatnya itu.

            ‘’Sarah nak tanya apa dengan abang? Tanyalah, kaunter pertanyaan sedang terbuka untuk Sarah. Anytime, anywhere..’’ Zaki masih ingin bergurau dengan Sarah, walaupun setiap kata-katanya tidak mendapat balasan. Dia tersenyum sendiri sambil terus menatap wajah Sarah. Kalau ikutkan hatinya yang sedang membuak-buak rasa sayang terhadap Sarah, ingin dirangkulnya Sarah ketika ini.

             ‘’Tadi..abang dengar Sarah tanya mama. Sarah nak tahu, abang kerja apakan?’’ Zaki masih berceloteh. Matanya masih ralit meratah wajah Sarah. Seketika Sarah menoleh ke arahnya. Zaki mengukirkan senyuman. Tangan Sarah masih digengamnya.

             ‘’Awak curi dengar ke?’’ Sarah bertanya dalam nada perlahan. Dia cuba mengawal perasaannya agar tidak bersuara kasar dengan Zaki macam selalu. Zaki tersenyum lagi. Ditarik tangan Sarah dan dikucupnya. Tergaman Sarah dengan perbuatan Zaki. Sepatutnya, sebagai isteri Sarah yang perlu kucup tangan Zaki. Ini sudah terbalik pula. Sarah menarik tangannya, tapi Zaki mengeleng laju.

                ‘’Izinkan abang pegang tangan Sarah untuk hari ini. Abang tak dapat pegang hati Sarah lagi. Tak apa, cuma izinkan abang pegang tangan Sarah untuk hari ini saja. Abang nak kena pergi ke Sabah selama dua tahun, atas urusan kerja. Abang akan bertolak malam ni. Sarah tinggal dengan mama ya?’’ Zaki bersuara sebak tiba-tiba. Sarah menunggu untuk mendengar kata-kata Zaki selanjutnya. Sarah keliru lagi. Tadi, Zaki cakap akan menunggunya bersedia untuk menerima Zaki. Sekarang ni lain pula. Zaki akan tinggalkan dia? Mana satu yang betul ni? Mana satu yang harus Sarah percaya?

             ‘’Kenapa pula? Kenapa awak nak pergi ke Sabah? Tadi..awak cakap..’’ Sarah tak dapat menghabiskan kata-katanya. Tak semena-mena hatinya menjadi sebak. Sepatutnya dia gembira. Dia lagi keliru dengan hatinya sendiri.

           ‘’Sarah tak nak abang pergi? Kalau Sarah tak kasi abang pergi, abang takkan pergi. Lagi pun, abang pergi ni selain urusan kerja, sebab abang nak bagi peluang pada Sarah untuk berfikir. Sepanjang abang tak ada ini, kalau Sarah rindukan abang, Sarah..’’ Zaki tak jadi meneruskan kata-katanya bila melihat air mata Sarah sudah mengalir. Ahh..dia tak faham dengan sikap orang perempuan ni. Sayangkah Sarah padanya?

             ‘’Sarah...kenapa menangis pula ni?’’ Zaki serba salah. Bukan niat dia untuk menyakitkan hati Sarah. Dia hanya nak memberi Sarah peluang untuk berfikir. Kerja dia memanglah tak sepenting mana. Bagi Zaki, Sarah lebih penting dari kerja. Zaki menarik Sarah rapat padanya dan merangkul tubuh Sarah. Tidak pula Sarah menolak. Hati Zaki berbunga riang. Dapat juga dia memeluk tubuh isterinya ini, namun kebahagiaannya tak lama. Sarah menolak tubuh Zaki dan mengesat air matanya.

              ‘’Jangan nak ambil kesempatan..’’ Sarah berkata perlahan. Zaki tersenyum, sekali lagi dia menarik tangan Sarah dan mengucupnya. Sarah rimas, akhirnya Sarah juga berbuat perkara yang sama. Kali pertama Sarah mengucup tangan Zaki. Terdiam Zaki melihatnya.

            ‘’Sarah minta maaf. Terima kasih bagi Sarah peluang. Pergilah..Sarah tunggu awak pulang. Kalau Sarah rindu nanti, Sarah mesej awak. Masa tu awak kena balik ke sisi Sarah.’’ Malu-malu Sarah mengungkapkan kata, walaupun sebenarnya dia sendiri tidak pasti apa yang sedang berlaku. Sarah masih keliru. Itulah kebenarannya. Dia takut untuk terus berkasar. Dia takut untuk jadi isteri derhaka. Dia takut untuk menanggung dosa berterusan. Dia takut sesuatu terjadi terhadap Zaki dan dia tak dapat kemaafan dari Zaki. Sabah itu terlalu jauh untuk mereka berdua.

            ‘’Terima kasih Sarah..’’ dalam mengungkapkan kata, tanpa sedar Zaki menarik Sarah dan mengucup dahi Sarah. Tergaman lagi Sarah dibuatnya. Perlahan-lahan dahinya itu disentuh. Masih terasa kehangatannya. Wajah Sarah turut berbahang.

            ‘’Ambil kesempatan lagi?’’

             ‘’Sorry. Spontan, tak dapat dikawal. Lagi pun, tu bekal untuk abang nak berpisah dengan Sarah. Kalau boleh, dua saat pun abang tak nak berpisah dengan Sarah. Inikan pula dua tahun. Tapi, apakan daya, Sarah tak sudi terima abang, terpaksalah abang pergi bawa diri, tapi hati abang, Sarah pegang ya? Jangan buang hati abang.’’ Zaki masih ingin berseloroh, sedangkan hatinya sebak saat mengungkapkan kata-kata itu. Sarah mengangguk perlahan. Hatinya juga menjadi libang-libu. Dia keliru!

***************

               Zaki mengeliat puas sambil mendepangkan kedua-dua belah tangannya. Gunung Kinabalu yang berada di depan matanya kelihatan sangat indah dan memukau pandangan. Hajat di hatinya untuk menakluk puncak Gunung Kinabalu. Kerja Zaki bukanlah penting sangat. Hobi Zaki mengembara ke seluruh pelosok dunia. Dia ingin menjelajah ke tempat-tempat indah.

               Zaki mempunyai bisnes sendiri. Kedai gambar yang menjual hasil-hasil lukisan penulis terkenal dan menjual cakera padat dan sebagainya. Zaki juga mempunyai hobi mengambil gambar-gambar permandangan dan mencucinya lalu difremkan dan dijual.

             Zaki memang sengaja memilih Negeri Di Bawah Bayu ini sebagai destinasinya. Dia ingin mencari kedamaiaan hati dan ingin meluangkan masa mencipta pengalaman baru di sini. Melihat saja Gunung Kinabalu dari Internet tak mendatangkan kepuasan untuknya. Dia ingin merasai sendiri suasana di sini. Dia ingin mengambil sebanyak mungkin gambar permandangan di sini. Kemudian, dia akan cuci dan fremkan, dan kemudian akan dijual dengan harga yang berpatutan.

             Zaki ingin hidup bebas tanpa konkongan keluarga dan tugas hariannya. Kerjaya yang dipilihnya juga, takkan membuatkan hidupnya terkonkong. Kedai gambar miliknya, ada pembantu yang menguruskannya. Mereka dibayar gaji dan mereka diberi kepercayaan. Zaki tak pernah menaruh curiga terhadap pekerja-pekerjanya. Dia ingin bebas dari perasaan curiga dan was-was. Zaki ingin bebas dari semua perasaan yang akan menyakitkan hatinya.

*****************

            Sarah tersentak dari tidurnya. Dahinya berpeluh. Jiwanya resah dan gelisah. Mimpinya kembali menjengah minda. Ya Allah, mimpi apakah ini? Tidak! Walaupun hati aku belum menerima dia sepenuhnya, tapi ketika ini aku tak sanggup kehilangan dia.

            Beri aku peluang kedua, Ya Allah. Untuk menjadi seorang isteri pada Zaki. Jangan rampas dia dariku. Jangan biarkan jiwa aku terdera begini. Maafkan atas segala dosaku. Ampunkan aku Ya Allah, kerana menidakkan hak Zaki terhadapku. Tolong, jangan rampas dia dari hidupku. Kembalikan dia di sisiku Ya Allah.

           Baru kini aku terasa kehilangannya, walaupun baru sebulan dia meninggalkan aku di sini. Tanpa sebarang khabar berita. Tanpa mesej ataupun panggilan. Aku rindu! Sungguh, aku terlalu rindukan dia. Harap mimpi ini tidak benar. Mudahan. Mimpi ini hanya mainan tidur.  

         Sarah kembali mengimbas mimpinya sebentar tadi. Dia nampak Zaki sedang berjalan di tepi jurang dan Zaki tergelincir lalu jatuh ke dalam gaung/ Usaha menyelamat dilakukan tapi Sarah terkejut dan sedar dari tidurnya. Hatinya keliru dan jiwanya memberontak. Dalam hatinya memanjat doa, agar mimpi itu tidak benar. Itu semua kerana perasaan risaunya yang hadir terhadap Zaki. Marah sangatkah Zaki terhadapnya hingga terus menyepikan diri begini?

             ‘’Sarah..’’ sedang Sarah memikirkan segala kemungkinan, namanya diseru dari luar dikuti dengan ketukan kuat di pintu bilik. Seketika kemudian pintu biliknya terkuak. Puan Zainab dan Encik Shahid sudah terjengol di muka pintu dengan wajah cemas.

             ‘’Kenapa mama? Papa?’’ Sarah menyoal dengan perasaan curiga bercampur cemas juga. Mimpinya kembali mengetuk minda. Ya Allah, jangan buat aku macam ni. Beri aku peluang kedua Ya Allah. Hati Sarah terus merintih di dalam. Dia diserbu dengan perasaan bersalah yang teramat sangat.

           ‘’Mertua Sarah call..Zaki, dia..’’ sambil menghampiri katil Sarah, Puan Zainab mengungkapkan kata. Teragak-agak untuk bercerita. Semakin cemas Sarah dibuatnya.

            ‘’Kenapa dengan Zaki, mama?’’ cemas Sarah bertanya. Dia sudah mula mengerakkan kakinya perlahan-lahan untuk turun dari katil, walaupun terasa sangat sukar.

           ‘’Sarah bersabar ya. Mama tolong Sarah bersiap. Kita pergi ke rumah mertua Sarah sekarang juga. Bersiap ya Sarah.’’ Puan Zainab cuba bersuara tenang. Dia menghampiri almari dan mengeluarkan baju Sarah. Encik Shahid hanya terpaku di muka pintu bilik.

         ‘’Kenapa dengan Zaki, mama?’’ Sarah bertanya dalam sendu. Fikirannya tidak mampu mengikut kehendak mamanya agar bertenang. Mimpinya tadi kembali bertandang. Ya Allah, jangan permainkan hidup aku macam ni. Aku mohon Ya Allah. Aku tahu, aku berdosa kerana menjadi isteri derhaka. Ampunkan aku Ya Allah. Sarah terus merintih tanpa henti. Air matanya sudah menderu turun ke pipi.

           ‘’Bertenang Sarah. Jangan ikutkan kata hati sangat. Jangan diikutkan sangat perasaan tu. Kita belum tahu lagi, apa sebenarnya yang terjadi. Berdoalah Sarah, agar Zaki selamat.’’

           ‘’Apa sebenarnya yang terjadi, mama?’’ Sarah terus menyoal. Puan Zainab memandang sayu ke arah Sarah.

          ‘’Zaki hilang di Sabah ketika mendaki Gunung Kinabalu. Dia tak dapat dijejaki, sudah seminggu pasukan penyelamat mencari Zaki, tapi..’’

          ‘’Dah seminggu hilang mama? Kenapa? Kenapa Sarah tak tahu apa-apa pun?’’ Sarah melengking tiba-tiba. Disangka mama dan papanya cuba menyembunyikan dari pengetahuannya.

         ‘’Tak ada siapa yang tahu Sarah. Keluarga mertua Sarah pun baru dapat berita dari pekerja-pekerja Zaki. Tak ada seorang pun yang tahu, Zaki hilang Sarah.’’ Tenang saja Puan Zainab memberikan penjelasan. Dia tahu, Sarah juga bimbangkan Zaki. Dalam keadaan sekarang, tentu Sarah juga keliru dengan perasaannya. Dengan keadaannya yang masih berkerusi roda dan ingatannya yang belum pulih sepenuhnya.

           Ya Allah, selamatkan Zaki, suamiku. Sarah terus berdoa di dalam hati. Wajahnya menjadi pucat bila mindanya sudah bergetar dengan sejuta perasaan. Takut sesuatu yang buruk menimpa Zaki. Bimbang, Zaki takkan pulang ke sisinya lagi. Dan, ketika inilah segala layanan Zaki terhadapnya kembali terimbas dalam ingatan. Tak semena-mena Sarah menyembamkan mukanya ke bantal.

                Dia menangis lagi dan terus menangis. Puan Zainab dan Encik Shahid tergaman menyaksikannya. Mereka sangka, Sarah tak sayangkan Zaki, tapi ternyata, dengan apa yang mereka saksikan sekarang, dugaan mereka tidak benar sama sekali. Ada sayang di dalam hati, mungkin hanya ego Sarah yang menidakkannya.

           ‘’Bersabar Sarah. Bawa bertenang..’’ Puan Zainab duduk di birai katil. Diusap perlahan bahu Sarah.

             ‘’Sarah isteri yang berdosa mama. Macam mana, kalau Zaki tak maafkan semua kesalahan Sarah?’’ dalam sendu Sarah bersuara. Dia bangun dan merangkul tubuh mamanya. Di bahu Puan Zainab, tangisan Sarah terus berlagu sendu.

           ‘’Zaki sayang Sarah. Mama tahu, Zaki tak pernah marahkan Sarah. Dia tentu faham perasaan Sarah. Mama yakin, Sarah..Zaki tak pernah simpan dendam terhadap Sarah. Dia tentu dah maafkan semua kesalahan Sarah. Dah, bersiap sekarang. Mari..mama tolong Sarah.’’

*********************

 Lima bulan kemudian...

            Sarah sudah pulih sepenuhnya. Dia sudah boleh berjalan, cuma ingatannya saja yang belum pulih sepenuhnya. Dia hanya ingat mama dan papanya. Dia ingat Zaki dan pertemuan pertamanya dengan Zaki. Dia ingat kawan-kawan baiknya dan rakan-rakan sekolahnya. Tapi Sarah tak ingat peristiwa sebelum dia kemalangan.

          Zaki juga sudah ditemui selepas sebulan pasukan penyelamat mencarinya. Pada awalnya, mereka menemui jalan buntu dan ingin berputus asa. Hinggalah dikhabarkan Zaki terselamat kerana dia ditemui oleh orang-orang asli yang tinggal berdekatan dengan tempat Zaki kemalangan, kononnya!

           Takdir terus menguji hidup Sarah dan Zaki. Kalau sebelum ini, Sarah menolak Zaki, tapi kini Zaki pula yang menolak Sarah. Dia tak kenal siapa Sarah. Kata doktor, kepala Zaki terhantuk kuat ketika jatuh gaung. Zaki juga mengalami masalah hilang ingatan. Zaki pulih sepenuhnya selepas menerima rawatan pakar, namun dia hanya kenal ahli keluarga terdekatnya saja. Dia tak kenal siapa Sarah.

               Hari ini Sarah datang lagi ke kedai gambar Zaki. Dia sengaja datang untuk melihat Zaki. Dia tahu, Zaki tak menerima dirinya lagi, tapi dia dah terlalu rindukan Zaki dan layanan baik Zaki terhadapnya sebelum ini. Sarah berlagak macam pelanggan tetap kedai Zaki. Selalu juga Sarah mengambil kesempatan menjeling Zaki ketika Zaki ralit membuat kerjanya, sedangkan Sarah berpura-pura membelek gambar-gambar yang dijual di kedai itu.

            Kadang-kadang, Sarah ingin menangis setiap kali dia datang ke kedai ini. Sarah umpama seorang pengintip yang sedang mengintip suami sendiri dari jauh dan dalam diam. Sarah terseksa menanggung perasaan. Mungkin ini balasan yang harus Sarah terima kerana berkasar dengan Zaki sebelum ini. Sarah ingin terus bersabar, hingga Zaki pulih sepenuhnya.

            ‘’Cik, dari tadi lagi cik belek gambar ni. Cik nak beli ke? Kalau nak, saya boleh bagi diskaun. Ataupun, beli satu percuma satu.’’ Sarah tersentak, dia menoleh ke sebelah. Mata Sarah dan mata Zaki bertemu. Lidah Sarah terus kelu. Jantungnya berdetak laju.

           ‘’Cik..’’ Zaki bersuara lagi. Kali ini disertakan dengan senyuman dan matanya terus menatap ke dalam mata sarah. Terpaku Sarah di tempat dia berdiri dan matanya juga tak mampu untuk memandang ke arah lain lagi.

          ‘’Cik..’’ Zaki memanggil lagi. Dia memetik ibu jari dan jari telunjuk di depan mata Sarah. Cepat-cepat Sarah berpusing ke arah bertentangan. Wajah Sarah sudah berbahang. Malu...

             ‘’Cik nak beli ke tak?’’ Zaki masih terus menyoal. Sarah mengeleng laju dan bergerak pantas menuju ke pintu. Zaki yang ditinggalkan mengulum senyum dalam diam. Bila Sarah sudah hilang dari pandangan, bibir Zaki yang merekah dengan senyuman tadi bertukar menjadi tawa yang panjang.

             Sarah, oh Sarah..cute juga isteri aku ni, bila malu-malu macam tu. Zaki berdialaog di dalam hati. Bibirnya masih tersisa dengan senyuman.

            ‘’Sampai bila kau nak uji isteri kau tu Zek? Kesian pula aku tengok dia, macam tu..’’ rakan perkongsian Zaki merangkap kawan baik Zaki bertanya. Muhammad Faiz yang memerhatikan gelagat Zaki sejak tadi mula bersimpati dengan Sarah, walaupun dia tak tahu apa masalah sebenar suami isteri ini.

              ‘’Sampai dia luahkan perasaan dia kat aku. Sampai dia kata I Miss You dan I Love You kat aku.’’ Selamba saja Zaki menjawab, walaupun dia pasti Sarah takkan mengungkapkan perkataan itu.

            ‘’Kejam sangat tu Zek. Aku takut, beruban rambut kau pun, dia takkan cakap macam tu. Meloponglah kau seumur hidup. Ada isteri hanya mampu merindu tapi tak berani nak sentuh.’’ Ayat-ayat penuh bermakna dihadiahkan Faiz untuk Zaki. Lama juga Zaki berjeda mendengarnya.

            ‘’Aku dah berjanji, aku akan pulang selepas dua tahun. Belum cukup waktunya, aku nak mengaku aku rindukan dia. Tunggulah genap dua tahun nanti, aku pun bukannya cukup kuat untuk lepaskan dia macam tu saja. Kau jangan bimbang, aku takkan beruban sebelum waktunya.’’ Tenang saja Zaki membalas kata-kata Faiz. Dia tahu apa yang dilakukannya sekarang. Dia akan beri Sarah peluang. Itu janjinya pada Sarah. Dia takkan mungkir janji.

           ‘’Lantak kaulah Zek. Kalau isteri kau tu dah malas nak tunggu, jangan kau menyesal tak sudah pulak.’’ Faiz memberikan amaran untuk Zaki. Tersenyum saja Zaki mendengarnya. Dia takkan benarkan itu berlaku. Dia akan ikuti semua perkembangan Sarah dalam diam. Sarah milik dia seorang. Sarah takkan terlepas ke tangan lelaki lain. Zaki nekad dalam hati. Dia sayang Sarah. Dia cintakan Sarah sepenuh hati.

****************

             Zaki merenung Sarah dari jauh. Sarah menangis lagi di tepi tasik seorang diri. Cuma sekarang, Sarah tak menangis sambil makan lagi. Kesian Zaki melihat Sarah dalam keadaan macam tu. Dia ingin hentikan lakonannya. Dia ingin hentikan semua rancangannya. Dia macam sudah yakin, Sarah juga mempunyai perasaan yang sama terhadapnya.

           Malam dia berpakat dengan kedua bapa mertuanya, Sarah menangis sakan selepas mendapat tahu dia mengalami kecelakaan. Padahal, malam yang sama juga, dia baru pulang dari Sabah kerana terlalu rindukan Sarah. Kerana takut Sarah masih belum menerimanya, Zaki berpakat dengan keluarga mertuanya untuk membawa Sarah pulang ke kampung ibunya.

            Kebetulan keluarga Zaki memang nak membuat kenduri arwah untuk neneknya. Dia ingin membawa Sarah pulang ke kampung, tapi dia masih ragu-ragu. Dia takut Sarah tak sudi mengikutnya pulang.

            Pakatan Zaki bersama kedua ibu bapa mertuanya menjadi. Sarah tak banyak soal selepas itu tapi Sarah asyik menangis setiap hari. Terpaksa Zaki munculkan diri tapi berlagak tak kenal Sarah pula. Keadaan Sarah pula menjadi bertambah baik selepas itu. Bila Zaki berpura-pura tak kenal Sarah, Sarah pula nekad untuk berusaha berjalan dan dalam masa yang sama Sarah belajar dan mengambil peperiksaan. Masa terus berlalu dan Sarah baru diterima di sebuah kolej kulinari. Sarah ingin belajar memasak dan menjadi chef. Zaki tak banyak soal. Dia izinkan, apa saja yang Sarah nak, asalkan Sarah masih tetap menjadi isterinya.

                Zaki berjalan perlahan-lahan menuju ke arah Sarah. Hatinya berbelah bahagi, sama ada nak meneruskan lakonannya ataupun berterus terang saja dengan Sarah?

               ‘’Assalamualaikum..’’ Zaki memberi salam sebelum melabuhkan punggungnya di atas rumput di sebelah Sarah. Matanya meratah wajah Sarah yang nampak agak serabut. Air mata yang masih mengalir Sarah kesat dengan tapak tangan.

          ‘’Boleh saya duduk di sini? Saya harap saya tak menganggu..’’ Zaki masih cuba mengajak Sarah berbual. Dia masih ingin berpura-pura tidak mengenali Sarah.

           ‘’Kenapa awak menangis? Awak..tengok awan tu. Cantik sangat!’’ sambil berkata Zaki merebahkan tubuhnya di atas rumput dan berbantalkan tangannya sendiri. Dia memandang langit yang membiru dan awan yang menutupi langit dengan rasa syukur.

           ‘’Subhanallah. Cantiknya awan tu. Rasa tenang saja jiwa bila tengok ciptaan Allah.’’ Zaki terus berceloteh. Perlahan-lahan dia menoleh ke arah Sarah di sebelah. Tiada lagi sedu sedan macam tadi. Sarah turut mendongakkan kepalanya ke langit.

           ‘’Awak ada masalah, mengadulah dengan Allah. Kenapa menangis di tempat awam macam ni. Apa pula kata pengunjung tasik ni. Nanti, mereka ingat awak baru mati laki pulak.’’ Zaki masih mengungkapkan kata-kata untuk memujuk Sarah. Dia terus memandang belakang Sarah yang sudah meluruskan kakinya dan terus mendongakkan kepalanya ke langit.

             ‘’Laki saya belum mati lagi la. Laki saya cuma ada masalah mental saja.’’ Sarah berkata dengan perasaan geram. Zaki pula tersenyum mendengar kata-kata Sarah. Dia bersyukur, sebab Sarah nak berbual dengannya.

           ‘’Laa..susah apa, suami awak sakit mental, cari saja suami lain.’’ Zaki menguji Sarah dengan ayat-ayatnya, sedangkan dalam masa yang sama, hatinya berdebar-debar untuk mendengar respon Sarah.

              ‘’Awak ingat, nak cari suami tu macam nak beli baju di pasaraya?’’ kasar suara Sarah di pendengaran Zaki. Ini petanda baik. Sarah sudi layan dia berbual.

            Zaki bangun dan memandang wajah Sarah, kebetulan dalam masa yang sama Sarah juga menoleh ke arahnya. Zaki ukirkan senyuman. Sarah merenung tajam padanya, terus Zaki ledakkan tawa. Sarah bengang dengan Zaki, tanpa sedar dada Zaki, Sarah tampar kuat.

            ‘’Kenapa dengan awak ni? Awak nak kenakan sayakan? Awak kenal sayakan? Tapi sengaja buat-buat tak kenal?’’ Sarah ledakkan pula kemarahannya. Dada Zaki ditampar lagi. Tidak pula Zaki mengelak. Dibiarkan saja dadanya ditampar oleh Sarah bertalu-talu.

             ‘’Kenapa Sarah menangis? Sarah rindukan abangkan? Sarah dah sayang abangkan?’’ Zaki menyoal Sarah yang masih melepaskan kemarahannya. Perbuatan Sarah terhenti. Tangannya yang sedang memukul dada Zaki dipandang. Sarah baru tersedar dengan perbuatannya tadi. Dan Sarah juga mendengar kata-kata Zaki dengan jelas. Sarah pandang Zaki dengan pandangan tidak mengerti.

                ‘’Sarah sayang abang tak? Sarah rindu abangkan?’’ Zaki menyoal lagi dengan perasaan ragu-ragu. Paling dia takut, Sarah akan melarikan diri darinya lagi, tapi..

                ‘’Sarah..sarah, jangan macam ni. Sarah, abang minta maaf. Janganlah menangis lagi, abang tahu, abang bersalah. Abang tipu Sarah, tapi abang dah berjanji nak bagi Sarah peluang, sebab tu la abang pura-pura tak kenal Sarah.’’ Zaki hilang punca bila melihat Sarah menyambung tangisnya. Bercucuran air mata Sarah gugur ke pipi.

                   Sarah yang mendengar kata-kata Zaki, melonjak bangun dan ingin berlalu pergi. Namun, Zaki lebih pantas menarik Sarah agar Sarah duduk kembali. Sarah meronta, tapi Zaki juga tak mahu berputus asa. Perang dingin antara mereka tak harus berterusan. Dia mesti menghentikan semua ini. Dia tak sanggup lagi, berperang dengan perasaan sendiri kerana rindukan Sarah.

            ‘’Please Sarah..kita hentikan semua ini. Abang tak sanggup lagi berjauhan dengan Sarah. Abang paling tak sanggup tengok Sarah menangis setiap hari, macam ni..’’

           ‘’Sarah menangis sebab awak! Kenapa buat Sarah macam ni?’’ dalam tangisan, Sarah tetap bersuara. Seketika kemudian, sedu sedan Sarah kedengaran lagi. Zaki betul-betul rasa terpukul dan simpati melihat Sarah dalam keadaan sekarang. Macam mana nak jelaskan semuanya pada Sarah?

              ‘’Abang tak tahu, nak buat macam mana. Itu saja cara yang sempat abang fikir. Abang ingat, kalau abang tak wujud lagi dalam hidup Sarah, tentu Sarah akan bahagia. Tapi, mama bagitau abang, Sarah menangis hari-hari. Abang jadi keliru. Sebenarnya..apa perasaan Sarah terhadap abang? Kenapa Sarah nak pendamkan semuanya seorang diri. Kan senang kalau Sarah luahkan.’’ Zaki ingin membela diri sendiri. Kalau dia salah, Sarah juga bersalah.

             ‘’Sarah perempuan, takkan Sarah yang kena mulakan dulu?’’ perlahan saja jawapan yang Sarah beri. Malu, itu yang dia rasa saat mengungkapkan kata-katanya.

              ‘’Sarah tahukan, abang sayang Sarah. Sarah tahukan, abang masih nak nikah dengan Sarah, walaupun Sarah sedang koma. Macam mana lagi abang nak buktikan perasaan abang pada Sarah?’’ Zaki juga meluahkan apa yang dia rasa. Seingat Zaki, dah banyak kali dia bagi hint pada Sarah, dia terlalu sayangkan Sarah dan dia juga cintakan Sarah. Tak cukup lagikah hint yang diberinya, atau Sarah pura-pura buat tak tahu?

             ‘’Sarah tahu. Tapi..Sarah sedar tentang perasaan Sarah selepas awak bertolak ke Sabah. Pada siapa Sarah nak luahkan perasaan Sarah tu? ‘’ sekali lagi Sarah meluahkan perasaannya. Kali ini, Sarah rasa wajahnya lebih berbahang, melebihi perasaan malunya tadi. Dia ingin lari, namun Sarah tak tahu bagaimana untuk melepaskan diri dari Zaki ketika ini.

                ‘’Sarah sayang abang?’’ Zaki tanya lagi sambil mengapai jari jemari Sarah. Digengam kejap jari jemari Sarah lalu dikucupnya. Sarah rasa bagaikan perasaannya didera bila setiap kali Zaki mengucup jari jemarinya seperti itu, seolah Zaki sedang menyindirnya. Sepatutnya Sarah yang perlu mengucup tangan Zaki, bukan Zaki yang mengucup tangan Sarah.

                 ‘’Jangan buat macam tu. Sarah tak suka!’’ Sarah segera membantah perbuatan Zaki dan menarik tangannya kembali. Zaki tak nak lepaskan, semakin kerap pula dia mengucup tangan Sarah, bertalu-talu hingga Sarah menjadi rimas dan memerhatikan sekeliling mereka. Wajahnya berbahang lagi, takut pengunjung lain yang berhampiran mereka, memerhatikan gelagat Zaki sekarang ini.

               ‘’Zaki! Awak sindir Sarahkan? Tahulah, Sarah tak pernah buat macam tu pun..’’

                ‘’Bila Sarah nak mula? Takkan nak tunggu kucing bertanduk baru nak kucup tangan abang? Ataupun, Sarah nak tunggu abang jatuh gaung sekali lagi, baru Sarah nak kucup tangan abang?’’ perlahan saja kata-kata yang Zaki ucapkan, namun peritnya terasa hingga ke lubuk hati Sarah.

               Sarah mengebam bibir. Dalam geram mendengar kata-kata Zaki, air mata Sarah mengalir lagi. Zaki terdiam lama. Menyesal bertamu di dalam hati. Dia sedar, dia terlajak kata lagi.

                ‘’Maaf. Abang tak sengaja..’’ perlahan Zaki berkata dan cuba mengesat air mata Sarah. Pantas Sarah berpaling dan melarikan wajahnya sambil menarik tangannya kembali. Sebal bertamu di dalam hati. Manusia! Senang sungguh melakukan kesalahan dan meminta maaf. Memberi kemaafan memang mudah, tapi untuk melupakan kata-kata yang setajam hujung pedang itu bukan semudah melafazkan kata-kata maaf.

              ‘’Sarah..’’

             ‘’Sarah nak balik!’’

              ‘’Abang hantar Sarah.’’

             ‘’Tak payah. Sarah boleh balik sendiri.’’

              ‘’Jangan degil Sarah!’’

*********************

                  Hubungan Sarah dan Zaki terus dingin. Masing-masing nak tunjuk ego. Bila Sarah tak melayan, Zaki juga malas nak memujuk lagi. Bagi Zaki, biar masa yang menentukan segalanya. Biar hati Sarah lembut dengan sendirinya.

              Sekarang ni, kedai gambar Zaki semakin luas. Zaki buat pula Cyber Cafe untuk pelajar-pelajar melayari Internet. Zaki sediakan perpustakaan mini untuk memudahkan orang ramai mencari info sambil bersantai di hujung minggu. Kedai Zaki di buka setiap hari, bermula pukul 9.00 pagi hingga pukul 12.00 tengah malam.

               Selain Faiz sebagai rakan kongsi, kedai Zaki mempunyai empat orang pekerja separuh masa yang silih berganti. Sarah juga merupakan salah seorang pekerja separuh masa di kedai Zaki. Sarah hanya bekerja bila dia tiada kuliah saja. Dia dan Zaki masih berlagak sebagai orang asing walaupun di depan Faiz yang tahu segalanya tentang hubungan mereka berdua.

                  ‘’Kak Sarah, minggu depan Prof Ain cakap, nak buat rombongan ke Cameron. Kak Sarah ikut tak?’’ rakan satu kolej Sarah yang datang untuk melayari Internet menyoal. Sarah yang turut mengambil kesempatan melayari Internet di sebelahnya menoleh sepintas lalu sebelum mengeleng.

                  ‘’Kenapa tak ikut?’’ Aneesa menyoal lagi.

                  ‘’Takut big bos kak Sarah tak kasi.’’ Selamba saja Sarah menjawab. Padahal, dia malas nak minta izin dari Zaki.

               ‘’Big bos? Siapa? Tokey CC ni ke?’’ Aneesa terus menyoal. Sarah angguk saja. Dalam masa yang sama tangannya laju memandu tetikus kiri dan kanan. Klik sana dan sini di laman sosial yang sedang dilayannya ketika ini.

            ‘’Garang sangat ke bos kak Sarah tu. Ni, kak Sarah main komputer ni, dia tak marah ke?’’ Aneesa masih tak puas hati. Sambil bertanya, Aneesa mengerling Zaki dan Faiz yang sedang berbual di hujung kedai. Entah apa yang sedang mereka bincangkan.

            ‘’Masa kerja kak Sarah dah habis sejam yang lalu. Saja kak Sarah malas nak balik lagi. Layanlah komputer dulu. Boring karang, kak Sarah baliklah.’’ Masih bersuara tenang. Mata Sarah terus fokus pada skrin monitor di depannya.

                 ‘’Tak apa ke?’’ Aneesa bertanya lagi. Sarah menoleh juga ke arahnya.

                ‘’Apa yang tak apa?’’ Sarah menyoal kembali.

                 ‘’Kak Sarah main komputer?’’

                 ‘’Hah? Kenapa pulak?’’

                  ‘’Big bos kak Sarah tak marah?’’

                   ‘’Kenapa pulak dia nak marah?’’ soal jawab antara Aneesa dan Sarah terus berlangsung.

               ‘’Yalah..kak Sarahkan hanya pekerja part time di sini.’’

                ‘’Habis tu, kenapa pulak?’’

               ‘’Ishh..kak Sarah ni, buat-buat tak faham pulak.’’

              ‘’Memanglah kak Sarah tak Faham. Kak Sarah bukannya buat salah pun. Kenapa pulak dia nak marah. Kak Sarah pun bayar macam orang lain jugak. Cuma, kak Sarah bayar melalui potongan gaji saja. Salah ke, sampai dia nak marah kak Sarah?’’ Sarah bertanya pula Aneesa. Dia hairan mendengar soalan Aneesa yang tak logik itu. Apa masalahnya, kalau pekerja separuh masa macam dia guna komputer?

         ‘’Tadikan kak Sarah cakap, takut bos kak Sarah tak kasi kak Sarah pergi rombongan ke Cameron? Sebab tu la Nisa tanya macam tu. Kak Sarah ni..’’

            ‘’Apa kena mengena pulak, pergi Cameron dengan guna komputer ni?’’ Sarah masih tidak faham dengan maksud soalan Aneesa. Soalan diajukan lagi.

              ‘’Yalah..cara kak Sarah cakap tu, macam bos kak Sarah tu garang sangat.’’ Aneesa bersuara tegas. Hatinya semakin mendidih bila mendengar soalannya dibalas dengan soalan juga oleh Sarah.

              ‘’Siapa yang cakap bos kak Sarah tu garang? Dia caring and loving apa!’’ Sarah berkata dengan nada yang tegas. Bibirnya terukir sedikit senyuman, namun matanya masih tertumpu sepenuhnya di skrin monitor. Sarah terus scroll laman utama facebook yang sedang dilayannya.

                ‘’Siapa caring? Siapa yang loving? Bos mana? Saya atau Faiz?’’ tak semena-mena Zaki mencelah perbualan mereka. Tangannya memegang kerusi Sarah dan merenung tepat ke arah Sarah. Kaku seketika jari jemari Sarah yang rancak memandu tetikus sebentar tadi. Terus terhenti semua perbuatannya. Perlahan-lahan Sarah mendongakkan kepala. Zaki menjungkit sedikit keningnya.

               ‘’Tentulah Encik Faiz, takkan Encik Zaki pulak?’’ perlahan saja Sarah menjawab. Spontan dan pantas Zaki memusing kerusi Sarah mengadap ke arahnya. Wajahnya merona seketika. Geram sangat mendengar jawapan Sarah. Tiba-tiba hatinya bergelodak di dalam.

             ‘’Siapa?’’ soal Zaki dalam nada sedikit garang. Tajam renungannya memandang wajah Sarah yang menentang pandangannya ketika ini.

              ‘’Encik Faiz!’’ lancar Sarah menjawab.

             ‘’Sarah!!’’ Zaki menguatkan sedikit suaranya. Sarah angkat bahu dan memusing kembali kerusinya untuk mengadap skrin komputer. Zaki masih tidak mahu mengalah. Kerusi Sarah dipusing mengadapnya kembali. Aneesa di sebelah, nampak agak bingung dengan situasi di depan matanya.

            ‘’Kau ni Zaki..yang kau buli Sarah tu, kenapa? Kalau dia berhenti kerja nanti, kau jugak..’’

               ‘’Kau diam! Ini antara aku dan Sarah.’’ Faiz belum habis mengungkapkan ayat-ayatnya Zaki sudah memberi arahan agar Faiz diam. Faiz angkat kedua belah tangannya dan berlalu sambil bibirnya tersenyum. Masalah rumah tangga, tak perlu masuk campur. Kata Faiz di dalam hati.

              ‘’Bos, hujung minggu ni Sarah nak ambil cuti. Nak ikut rombongan kolej ke Cameron. Boleh?’’ selamba saja Sarah bertanya di saat hati Zaki masih mengelegak mendengar jawapannya tadi.

          ‘’Boleh. Dengan syarat abang ikut sekali.’’ Zaki sengaja membahasakan dirinya abang. Sarah mengebam bibir. Kecewa mendengar jawapan Zaki.

            ‘’Baik tak payah. Dah macam belangkas pulak. Asyik nak melekat saja, Apa hal?’’ Sarah membalas geram. Sekali lagi dia memusingkan kerusinya dan mengadap skrin monitor kembali. Aneesa menguit Sarah dan memberi isyarat mata. Sarah mengangkat bahu. Buat-buat tak tahu apa-apa.

             ‘’Hei cik puan..Sarah sedar tak, Sarah tu isteri abang. Kalau tak melekat dengan abang. Nak melekat dengan siapa lagi?’’ Zaki mendekatkan bibirnya ke telinga Sarah dan berbisik sebelum meninggalkan Sarah dan Aneesa yang masih kelihatan bingung.

          ‘’Kak Sarah..kak Sarah dengan bos kak Sarah tu, ada apa-apa ke?’’ Aneesa bertanya sebaik Zaki pergi. Sarah tak segera menjawab. Dia terus membawa tetikus kiri dan kanan. Sesekali bibirnya tersenyum membaca setiap pos rakan-rakan facebooknya. Ada yang kelakar. Ada juga pos mengena. Ada sketsa lawak dan sebagainya.

            ‘’Kak Sarah!’’

               ‘’Apa?’’

              ‘’Jawablah!’’

             ‘’Nak jawab apa?’’

              ‘’Kak Sarah dengan bos kak Sarah tu, dia macam cemburu saja tadi. Muka dia pun berubah, bila kak Sarah cakap macam tu tadi.’’

            ‘’Biarlah dia. Yang Nisa tu, kenapa pulak? Banyak pula menyoal. Tu, masa Nisa dah nak tamat. Pergilah balik!’’

             ‘’Menghalau nampak?’’

            ‘’Tahu tak apa!’’ ayat glamour itu juga yang Sarah guna.

              ‘’Yalah, Nisa nak baliklah ni. Nanti kak Sarah kirim salam dengan big bos kak Sarah tu ya. Yang caring and loving tu. Yang garang, Nisa tak nak. Tak best!’’ Sarah mendongak. Aku lepuk juga dia ni kang! Sarah berdialog di dalam hati. Padahal, Aneesa maksudkan Faiz kerana jawapan Sarah pada Zaki tadi adalah Faiz.

            ‘’Kalau ada bran, pergilah bagi salam sendiri. Malas pula kak Sarah nak jadi orang tengah.’’ Sengaja Sarah menguji. Di dalam hati bergetar juga, takut Aneesa buat seperti apa yang disuruhnya.

            ‘’Betul ni? Jangan menyesal sudah!’’ Aneesa berkata sambil bangun. Langkahnya di atur laju ke arah Zaki dan Faiz. Hati Sarah mula tak tentu arah. Tidak! Jangan! Hatinya sudah menjerit. Zaki tu aku yang punya! Hati Sarah menjerit lagi, namun apakan daya, ianya tak mampu terlafaz di bibir dan Aneesa sudah tiba di meja Zaki dan mula berbual dengan kedua-dua bos empunya kedai ini. Sarah hanya mampu menahan rasa. Tersalah mencabar, inilah akibatnya.
**************

Dua tahun kemudian...

                     ‘’Sarah, Masya Allah..berehatlah Sarah, jangan degil sangat, boleh tak? Sarah tu sedang sarat, sakit nanti..siapa yang susah? Abang jugak!’’ Zaki menasihati Sarah yang masih berdegil untuk mengemas rumah sejak pagi. Sejak mengandung ni, Sarah tak boleh langsung tengok rumah bersepah, tak macam ketika dia mengandungkan anak sulung dulu. Berbeza sangat dengan Sarah yang sebelum ni. Ketika mengandung anak sulung dulu, Sarah banyak tidur dan malas bergerak. Kandungannya yang kedua ni pula, Sarah sangat aktiv. Cerdas bukan main lagi.

                ‘’Alah..abang ni, jangan kecoh sangat..boleh tak? Kalau susah untuk isteri abang sendiri, takkan tak boleh. Lainlah, kalau untuk isteri orang lain. Kalau untuk isteri orang lain, Sarah yang takkan izinkan. Jangan harap, bang!’’ mendengar kata-kata Sarah, Zaki sudah bercekak pinggang sambil mengebam bibirnya sendiri. Nak dicempung Sarah, dia pun tak berdaya. Dua kali ganda berat Sarah sekarang ni. Dia tak pernah alah langsung sejak mengandung ni. Semuanya dia makan semacam saja.

                ‘’Melawan! Nanti, anak dalam perut tu pun kuat melawan macam ibu dia jugak!’’ Zaki berkata lagi sambil cuba merampas vaccum di tangan Sarah. Dia cuba mengambil alih tugas Sarah mengemas rumah. Tersenyum Sarah melihat gelagat Zaki, namun...jawab tetap menjawab.

               ‘’Kuat melawan pun isteri siapa? Isteri abang jugak. Anak dalam perut Sarah ni pun, anak abang jugakkan. Tabahlah abang, dapat isteri dan anak yang kuat melawan macam kami ni.’’ Selamba saja Sarah membalas dan merampas kembali vaccum di tangan Zaki.

              ‘’Dah, dahh..pergi tidur! Sarah ni..kesiankan sama dengan anak yang kat dalam tu. Tak letih ke, Sarah buat semua kerja rumah ni, abangkan ada. Abang dah ambil cuti pun, untuk tolong Sarah buat semua kerja rumah. Cuba belajar bersyukur, sebab Sarah dapat suami yang bertanggungjawab macam abang ni. Bukan senang tau, Sarah nak dapat suami macam abang ni!’’ dalam memarahi Sarah, Zaki tetap nak ‘masuk lift, dan tekan sendiri’.

            ‘’Yalah..Sarah tahu, Sarah bertuah sebab dapat suami yang penyabar dan bertanggungjawab macam abang ni. Lagi pun, abang..’’ Sarah tak dapat menghabiskan kata-katanya. Tergendala di situ. Mindanya bergerak pantas untuk melupakan semua sejarah hitam itu. Dia bersyukur, sebab bertemu dengan Zakiuddin suaminya ini.

                 ‘’Hmm..kenapa pula tu? Cakap tergantung lagi..Sarah nak cakap apa sebenarnya ni?’’ dari wajah marah, riak wajah Zaki terus berubah mendengar kata-kata Sarah. Dia seakan mengerti perasaan Sarah ketika ini. Kadang-kadang Sarah suka bermenung bila ingatannya yang sudah pulih beberapa bulan lepas itu mengimbas kembali kejadian sebelum dia mengalami kemalangan.

                  ‘’Tak ada apalah. Nahlah..abang vaccum pula. Tadi, nak buat sangat kan. Sarah letihlah, nak berehat sekejap.’’ Sarah melepaskan vaccum dan ingin berlalu. Sepantas kilat, Zaki menyambar tangan Sarah dan menarik Sarah ke dalam dakapannya.

                 ‘’Perkara tu dah berlalu Sarah. Just forget it! Abang ikhlas terima Sarah, biar siapa pun diri Sarah. Kita semua hamba Allah Sarah, biar bagaimana pun kelahiran kita. Allah tak pernah memandang hina kita sebagai hambaNYA, kenapa Sarah harus rasa rendah diri?’’ kata-kata semangat terus dituturkan. Sarah sudah tersedu di bahu Zaki. Dipeluknya tubuh Zaki erat dan melepaskan tangis sepuas hati. Semua imbasan kejadian menjelma lagi. Dada Sarah rasa sebak tak terhingga. Setiap kali dia ingat perkara tu, dia melakukan perbagai kerja untuk melupakan semuanya. Dia lebih rela, kalau ingatannya tak pulih, kalau dia tahu, dia akan terluka begini teruk.

              ‘’Sarah nak tidur..’’ Sarah melepaskan pelukan dan mengesat air matanya. Niatnya nak tidur dan melupakan semuanya, tapi..hasratnya tergendala lagi. Zaki memegang tangannya dan merenungnya dengan rasa simpati.

               ‘’Pergi bersiap! Kita balik rumah mama, ambil Shafi..’’ keputusan sudah dibuat. Mungkin, bila ada Shafi, Sarah takkan berfikir banyak lagi. Mungkin kemurungan Sarah akan berakhir. Ya! Sejak ingatan Sarah pulih sepenuhnya, Sarah banyak termenung dan adakalanya dia khayal sendiri, hingga Zaki membuat keputusan untuk menghantar anak sulung mereka, Shafiuddin ke rumah ibu mertuanya. Kesiankan Sarah yang sedang mengandung anak ke dua mereka, ditambah pula dengan beban perasaan yang sedang ditanggungnya.

                 ‘’Shafi?’’ bibir Sarah kembali tersenyum.

               ‘’Kita ambil Shafi tinggal dengan kita semula ya? Abangkan, dah mula cuti.’’ Sarah yang bersedih tadi, mula menunjukkan minat.

                ‘’Tak! Kita tinggal di rumah mama, hingga Sarah bersalin. Abang tak nak tengok Sarah macam ni lagi. Sekejap okey, sekejap menangis. Jangan macam ni Sarah, lupakan semua tu! Please..demi abang, dan anak-anak kita.’’   Zaki masih cuba memujuk Sarah dan membelai pipi Sarah. Diusapnya pipi Sarah sambil mengesat air mata Sarah yang masih mengalir di pipi. Sarah berjeda lama, dan akhirnya sekali lagi Sarah melepaskan tangisnya. Zaki mengeluh perlahan. Jiwanya turut walang, setiap kali melihat Sarah begini.

              ‘’Abang sayang isteri dan anak-anak abang. Derita Sarah, derita abang. Kalau Sarah asyik sedih macam ni, abang dah tak tahu macam mana nak buat lagi. Please..don’t pretend you are strong in front of me. But..when you behind me, you cry and cry again. Hari ini abang bagi keizinan Sarah untuk melepaskan semuanya. Sebenarnya..apa yang ada dalam fikiran Sarah? Adakah Sarah..masih tak dapat lupakan cinta pertama Sarah..ataupun..’’ Zaki tak jadi menghabiskan ayat-ayatnya. Dia melepaskan pelukan Sarah dan merenung wajah Sarah.

                ‘’Sarah..please be honest to me dear..’’

                 ‘’Sarah tak tahu! Hati Sarah sakit, setiap kali semua ayat-ayat itu terngiang-ngiang di telinga Sarah. Sakit sangat bang. Tolong, jangan marah Sarah..dan jangan buang Sarah. Bukan kehendak Sarah semua ni. Sarah..Sarah..’’ Sarah menangis lagi. Kali ini dia sudah jatuh terjelepuk di atas permaidani rumah mereka.

                ‘’Kenapa Sarah? Ayat-ayat apa? Kata-kata siapa?’’ Zaki ingin mencungkil rahsia Sarah. Dia masih belum tahu kejadian sebenar, kenapa Sarah terus bersedih selepas ingatannya kembali pulih. Dia ingin tahu segalanya.

              ‘’Tolong jangan paksa Sarah bang. Sarah belum bersedia untuk bercerita..’’ Sarah menangis lagi dan Zaki sekali lagi merangkul Sarah. Dia membiarkan Sarah terus menangis di bahunya. Kali ini, tiada lagi kedengaran suara Zaki memujuk Sarah. Biarkan Sarah, melepaskan semua perasaannya. Yang penting, Sarah lega selepas ini. Itu harapan Zaki.

**************
       
                ‘’Sarah tu anak luar nikah! Siapa yang sanggup nak ambil Sarah sebagai isteri? Abang tak sanggup!’’ Zaidi mengungkapkan kata-kata itu tanpa belas kasihan bila Sarah merayunya untuk meneruskan perhubungan mereka.

               ‘’Semua tu bukan salah Sarah! Semua tu salah, salah lelaki tu..yang merogol ibu kandung Sarah. Sarah tak salah abang Ed..tak! Sarah tak salah..’’ kepala Sarah tergeleng beberapa kali. Semua kejadian menjadikan jiwanya sangat terdera. Dia disahkan anak angkat dan anak luar nikah. Kekasih yang paling dia sayang pula menolak dirinya dan dia terpaksa berkahwin dengan lelaki yang dia langsung tak cinta. Semuanya datang bertimpa-timpa. Sarah tak kuat!

                   ‘’Sarah..mama dan papa sayangkan Sarah. Kami dah tahu siapa Sarah sejak awal lagi. Ibu Sarah tu kawan baik mama sejak sekolah rendah lagi. Ibu Sarah tak salah sayang. Dia pun mangsa keadaan. Selepas dia mengandungkan Sarah, dia dihalau keluar rumah sehelai sepinggang. Dia tak ada tempat nak mengadu. Mama ambil Sarah sebab kami tak ada anak, dan mama dan papa memang sayangkan Sarah, macam anak kandung kami sendiri.’’ Puan Zainab memujuk Sarah, selepas Sarah menangis berhari-hari dan berkurung di dalam bilik. Simpatinya terhadap Sarah, tak dapat mengikis sedikit pun bebanan yang Sarah tanggung ketika itu. Semuanya menjadi bersimpang siur. Kusut dan sukar dirungkai. Hanya Sarah yang merasainya. 

                  ‘’Sarah..Sarah, bangun Sarah. Kenapa menangis ni? Sarah mimpi apa, sampai menangis dalam tidur ni?’’ Zaki mengoncang bahu Sarah lembut. Dia terkejut jaga bila mendengar Sarah meracau dalam tidur. Bila dia terjaga, Sarah sudah tersedu sedan sedangkan matanya masih terpejam.

                  ‘’Sarah..’’ Zaki masih mengejutkan Sarah. Diusapnya wajah Sarah dengan penuh kasih dan sayang. Dahi Sarah dikucup seketika.

               ‘’Sarah..’’ nama Sarah dipanggil lembut, Zaki terus merenung wajah Sarah di sebelahnya. Rambut Sarah pula dibelai. Perlahan-lahan Sarah membuka mata. Perkara pertama yang Sarah buat, mengapai tangan Zaki dan mengucupnya. Tergaman Zaki beberapa saat.

               ‘’Sarah mimpi apa?’’ perlahan Zaki bertanya dalam nada yang penuh romantik. Pipi Sarah diusap lagi dan sekali lagi dahi Sarah menerima hadiah kucupan darinya.

              ‘’Abang..Sarah minta maaf.’’ Sarah baru bersuara. Hatinya dilanda sebu melihat tingkah Zaki. Jiwanya dilanda perasaan bersalah yang teramat sangat.

               ‘’Maaf? Kenapa? Apa yang Sarah dah buat dalam mimpi tu, sampai kena minta maaf ni?’’ Zaki bertanya dalam nada mengusik. Ketawanya tercetus perlahan.

              ‘’Sebenarnya...sebenarnya..’’ teragak-agak Sarah untuk mengungkap kata.

               ‘’Kenapa Sarah?’’ Zaki bertanya lagi.

                ‘’Sarah banyak dosa bang..’’ sambil berkata, Sarah mengesat air matanya yang menuruni pipi.

           ‘’Hari Sarah kemalangan tu, Sarah memang sengaja. Sarah niat nak bunuh diri, sebab Sarah tak nak nikah dengan abang. Sarah tak nak dengan abang, Sarah nak dengan abang Ady juga. Tapi..abang Ady hina Sarah. Dia kata, dia tak nak kahwin dengan Sarah sebab Sarah anak luar nikah. Sarah tak layak untuk dia. Dia tak sanggup nak memperisterikan Sarah.’’ Tangisan Sarah bergema lagi. Kali ini esakannya semakin menjadi-jadi. Zaki mengeluh lemah. Ya Allah, betapa banyaknya ujian yang Kau turunkan untuk Sarah isteriku? Zaki merintih penuh simpati di dalam hati. Hatinya hiba, melihat Sarah menangis begitu, namun dia tak berdaya untuk mengubati luka Sarah, kerana dia juga turut terluka mendengar pengakuan Sarah.

               ‘’Sarah banyak dosa dengan abang, tapi...kenapa abang layan Sarah baik sangat?’’ Sarah terus menerus bersuara dalam esak tangisnya. Suaranya tengelam timbul dipendengaran Zaki. Lantas Zaki mengangkat kepala Sarah dan menghulurkan lengannya dan meletakkan kepala Sarah di dalam pelukannya. Belakang Sarah diusap perlahan. Air mata Zaki juga turut bergenang.

               ‘’Abang sayang Sarah kerana Allah. Sarah anugerah Allah yang terindah untuk abang. Tugas abang sebagai suami harus melayan isteri sebaik mungkin. Sarah adalah tanggungjawab abang dan abang akan sayang Sarah hingga hembusan nafas abang yang terakhir. Sarah dan anak-anaklah segalanya untuk abang.’’ Penuh tulus Zaki mengungkapkan kata-katanya. Semakin hiba Sarah mendengarnya dan selepas itu sedu sedan Sarah berterusan. Ya Allah..terima kasih kerana pemberianMu yang terindah ini. Aku berjanji, akan menjadi isteri solehah untuknya kelak, selagi nyawaku dikandung badan. Bimbinglah aku, Ya Allah untuk bersama denganya, menuju ke JannahMU.

*********Tamat Sudah*********

13 April 2017.. 6.36pm..

Nota : Alhamdulillah..tamat juga akhirnya cerpen ini. Sekian lama terbengkalai akibat masalah jiwa yang membelenggu diri, Allah izinkan juga aku menyiapkan cerpen ini. Terima kasih Ya Allah..tanpa izinMu, aku tak mampu menaip sepatah kata pun. Harapanku, cerita ini dapat memberi sedikit teladan untuk pembaca di luar sana. Maafkan aku, andai ada kesalahan yang tak menepati citarasa pembaca. Tersalah grammor atau tatabahasa, tegurlah kalau sudi. Aku bukan penulis profesional pun. Pelajaran pun tak setinggi mana..