Termangu aku di jendela waktu,
menghitung detik demi detik usia yang telah berlalu. Pahit getir kehidupan yang
di tempuhi seakan takkan pernah habis. Aku rasa amat cuak untuk meneruskan
kehidupan ini. Aku benar- benar letih untuk melangkahi onak dan duri yang
berpanjangan ini.
Kesabaran dan ketabahanku sudah
punah di telan masa, di bawa arus gelombang kehidupan yang begitu hebat. Apa
dayaku, tak mampu untuk melawan segala badai itu. Aku hanya mampu menurut dan
menyerah seadanya. Bukan tak pernah aku mencuba menjadi sekuat gelombang, tapi
aku sering tewas.
Kehidupanku sering kali di
uji. Sejak kecil lagi. Aku benar-benar tidak mengerti. Aku hanya inginkan
kekuatan dan ketabahan yang abadi andai aku perlu terus diuji. Aku takut
benar-benar tewas. Kadang-kadang aku merayu kuatkanlah hati ini. Aku tak mampu
terus bertahan lagi. Di mana lagi harus aku cari kekuatan itu? Aku sekadar
insan biasa yang keimananku hanya senipis kulit bawang. Jiwaku benar-benar
kusut saat dan ketika ini. Dugaan ini semua begitu hebat buatku.
ALLAH berikanlah aku
kekuatan. Ujianmu ini tak mampu lagi ku bertahan. Aku hanya inginkan secebis
kebahagiaan.
1.11.2011,..
Tanggal keramat buatku. Ujian
yang paling getir dalam kehidupanku. Sudah sebulan aku hilang selera makan. Tak
menentu kesihatanku. Tapi hari ini ALLAH menguji aku lagi. Aku tumpah darah
dengan banyaknya. Mencurah-curah darah yang keluar dari rahimku. Aku tahu aku
bakal keguguran lagi. Tika ini aku hanya pasrah pada yang ESA.
Pukul 3.00 pagi, aku sudah
tak dapat melelapkan mataku. Kesakitan yang aku rasa di bawah ari-ariku membuat
fikiranku rasa tidak tenang, namun jawapannya terungkai bila setiap kali aku
batuk, rahimku memuntahkan darah. YA ALLAH, ujian apakah lagi yang bakal KAU
berikan padaku? Aku merintih di dalam hati. Jiwaku amat resah dan terseksa. Pilunya
hati dan perasaanku, kerana aku tahu bayi yang ku idamkan selama ini, aku akan
bakal kehilangannya lagi.
Tiga helai kain batikku
sudah berganti. Habis lencun dengan darah yang keluar dengan banyaknya. Aku
tiba-tiba diserang kepenatan yang teramat. Disaat ini kesakitan dan ketakutanku
tak mampu ku ungkap dengan kata-kata. Hanya kalimah ALLAH yang mampu ku ucap
disaat ini. Terasa aku bagaikan kehilangan nyawaku. Terpana aku dengan keadaan
ini.
Aku hanya mampu menangis untuk
memberitahu bahawa aku amat letih dan takut sekali menghadapi saat-saat getir
ini. Aku dibawa dengan ambulan ke hospital. Ini bukan kali pertama aku berpeluang
untuk naik ambulan ni. Dah banyak kali ku rasa. Berbeza kali ini, aku terpaksa
dimasukkan dengan oksigen kerana aku sudah terlalu banyak kehilangan darah dan
oksigen dalam darah pun sudah berkurangan.
Sampai di hospital aku di
kelilinggi dengan para jururawat dan Doktor. Aku diperiksa, badanku penuh
berselirat dengan wayar-wayar. Aku sudah tiada daya untuk berkata-kata. Aku
hanya sekadar pasrah dan menyerah apa yang bakal dilakukan padaku. Walau aku ditelanjangkan
sekali pun, aku sudah tidak mampu untuk menghalang. Saat ini, perasaan maluku
terpaksa ku tolak ke tepi. Dari tangan hingga kaki badanku dicucuk dengan
jarum, dimasukkan air dan darah.
Sampai satu ketika
keletihan dan kepenatan itu menyerang lagi. Aku jadi kalut dan hilang punca.
Nafasku tercungap-cungap. Doktor dan jururawat menjadi gelabah. Kelam kabut
juga keadaan ketika itu bila aku tiba-tiba jadi senyap dan membisu. Aku
dikejutkan berulang kali. Kata-kata semangat diucapkan untukku agar berlawan
dengan keadaan tenatku itu.
“Kak, bangun kak. Buka mata
kak. Lawan kak, lawan, lawan..”
“Kak, jangan tidur lagi.
Bangun, bangun.”
Aku terus dikejutkan
agar tidak pengsan terus. Biar pun mataku
sudah tidak mampu untuk diangkat, tapi aku masih sedarkan diri. Selepas satu
beg darah dimasukkan dalam badanku, aku kembali stabil. Tapi, aku kesejukan.
Aku mengigil. Kain selimut diselimutkan ke tubuhku, namun kesejukan yang ku
tanggung tak juga hilang.
Aku bertahan, dan akhirnya
sekali lagi aku di bawa menaiki ambulan untuk dirawat di Hospital Sultanah
Bahiyah di Alor Star. Seorang doktor dan 2 orang jururawat mengiringiku di
dalam ambulan. Suamiku juga turut serta menemaniku. Disaat aku melihat suami,
aku rasa sayu dan dan tak sanggup untuk menyusahkan dirinya lagi. Tapi, aku
hanya manusia biasa yang tak mampu melawan kehendak takdir. Andai ini ujian
untuk kami harungi, aku terimanya dengan redha dan aku juga berharap suami
dapat menerima diriku yang kekurangan ini seadanya.
Hidup tak semudah yang
disangkakan. Banyak yang harus aku hadapi dan harungi. Selagi aku masih
bernafas, ujian demi ujian harus aku tempuh dengan redha. Bukan mudah
sebenarnya untuk terima hakikat, bahawa aku bukan seperti orang lain. Tapi, aku
pasti setiap manusia ada ujian yang berbeza yang terpakasa dilalui. Aku hanya
bahagia bila ALLAH telah anugerahkan aku dengan seorang suami yang penyayang. Aku
amat bertuah memiliki dirinya yang sanggup menerima aku seadanya. Walaupun aku
banyak kekurangan, dia masih tetap setia di sisiku.
Masa yang berlalu begitu
pantas sekali. Tanpa sedar kami sudah sampai di Hospital Alor Star. Aku
dikelilingi sekali lagi. Doktor yang mengiringiku terpaksa menerangkan tentang
situasi diriku pada doktor yang bertugas. Kali ini badan aku dicucuk merata
tempat untuk mencari urat yang boleh diambil darahku.Dua beg darah telah
dimasukkan ke tubuhku, tapi dalam masa yang sama darahku juga diambil untuk diuji.
Tujuh botol darahku telah disuntik keluar. Badanku usah dikata lagi, habis
lebam dan sakit-sakit dikerjakan oleh doktor-doktor yang bertugas.
Badanku disuntik dengan jarum.
Sakitnya bila darah yang disuntik tidak keluar. Aku sudah mula rasa
sengal-sengal urat bila doktor menyuntik di tempat yang sama walau darah tidak
berjaya diambil. Dan akhirnya, setelah 7 botol darah berjaya diambil, barulah
aku dilepaskan.
Dari bilik kecemasan pakaianku
disalin untuk dibawa terus ke bilik pembedahan. Bajuku digunting atas
permintaanku sendiri. Alahai, sayangnya baju baruku dikerjakan. Tapi,
memandangkan badanku dipenuhi wayar, jadi memang sukar untuk menanggalkannya. Biarlah
aku kerugian sikit, yang penting segalanya dapat diuruskan dengan mudah. Masa
tu baru aku terfikir alangkah eloknya kalau aku pakai baju buruk saja.
Aduhaii…cobaannn.
Di bilik pembedahan, aku lebih
diutamakan. Mungkin kes aku lebih serius, jadi aku terus disorong untuk
dijalankan proses D&C. Sebelum aku dibius, aku diminta untuk menandatangani
borang keizinan. Selesai semua urusan aku diangkat di atas katil bedah. Badanku
telah diletakkan dengan berbagai wayar. Sempat lagi aku mendengar arahan dari
doktor bius.
“Puan, saya nak bius ni. Sebelum
tidur Puan mengucap di dalam hati.”
Tanpa berfikir panjang,
aku pun mula melafazkan kalimah shahadah.
Ashaduanlailahaillallah waashaduannamuhammadarasullullullah.
Ya Allah, kau permudahkanlah segala urusan, dan selamatkanlah diriku ini. Sesungguhnya,
aku masih belum bersedia untuk pergi. Masih banyak lagi yang aku ketinggalan,
dan banyak lagi urusanku denganmu yang belum aku selesaikan. Hutang amalanku
terhadapMU jua masih banyak yang tertangguh. KAU ampunkanlah dosa-dosaku Ya
Allah, dan kau panjangkanlah usiaku. Aamiin.
Terlafaz saja doa-doa kudusku itu di dalam hati, aku terus merenung
lampu pembedahan. Perlahan-lahan aku rasa alam ini hilang dari penglihatanku
dan aku tertidur dengan nyenyaknya. Terjaga saja dari tidurku yang panjang, ku
rasa tekakku amat perit sekali.
“Puan, kita sedut kahak ya.”
Kahakku yang ku rasa memenuhi
setiap ruang mulutku disedut keluar. Aku merasa tekakku begitu kering dan aku
batuk berpanjangan. Tak tahan rasanya menanggung segala penderitaan ini. Hampir
sejam berlalu aku masih batuk-batuk.
Bila keadaanku sudah
kembali stabil, aku mula disorong keluar dari bilik pembedahan. Aku dibawa ke
wad KENANGA 2D. Aku diarahkan agar tidur dalam keadaan melentang dan tanpa
berbantal selama enam jam. Seksaan yang amat sangat untukku lalui. Selama ini
aku memang tak suka tidur melentang ni, pinggangku akan sakit yang teramat. Itulah
yang aku rasa selama enam jam. Seksanya hanya Allah yang tahu.
Pukul sepuluh malam nurse
yang bertugas mengarahkan aku bangun dan katilku telah ditinggikan, tapi aku dilarang
berdiri atas sebab-sebab kesihatanku. Bimbang aku akan jatuh pitam kerana
kekurangan darah. Aku disuruh minum air kosong untuk sementara. Apabila aku tak
muntah, aku disuruh pula untuk makan nasi. Aku jamah juga sedikit nasi sebagai
pengalas perut yang seharian kosong. Apa yang membuatkan aku semakin terseksa,
bila setiap kali batuk perutku sakit yang teramat sangat. Terpaksa aku menahan
segala kesakitan itu.
Ya ALLAH, dugaanMU ini amat
berat untukku tanggung. Rasanaya sudah tiada daya lagi untukku tanggung segalanya
ini. Tapi, aku juga tiada daya untuk menolak segala cobaan yang kau turunkan
untukku.
Hanya rintihan di dalam
hati yang mampu ku ungkapkan. Hidup ini tidak seindah yang ku duga. Disaat aku
bahagia, aku di uji. Aku terlalu letih dengan setiap ujian ini.
Malam ini aku tertidur
sambil duduk. Aku bukan sekadar letih fizikal, tapi jiwaku juga turut letih
untuk menanggung bebanan perasaan ini. Aku cuba bertahan sedaya mungkin. Pukul
satu pagi barulah nurse datang padaku dan menurunkan sedikit kepala katil
supaya aku dapat tidur dengan selesa. Tapi, aku sekejap-sekejap terjaga kerana
orang di katil sebelah sudah mula menahan kesakitan untuk bersalin.
Kadang-kadang hatiku juga terguris. Kenapa orang lain mampu untuk menimang
cahayamata mereka? Adakah aku ini memang tak layak untuk memilikinya?
Hanya satu persoalan yang
selalu bersarang di benak mindaku. Kebanyakan orang dalam wad ini sedang
menunggu saat-saat melahirkan anak mereka, sedangkan aku sudah kehilangannya
*****************
Pagi yang bening, aku masih
terlantar dan tak mampu lagi bangun dari katil. Masih ada tiub kencing yang
dipasang dan aku memang tak boleh untuk bangun lagi. Rasa tak selesa sangat
dengan keadaanku ini. Aku cuba tabahkan hati, kerana aku pasti pagi ni segalanya
yang menyeksakan aku akan berakhir dan aku akan dibenarkan pulang.
Aku didatangi dua orang
jururawat praktikal. Kali pertama dalam hidupku, badanku dilap orang. Aku ni
dah masuk dua hari tak mandi. Memang tak selesa sangat bila dilayan begini. Aku
rasa, aku ni langsung tak berdaya. Selepas badanku dilap, aku diarahkan bangun
dan duduk di kerusi. Tak selesa langsung, bila tiub kencing masih lagi
terpasang. Aku cuba bergerak ke arah singki di tepi katilku untuk berkumur. Mulut
aku ni dah rasa tak selesa sangat. Tapi, baru saja bangun, aku jalan terhuyung
hayang. Aku dimarahi oleh nurse yang bertugas.
Aku buat selamba saja. Selepas
aku dibenarkan tidur semula barulah jarum yang berlambak tercucuk di lengan dan
kakiku dibuang. Cuma satu saja yang ditinggalkan untuk disuntik ubat antibiotik.
Akhirnya tiup kencing juga dibuang. Tapi, aduhh..sakitnya. Tahan sajalah. Ini
bukannya ada apa-apa pun. Badan aku ni dah mangli dengan semua kesakitan. Aku
dah tak hairan dengan semuanya. Aku dah rasa beberapa kali bakal kehilangan
nyawa. Memang terseksa. Dengan dugaan yang sekecil ini apalah sangat. Aku mampu
untuk menghadapi segalanya ini.
*********************
Aku dipindahkan pula ke WAD
KENANGA 2B. Di wad ni aku bebas berbuat apa saja. Aku sudah mampu berjalan
sendiri. Aku kuatkan diri mudahan aku dibenarkan pulang hari ini.Tapi, ternyata
doktor masih tidak berpuas hati dengan keadaan aku. Aku masih diperiksa. Darah
diambil dan akhirnya aku dimasukkan lagi dengan satu beg darah.
Malam ni aku tidur dengan nyenyak, tapi setiap kali aku tertidur aku
dikejutkan. Bermakna, senyenyak mana pun aku tidur, aku masih di bawah
pengawasan. Bukannya apa, selagi masih di wad, tekanan darahku diambil.
Antibiotik disuntik setiap 12 jam sekali. Malam ini aku dimasukkan air dan
darah berselang seli. Habis, barulah aku dapat berehat dengan tenang.
Awal pagi lagi doktor sudah
mendatangiku dan memberitahu aku mungkin akan dibenarkan pulang hari ini.
Gembiranya rasa hati, tapi sampailah ke petang barulah segala urusan keluar wad
selesai.
**********************
Selepas seminggu keluar wad, aku dikehendaki
untuk pergi sekali lagi ke Hospital
Sultanah Bahiyah untuk diambil darah. Aku diarahkan berpuasa malamnya. Aku
turuti segala arahan. Tepat pukul sembilan pagi, kami sampai di Hospital. Pukul
sepuluh, urusan selesai. Leganya, kerana tak perlu tunggu seharian. Tapi, aku
diarahkan untuk pergi sekali lagi dua bulan lagi.
Balik dari hospital, aku dan
suami singgah di Bandar Alor Setar. Ronda-ronda sambil berdating. Bahagianya
bila dapat peluang jalan berdua dan berpegangan tangan. Memang, dalam seminggu
ni emosi aku tidak stabil dan aku sentiasa inginkan perhatian dari suami. Aku
sentiasa ingin bermanja dan mendampinginya setiap masa. Aku rasa bahagia bila
berdua, tapi hatiku mudah benar terguris. Entahlah, kenapa jiwa aku begitu amat
sensitif sekali.
**************
Mac 2016…
Dugaan itu ada di mana-mana
saja. Selagi kita hidup di atas bumi Allah ini, dugaan hidup ini takkan pernah
habis. Seingat aku keguguran aku di tahun 2011 adalah keguguran kali yang ke-9.
Selepas itu aku gugur lagi. Kali ke-10 aku keguguran pada awal tahun 2012 dan
kali terakhirnya pada hujung tahun 2012. Tiga kali berturut-turut membuatkan doktor
mengambil keputusan supaya D&C tak perlu dibuat untuk keguguran kali yang
ke-11. Doktor kata, rahim aku mungkin akan koyak atau dinding rahim akan
melekat di antara satu sama lain kesan membuat D&C yang kerap. Aku pasrah
saja dan menurut apa saja yang akan dilakukan untukku.
Bila pulang ke rumah selepas
keguguran kali ke-11, aku menderita sakit di dalam perut. Pada awalnya, aku
menyangka, aku sakit batu meryam. Almaklumlah, kerap sangat aku keguguran, tapi
rupanya bukan itu sebabnya. Selepas lima hari barulah janin yang tak menjadi
itu keluar. Ya Allah, hanya KAU yang tahu, betapa sedihnya aku melihat dia yang
keluar dari rahimku dalam keadaan itu. Begitu menyayat hati dan aku rasa
terluka yang amat sangat. Walaupun begitu, aku harus redha, kerana semuanya ini
adalah kehendakNYA.
Hari ini setelah tahun semakin
berlalu dan semua kenangan itu masih segar dalam ingatanku. Aku bersyukur
kerana aku masih mampu berdiri dan masih bernafas di atas bumi Allah ini. Aku
diberi peluang untuk berkongsi apa yang telah aku lalui dengan semua. Bukan
untuk bercerita tentang nasib diri. Aku sekadar ingin berkongsi cerita, bahawa
Allah bukan ingin mendera hambaNYA.
Ada hikmahnya atas semua dugaan.
Aku menjadi semakin matang dan tabah dalam mengharungi onak dan duri yang
merintangi perjalanan hidupku.Aku lebih tenang dalam menghadapi apa saja
situasi. Jangan mengeluh ketika diri diuji. Percayalah, Allah sedang
menjanjikan sesuatu yang lebih baik untuk kita. Jangan BERPUTUS ASA!. Jangan
sesekali merungut. Teruskan bertahan dengan setiap ujian. Kita mungkin tak
nampak hikmahnya sewaktu diuji, tapi andai kita bersabar dan terus bertahan,
Subhanallah, manisnya kehidupan di sebalik kepahitan.
Ahad, 4 Disember 2016..
Aku baca kembali catatan ini. Apa yang aku fikir? Ya Allah, semua ujian
ini semakin mematangkan fikiranku. Kerana dugaan yang bertali arus, akhirnya
aku di sini. Menjadi penulis bebas secara online. Biar pun tak dikenali oleh
orang ramai tapi aku tetap bahagia berimaginasi dan berkongsi rahsia mindaku
dengan orang lain. Begitu rupanya kesedihan aku dibalas dengan kemanisan
berimaginasi. Seperti kata seorang rakan sekolah rendah dalam group
WhatsApp..aku beruntung walaupun masih miskin seperti dulu kerana aku
dianugerahkan dengan ilmu untuk berimaginasi. Wanita yang tak berpelajaran
seperti aku yang hanya menjadi suri rumah tangga sepenuh masa, mempunyai begitu
banyak masa di depan skrin monitor untuk melakarkan sebuah cerita untuk bacaan
semua. Apa lagi yang aku mahu? Sekurang-kurangnya impian untuk bergelar seorang
penulis sejak di alam persekolah berjaya juga aku raih dengan keadaanku yang
serba kekurangan ini.
Oleh itu, jangan sesekali
merungut jika diuji dan terus diuji. Bertabah dan bersabarlah, dan pastikan
kita sentiasa redha dengan semua ujian. Manisnya kejayaan takkan dapat
diungkapkan dengan kata-kata selepas kesakitan yang pernah kita rasa.